8 lagi mati akibat selesema babi

KOTA KINABALU, 9 Ogos – Lapan lagi kematian akibat Influenza A (H1N1) disahkan hari Ahad menjadikan jumlah kematian kepada 26 di negara ini.

Menteri Kesihatan Dato’ Seri Liow Tiong Lai, seperti dilaporkan Bernama, berkata tujuh kematian melibatkan kumpulan berisiko tinggi dan sesetengahnya dilaporkan lewat berikutan bedah siasat untuk kajian dan pengesahan punca kematian.

Beliau berkata satu kematian dicatatkan pada 3 Ogos, diikuti dua lagi (5 Ogos), empat (6 Ogos) dan satu lagi pada 8 Ogos,” katanya kepada pemberita pada majlis penamaan semula Hospital Likas kepada Hospital Wanita dan Kanak Kanak Sabah di sini pada hari Ahad.

Liow berkata dua daripada kes itu adalah dari Sabah.

Katanya yang pertama melibatkan seorang wanita obes berumur 24 tahun yang dirawat di Hospital Ranau pada 1 Ogos, yang mengalami demam dan batuk selama empat hari.

Wanita itu kemudian dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) di sini pada 5 Ogos dan meninggal dunia pada hari yang sama.

Satu lagi kes melibatkan lelaki berumur 74 tahun yang menghidap sakit jantung kronik yang dimasukkan ke QEH pada 3 Ogos, yang mempunyai sejarah mengalami masalah kesukaran bernafas selama sebulan dan demam selama sehari sahaja.

Lelaki itu meninggal dunia pada 6 Ogos.

Kes lain termasuk pelajar wanita berumur 20 tahun yang dirawat sebagai pesakit luar bagi penyakit serupa Influenza (ILI) pada 1 Ogos dan meninggal dunia di bilik asrama, lima hari kemudian; seorang lelaki berumur 48 tahun yang menghidap asma dan hipertensi dari Sarawak, dan seorang lelaki obes berumur 37 tahun dari Johor.

Liow berkata pada ketika ini, terdapat sejumlah 62 kes yang sedang menerima rawatan di hospital dan 13 kes lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala lima lagi kes disyaki H1N1 turut ditempatkan di ICU bagi menunggu keputusan.

“Setakat ini di Sabah, kes H1N1 yang disahkan ialah 402 kes, dua kematian, tujuh sedang dirawat di hospital di mana seorang dalam ICU, dan tujuh lagi kes ILI, sementara menunggu pengesahan,” katanya dan menurutnya terdapat kanak-kanak yang terlibat tetapi tidak mempunyai butirannya.

Liow berkata 35 buah sekolah telah ditutup di Sabah akibat wabak H1N1.

Kematian H1N1 ke-15: PM isytihar ancaman serius

Oeh G. MANIMARAN

PETALING JAYA: Jumlah kematian akibat influenza A(H1N1) meningkat lagi dengan seorang lelaki berusia 40 disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.

Dengan kematian itu, Malaysia telah merekodkan 15 kematian setakat pagi semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula mengisytiharkan wabak A(H1N1) kini telah menjadi ancaman serius kepada negara dan menasihati orang ramai supaya tidak menghadiri majlis perhimpunan di tempat-tempat awam.

Beliau meminta semua rakyat mengambil langkah pencegahan secara menyeluruh ekoran angka kematian H1N1 meningkat kepada 14 sehingga kelmarin dan banyak sekolah serta institusi pendidikan tinggi ditutup kerana terdapat kes jangkitan.

“Kalau (majlis) perhimpunan itu tidak perlu, tidak perlulah melainkan ada sesuatu mendesak. Tapi bila ada perhimpunan, kita akan tambah risiko kita kerana penyakit ini akan merebak,” kata beliau selepas merasmikan Konvensyen Industri Sukan Malaysia di ibu negara pagi semalam.

Selain menangguhkan kegiatan di kawasan umum, Najib yang dipetik Bernama berkata, langkah pencegahan daripada segi kebersihan boleh dilakukan seperti membasuh tangan dan memakai topeng terutama ketika berada atau hadir dalam majlis yang terbuka.

“Dari segi kesihatan kebersihan, kita hendaklah selalu mencuci tangan. Sebelum saya masuk tadi, saya telah cuci tangan sebab saya telah bersalaman dengan begitu ramai orang,” kata Perdana Menteri.

Dalam pada itu, kenyataan Kementerian Kesihatan menjelaskan, kes kematian ke-15 melibatkan lelaki obes berumur 40 tahun.

Dia yang dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2009 kerana mengalami sesak nafas dan telah meninggal dunia kelmarin kerana Acute Coronary Syndrome with Cardiogenic Shock.

Mangsa mengalami demam dan batuk sejak 28 Julai lalu dan telah mendapat rawatan di klinik swasta pada 31 Julai lalu dan hospital swasta pada 2 Ogos sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur.

Pesakit itu disahkan positif influenza A(H1N1) semalam iaitu sehari selepas kematian, kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu menambah, sebanyak 33 kes baru influenza A(H1N1) dilaporkan semalam.

Kesemuanya adalah kes tempatan dan di kalangan warganegara Malaysia.

Daripada 33 kes yang dilaporkan semalam, 28 merupakan kejadian dari sembilan kluster baru dan lima adalah kes sporadik atau terpencil.

Jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga 8 pagi tadi adalah sebanyak 1,525 kes dengan jumlah kematian 15 orang.

Daripada 1,525 kes yang dilaporkan tersebut, 574 atau 38 peratus merupakan kes import dan 951 (62 peratus) kes jangkitan tempatan.

Daripada jumlah ini, 1,434 kes (94 peratus) telah sembuh.

Bilangan kes jangkitan influenza A(H1N1) yang masih berada di Unit Rawatan Rapi adalah 14 orang.

Seramai 44 pesakit sedang menerima rawatan antiviral di wad isolasi manakala 33 orang menerima rawatan pesakit luar.

Daripada 14 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 5 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu obesiti (2), post-delivery (1) dan bayi (2)

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/8/8/mstar_berita/20090807181603&sec=mstar_berita