Mengapa Najib tidak muncul di Manek Urai?

KUALA KRAI, 12 Julai (Hrkh) – Mengapakah Dato’ Seri Najib Razak tidak muncul-muncul di Manek Urai?

Ini persoalan yang belum terjawab biar pun sudah dilontarkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada penamaan calon sebelum ini.

Kini tinggal sehari lagi kempen menjelang pilihan raya Selasa ini, namun Perdana Menteri tidak muncul.

“Mungkinkah Presiden Umno takut dengan bayangan Altantuya sehingga tidak kelihatan di Manek Urai sehingga sekarang?

“Ramai orang tertanya mengapa Perdana Menteri tidak kelihatan,” kata Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Haji Abdul Fatah Harun pada persidangan media di Markas Induk PAS di sini, hari ini.

Perdana Menteri nampaknya menyerahkan tugas membawa cabaran Umno di Manek Urai kepada timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dan hari ini beliau hadir pada sambutan perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru.Image

Umno terpaksa menggunakan orang di luar Manek Urai hadir pada program yang dianjurkan memandangkan penduduk tempatan seperti tidak menghiraukan sehingga kehadiran Muhyiddin pun kurang mendapat sambutan.

Hari ini ramai guru dari seluruh Kelantan diarah hadir bagi memperlihatkan program dihadiri Timbalan Perdana Menteri mendapat sambutan.

Malah guru yang hadir berada jauh dari khemah yang disediakan, seperti tidak menghiraukan ucapan pemimpin Umno.

Banyak pihak berhujah ketidakhadiran Perdana Menteri membayangkan BN menghadapi laluan sukar di Manek Urai. Ia juga menggambarkan pemilihan Tuan Aziz Tuan Mat seperti tidak mendapat perkenan Najib, sebaliknya pilihan Muhyiddin.

Abdul Fatah juga melahirkan rasa bimbang di atas kehadiran begitu anggota polis di Manek Urai sehingga menimbulkan kecurigaan kerana ramai di kalangan mereka difahamkan tidak mempunyai tugas yang khusus.

Katanya, banyak cawangan polis yang dihantar ke Manek Urai termasuk ‘special branch’, bahagian trafik dan lebih ramai yang kelihatan tidak mempunyai tugas.

Image

“Kita tidak tahu apa fungsi mereka dengan kehadiran yang begitu ramai anggota polis. Kita akan cuba dapatkan maklumat mengenai apa sebenar peranan mereka,” katanya.

Ditanya dengan kehadiran anggota polis yang kemungkinan wujud pengundi hantu kata beliau, PAS juga merasa bimbang kerana tidak tahu apa sebenar fungsi mereka sehingga terlalu ramai di Manek Urai.

Menurutnya kehadiran polis juga menimbulkan rasa resah di kalangan penduduk tempatan sehingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas terutamanya di Cabang Tiga Laloh.

Kata beliau, polis meletak kenderaan di tepi jalan sehingga menghalang lalu lintas.

“Kami berharap pihak berkenaan mengambil kira masalah yang dihadapi penduduk memandangkan kehadiran ramai polis menimbulkan rungutan masyarakat,” katanya.

Beliau juga mendakwa ada sebuah rumah yang didiami isteri kepada seorang pegawai polis telah dijadikan markas Umno.

Abdul Fatah juga berkata, kerajaan pusat menggunakan secara berleluasan jentera kerajaan bagi membantu kempen BN termasuk Kesedar, Risda, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertanian dan banyak lagi kementerian lain.

Menurutnya, sehingga kini kerajaan pusat dan Petronas belum lagi menjelaskan mengenai tuntutan royalti kepada kerajaan Kelantan.

Kematian Michael Jackson berkemungkinan satu pembunuhan

KES kematian Michael Jackson mungkin akan disiasat sebagai kes pembunuhan, kata Ketua Polis Los Angeles semalam.

Ketua Polis, William Bratton menyatakan para penyiasat masih lagi menunggu keputusan dari makmal perubatan. Jika didapati ada punca dadah yang menyebabkan kematian Michael, doktor-doktor yang terlibat akan dikenakan pertuduhan membunuh dia(Michael).

Bratton berkata: “Adakah punca kematian Michael disebabkan bunuh diri atau penggunaan dadah yang berlebihan?

“Kita masih lagi menunggu jawapan dari pejabat koroner mengenai punca kematian Michael.

“Semuanya bergantung dengan keputusan laporan perubatan itu nanti. Berdasarkan keputusan itu baru kita dapat kenal pasti punca sebenar kematian Michael.

“Kami semua mempunyai kepakaran dalam penyiasatan. Kami sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan apabila laporan perubatan dari pejabat koroner diberi kepada pihak kami nanti.”

Bratton juga menyatakan para pegawai penyiasatnya telah menyoal beberapa orang doktor yang pernah merawat Michael.

Ketua Polis Los Angeles, William Bratton bercakap kepada media berkenaan spekulasi kematian Michael.

“Kami juga telah mengambil bahan-bahan bukti yang kami jumpa di kediaman Michael ditemui mati dan ini akan membantu kami dalam menjalankan siasatan,” tambahnya Bratton.

Ayah Michael, Joe Jackson semalam sekali lagi menegaskan bahawa kematian anaknya itu adalah disebabkan perbuatan khianat.

Joe berkata ketika ditemubual dalam satu rancangan TV di Amerika: “Saya percaya ini semua adalah perbuatan khianat terhadap anak saya. Ya, saya sangat percaya.”

Pegawai penyiasat juga telahpun mengambil semua dokumen yang menyimpan rekod-rekod kesihatan Michael dan para doktor juga diarahkan untuk memberi semua dokumen tersebut termasuk rekod-rekod psikiatri dan radiologi.

Turut terlibat adalah Dr Arnold Klein yang merupkan pakar dermatologi Michael dan kini dikatakan adalah bapa kandung kepada dua orang anak Michael iaitu Prince Michael dan Paris Michael. Bagaimanapun dia(Dr Arnold) menafikannya.

Pihak polis percaya sebelum kematian Michael, dia telah diberi dadah yang berlebihan oleh doktor-doktornya.

Tragedi Natrah antara bukti Umno tidak serius bela Islam

Kebanyakan media cetak, Jumaat (10 Julai) melaporkan kematian Maria ‘Bertha’ Hertogh yang pernah bergelar Natrah binti Maarof. Beliau dilaporkan meninggal pada Khamis di rumahnya di Huijberhen, selatan Belanda, akibat leukemia.

Wanita Belanda berusia 72 tahun itu diketahui umum sebagai orang yang pernah menggemparkan negara kita apabila menjadi objek utama konflik agama pada 1950. Namun tidak ramai yang sedia mengakui bahawa kanak-kanak yang dibesarkan sebagai orang Islam itu sebenarnya menjadi mangsa sentimen agama dan perkauman penjajah.

Bahkan tidak ramai yang sedar bahawa nasib seburuk itu menimpa Natrah adalah disebabkan sikap tidak serius penguasa politik Melayu-Islam di negara kita ketika itu, khususnya para pemimpin Umno, dalam membela dan mempertahankan akidah kanak-kanak itu.

Natrah atau nama sebenarnya Huberdina Maria Hertogh ialah anak pasangan Belanda Adelaine dan Adrianus Petrus Hertogh. Orang-orang Belanda memanggilnya Bertha.

Bapanya itu adalah sarjan tentera di dalam Tentera Diraja Hindia Timur Belanda di Indonesia. Adelaine pula memang menetap di Jawa, bersama kedua ibu bapa.

Maria adalah anak ketiga pasangan itu. Dia dilahirkan pada 24 Mac 1937 di Tjimahi.

Apabila tentera Jepun menduduki Indonesia pada 15 Februari 1942, sebilangan tentera Belanda menjadi tawanan perang. Antara tawanan itu Adrianus yag ketika itu berusia 37 tahun.

Adelaine yang ketika itu sedang mengandungkan anak keenam mereka akhirnya menyerahkan Maria untuk dijadikan anak angkat kepada Che Aminah Mohamad. Wanita berasal dari Kemaman, Terengganu itu ketika itu menetap di Jawa bersama suaminya, Maarof Haji Abdul, yang memiliki perniagaan emas di Bandung. Kebetulan pula Aminah adalah kenalan agak rapat dengan ibu Adelaine, Louise Winterberg, seorang pelakon opera Melayu di situ.

Sejak itu Maria dibesarkan sebagai seorang kanak-kanak Islam dan diberi nama Matrah binti Maarof. Sejurus sebelum Belanda kembali merampas semula tanah jajahan daripada Jepun, beliau meninggalkan Bandung dan pulang ke kampung halamannya di Kemaman.

Di situlah Natrah menarik perhatian Pegawai Pentadbir Inggeris(Timur), Sir Arthur Locke. Kedengkian dan perasaan terhinanya melihat seorang anak Belanda dibesarkan sebagai orang Melayu beragama Islam mengubah seluruh kehidupan Natrah selepas itu.

Pentadbir Inggeris itulah yang telah menggunakan tipu muslihat memujuk Aminah supaya membawa Natrah menemui Konsul Belanda di Tanah Jajahan Singapura. Kononnya beliau ikhlas mahu membantu Aminah mendapatkan surat keterangan yang sah tentang pengambilan Natrah sebagai anak angkat.

Setelah termakan pujukan itu, Aminah membawa Natrah ke Singapura. Maka berlakulah apa yang berlaku. Pihak Konsulat Belanda membantu kedua ibu bapa kandung kanak-kanak berusia 13 tahun itu membuat tuntutan mahkamah hak penjagaan ke atas Maria.

Perbicaraan dilakukan di bawah undang-undang Inggeris. Natrah diasingkan daripada Aminah. Sementara menunggu perbicaraan, beliau ditempatkan di bawah pengawasan gereja. Gambar-gambar Natrah dipaksa kembali kepada agama ibu bapanya yang disiarkan akhbar membangkitkan kemarahan umat Islam.

Rujukan-rujukan terhadap ajaran agama Islam secara negatif dan jahat oleh para peguam pembela ibubapanya di mahkamah juga amat mengguris hati umat Islam yang mengikuti perbicaraan tersebut dan perkembangan kes itu.

Umat Islam bangkit membantah. Akidah Natrah cuba diselamatkan. Maruah Islam mesti dipertahankan.

Jawatankuasa Tindakan Natrah ditubuhkan. Nadi penggeraknya ialah Karim Ghani, Presiden Liga Islam dan Persatuan Dakwah Islam Se-Malaya berpusat di Singapura. Beliau juga editor akhbar India Muslim, Malaya Nanban dan dua akhbar lain.

Karim Ghani dibantu sahabat karibnya, Dr Burhanuddin al-Helmy. Selaku Editor akhbar Melayu Raya, Dr Burhanuddin menghasilkan siri tulisan yang membangkitkan kesedaran dan keprihatinan umat Islam terhadap konflik dan perebutan hak penjagaan ke atas Natrah. Tidak sedikit peranan beliau dalam membangkitkan kemarahan umat Islam terhadap mainan kuasa dan penghinaan terhadap Islam oleh penjajah.

Ringkasnya, berlakulah apa yang berlaku. Natrah dikembalikan kepada ibu bapanya. Mereka segera kembali ke Belanda. Rusuhan tercetus dan 18 nyawa terkorban. Beratus lagi ditahan dan dibicarakan.

Apa yang diakui cacatan sejarah, dan amat dikesalkan, peranan Umno selaku parti anak emas penjajah ketika itu hampir tiada di sepanjang pergolakan itu. Jika ada pun sokongan diberikan, ianya sangat minima. Antaranya dari pergerakan kaum ibu Umno bahagian Johor Bahru dan Negeri Sembilan.

Sardon Jubir, seorang aktivis muda Umno ketika itu terlibat secara langsung di atas profesionnya sebagai peguam. Beliau menyertai pasukan pengamal undang-undang memberi khidmat guaman kepada Aminah yang cuba menyelematkan Natrah.

Catatan sejarah mengesahkan Sardon selaku penyokong kuat Umno ada mencuba menyeret Umno ikut serta memainkan peranan sepatutnya dalam pergolakan itu, namun gagal. Umno tidak bersedia campur tangan dan tidak mahu memanfaatkan hubungan baiknya dengan penjajah untuk mencari penyelesaian lebih baik.

Malah ada penulis sejarah menafsirkan bahawa Presiden Umno, Datuk Onn Jaafar sengaja menyisih diri dan mengelak daripada terlibat dengan konflik tersebut. Sedangkan di atas kedudukan beliau sebagai pemimpin utama parti paling rapat dan disayangi penjajah British, Datuk Onn diharap dapat memainkan peranan penting dalam mempengaruhi penjajah itu.

Banyak pihak beranggapan sikap, pendirian dan tindakan penjajah ketika itu dijangka tidak sekeras apa yang berlaku sekiranya Umno tidak �mendiamkan diri� dalam menangani kes tersebut.

Peranan Umno hanya muncul selepas tragedi berakhir. Umno hanya cuba memulihkan imej dan reputasi sebagai parti berkuasa di negara selepas Natrah sah dikembalikan kepada ibubapanya. Datuk Onn sendiri dicatatkan menyertai sepuluh pemimpin Islam menemui Gabenor Singapura untuk mendesak agar Natrah dikembalikan kepada Aminah.

Hanya selepas tragedi selesai juga, Kapten Hussein Onn selaku Setiausaha Agung Umno muncul mengarahkan ahli-ahli parti itu menyumbang kepada �Tabung Rayuan Natrah�.

Tidak dinafikan Umno memainkan peranan penting dalam merayu dan membela sekumpulan umat Islam yang ditahan ekoran kejadian itu. Mereka yang pada awalnya dijatuhi hukuman mati dan penjara, akhirnya dibebaskan.

Tunku Abdul Rahman yang mengambilalih jawatan Presiden Umno daripada Datuk Onn dalam satu catatannya mendakwa pembebasan mereka itu adalah hasil usaha pihak partinya.

“Semasa saya mengambil alih kepiminan Umno, saya telah bertindak dan menyuruh David Marshall membela nasib mereka yang terlibat. Kami berusaha bersungguh-sungguh dan berhempas pulas supaya hukuman mati dikurangkan kepada penjara seumur hidup…. Setelah 13 tahun dalam penjara, mereka dibebaskan,” coret Tunku pada 1988.

Ya, tanpa hipokrasi kita boleh mengakui peranan dimainkan Umno itu. Namun apa yang dikesalkan ia hanya dibuat setelah selesai tragedi tersebut. Sepertimana disebutkan tadi, harapan agak tinggi diletakkan kepada pemimpin Umno sedari awal konflik tercetus.

Dengan pengaruh yang dimiliki parti itu, dijangkakan kesudahan kes tersebut tentu tidak seteruk apa yang berlaku sekiranya Umno mengambil peranan serius dalam membela Natrah. Malangnya hal itu tidak berlaku.

Pembelaan selepas itu hanya terhadap mereka yang menjadi mangsa konflik. Umno berjaya menyelematkan beberapa nyawa dari hukuman mati. Itu kita boleh ucap tahniah dan terimakasih.

Namun perlu diingat, dalam tragedi Natrah, perkara utama yang menjadi pendorong konflik berdarah itu ialah soal akidah anak kecil itu. Umat Islam sanggup berkorban nyawa bukan kerana menyelamat diri mereka dari ditangkap dan dihukum, tetapi kerana mempertahankan kesucian akidah seorang budak yang dipaksa murtad.

Itulah fakta dan hakikat yang cuba dikelirukan Umno, hanya semata-mata bagi mengelakkan ia dipandang tidak memperjuangkan Islam. Sebab itu apabila Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rabu (8 Julai) lalu mencabar PAS supaya membuktikan bahawa Umno tidak memperjuangkan Islam, ia bagaikan membuka ruang bagi PAS mendedahkan fakta dan catatan sejarah yang sememangnya tidak menguntungkan Umno.

Dalam kenyataannya itu di tengah-tengah kehangatan kempen Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Kelantan, Muhyiddin mendakwa parti ditubuhkan pada 11 Mei 1946 itu terlebih dahulu memperjuangkan syiar Islam daripada PAS.

Memang lah secara logiknya, jika benar Umno ada meletakkan apa-apa agenda Islam dalam perjuangannya, maka Umno boleh mendakwa ia lebih dahulu memperjuangkannya berbanding PAS.

Sebab utamanya ialah kerana Umno ditubuhkan pada 1946, lima tahun lebih dahulu daripada PAS yang ditubuhkan pada 1951. Tapi itu hanya hujah loyar buruk.

Apa yang dipersoalkan ialah sejauh manakah keseriusan Umno dalam memperjuangkan Islam dan mempertahankan akidah umatnya? Senarai bukti-bukti yang boleh dikemukakan bagi memperkukuhkan pertikaian itu amat panjang.

Umno yang ada sekarang mungkin boleh mendabik dada sudah banyak “memperjuangkan syiar Islam”, sepertimana didakwa Muhyiddin. Namun, tidak ada mana-mana pemimpinnya yang akan dapat memadamkan catatan sejarah berkaitan tragedi berdarah di Singapura hampir 60 tahun lalu itu. Tragedi Natrah adalah antara bukti paling awal bahawa Umno tidak serius dalam memperjuangkan Islam.

PPSMI: Segera mansuh, jangan tunggu 2012!

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Hrkh) – Kerajaan digesa segera mengembalikan pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu dan tidak perlu menunggu sehingga 2012.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menegaskan kerajaan tidak boleh memberikan alasan untuk menangguhkan pemansuhan PPSMI itu sedangkan sewaktu pelaksanaan dasar tersebut pada 2003, tindakan tersebut dilakukan secara tergesa-gesa.

“Kenapa sewaktu ingin dihapuskan Muhyiddin memikirkan tentang masalah yang akan dihadapi oleh para pelajar jika ditukar serta merta.Kita hairan waktu nak melaksanakan tergesa-gesa tanpa mendapat pandangan daripada golongan cendekiawan atau tokoh bahasa. Jangan jadi seperti Pak Pandir.

“Penangguhan tersebut mungkin kerana kontrak kepada kroni mereka belum lagi selesai. Pada mereka biar dasar berubah tetapi yang penting mereka mendapat keuntungan daripada dasar tersebut,”katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily baru-baru ini.

Sementara itu, Idris turut menegaskan dalam mendesak kerajaan menghapuskan dasar PPSMI, PAS telah bersama-sama dengan tokoh bahasa serta sasterawan negara dalam menentang dasar yang dilihat bertentangan dengan dasar negara dalam bidang pendidikan.

“Penglibatan golongan sasterawan seperti Dato’ A.Samad Said dan Dato’ Dr Hasan Ahmad adalah penyumbang besar kejayaan ini. Keberanian Prof Dr Abdullah Hassan, Prof Dr Shahrir Mohd Zin, Prof Nik Sapiah Karim adalah penyumbang besar kepada kejayaan rakyat.

“Semangat mereka perlu dicontohi oleh mereka yang berada di menara gading. Jangan kita ada ijazah berjela-jela tetapi mempunyai semangat kerdil,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik turut menegaskan tidak ada alasan yang munasabah mengapa kerajaan perlu menunggu sehingga 2012 bagi memansuhkan pelaksanaan PPSMI.

Justeru beliau mendesak semua pihak memastikan pemansuhan dasar tersebut dilakukan segera.

“Sewaktu Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, Pilihan Raya Keci Bukit Gantang serta Pilihan Raya Kecil Bukit Selambau, pejuang bahasa dan rakyat menyatakan ketidak puasan hati mereka dalam pilihan raya kecil ini. Desakan demi desakan kita lakukan.

“Jadi walaupun pengumuman tersebut dibuat menjelang Pilihan Raya Kecil Manek Urai, saya yakin rakyat di Manek Urai tidak akan termakan dengan ‘umpan’ kerajaan. Kerajaan mesti ikhlas dan penghapusan dasar tersebut seharusnya bukan sewaktu menjelang pilihan raya,”tegasnya.

BN ‘mandulkan’ institusi masjid

SHAH ALAM, 12 Julai (Hrkh) – Ahli Dewan Negeri (Adun) Gombak Setia yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Hasan Ali berkata, institusi Masjid di negeri Selangor dimandulkan oleh pemerintahan Barisan Nasional (BN) kerana rumah tuhan itu merupakan tempat yang terbaik untuk melahirkan Khaira Ummah.

Katanya, bagi melahirkan Khaira Ummah satu jawatankuasa masjid perlu dirombak kembali kerana ahli jawatankuasa perlu terdiri daripada golongan yang mempunyai tauliah.

Sebelum ini menurut beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, kerajaan BN melantik ahli jawatankuasa masjid dengan menggunakan sistem ‘tunjuk’.

Tambah beliau, sistem ‘tunjuk’ inilah akan membuka peluang kepada Ketua Bahagian Umno untuk menutup sinar agama Islam yang sebenarnya.

Bagaimanapun, katanya, setelah kerajaan baru Pakatan Rakyat memerintah negeri ini telah membuat perubahan untuk melantik ahli jawatankuasa baru untuk mengimarahkan masjid agar di penuhi cahaya siang dan malam.

“Proses pemilihan adalah seperti mesyuarat agung khas pencalonan ini hendaklah dipengerusikan oleh nazir masjid berkenaan dan pegawai agama Islam daerah atau perwakilan boleh mempengerusikan mesyuarat tersebut bedasarkan pekeliling yang diedarkan.

“Manakala kaedah pencalonan pegawai masjid atau jawatankuasa kariah masjid hendaklah dibuat sebulat suara atau lebih suara anak kariah yang hadir dan bilangan pencalonan adalah tiga orang calon nazir, tiga orang calon imam, dua orang calon bilal dan dua orang calon siak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjawab pertanyaan dari Ahli Dewan Negeri Selangor (Adun) Meru, Dr. Abdul Rani Osman yang ingin mengetahui preses pemilihan ahli jawatankuasa masjid dalam sidang Dun Selangor baru-baru ini.

Adun Meru itu juga bertanya mengenai kriteria untuk jawatan nazir.

Menurut Dr Hasan, keutamaan akademik minima ialah mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Pelajaran Agama (SPA) dan diberikan keutamaan kepada calon yang mempunyai diploma bahkan ada nazir yang berkelayakan PHD.

“Calon tersebut tidak melebihi 60 tahun, tinggal tetap dalam kariah masjid atau surau, boleh membaca, menulis dan mengira, mempunyai pengetahuan Islam, mempunyai akhlak yang mulia dan amanah dan calon nazir hendaklah mampu mengetuai halaqah-halaqah ringan yang melibatkan institusi masjid.

“Selalu membuat amal kebajikan, sihat tubuh badan dan mental serta mempunyai daya kepimpinan,” katanya.

Polis Cabuli Sistem Demokrasi Di Manek Urai