Razaleigh tidak setuju kes royalti ke mahkamah

KUALA TERENGGANU, 19 Mac: Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah menolak cadangan untuk membawa isu royalti minyak ke mahkamah kerana ia tidak akan membawa ke mana-mana.

Beliau merujuk kepada kes perebutan kuasa di Perak selepas kerajaan negeri Pakatan Rakyat dijatuhkan melalui pintu belakang.

“Oleh itu, bagi saya ada tiga sahaja cadangan yang praktikal iaitu mencari orang tengah untuk menyelesaikannya, membawa kes ini ke Timbang Tara atau meneruskan sahaja tekanan kepada kerajaan Pusat sebagaimana yang dibuat sekarang.

“Kalau mahu mencari orang tengah, saya bersedia untuk menjalankan amanah itu jika diminta,” kata beliau di hadapan lebih 5,000 penonton dan pendengar Dialog Royalti Petroleum di Terengganu Equaestrian Resort (TER) dekat Kuala Ibai malam tadi.

Dialog itu dianjurkan oleh Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu atau Mampat bersama Gegar iaitu NGO yang memperjuangkan royalti minyak untuk kerajaan Terengganu dan Kelantan.

Turut serta di pentas bersama Tengku Razaleigh adalah wakil kerajaan Terengganu ketika diperintah PAS iaitu Datuk Mustafa Ali dan Datuk Abu Bakar Chik serta wakil kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa.

Majlis dialog itu dirasmikan oleh Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ismail, penaung Mampat.

Orang ramai yang datang sejak Maghrib apabila diadakan juga Solat Hajat di Masjid Tengku Tengah berhampiran TER turut menandatangani kain rentang bagi membantah sekatan royalti untuk kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu.

Turut menandatanganinya adalah Datuk Mustafa dan Datuk Husam serta Tengku Paduka.

Di majlis itu, Mampat turut melancarkan buku kompilasi ucapan, kertas kerja dan forum Konvensyen Royalti Petroleum yang diadakankan tahun 2008 lalu di tempat yang sama.

Ketika ditanya, apakah beliau bersetuju untuk turun ke jalan raya sekiranya usaha yang dilakukan sekarang tidak berhasil, Razaleigh berkata, beliau tidak bersetuju.

“Saya rasa tidak perlu sampai ke situ…kita akan berjaya kalau kita teruskan usaha menekan kerajaan agar mematuhi apa yang telah termaktub dalam akta itu dan dipersetujui oleh Petronas dan kerajaan negeri,” katanya.

Dalam ucapannya juga, Razaleigh berkata, dia sentiasa konsisten dalam sikapnya mengenai isu royalti ini.

Ia turut disokong oleh Mustafa yang mengesahkan Razaleigh bersetuju untuk menjadi saksi ketika kerajaan negeri Terengganu menyaman Petronas dan kerajaan Pusat dahulu.

“Bahkan, afidavit beliau telah kita siapkan. Malangnya mahkamah menerima permohonan agar kes ini dibicarakan tanpa perlu memanggil saksi,” kata Mustafa.

Kes Hasan, Khalid: Tuan Ibrahim dukacita laporan akhbar

KUALA LUMPUR, 12 Jan: Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kecewa dengan laporan sebuah akhbar berkaitan kes membabitkan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr. Hassan Ali dan Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad yang sedang disiasat oleh jawatankuasanya.

Menurut beliau, laporan akhbar Sinar Harian hari ini bertajuk ‘Hasan, Khalid tidak akan dipecat’ merujuk kepada kenyataannya adalah tidak betul sama sekali malah akhbar berkenaan didakwa cuba membuat andaian semata-mata.

“Jawatankuasa Disiplin dukacita dengan laporan tersebut.

“Andaian yang dibuat adalah tidak betul dan satu kesilapan,” katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Kes tersebut tegasnya masih dalam proses siasatan dan sebarang keputusan mahupun penghakiman terhadap kes tersebut belum lagi dibuat.

“Kita masih lagi menunggu satu lagi dokumen baru dari orang kena tuduh untuk membantu siasatan.

“Dokumen itu akan diserah dalam minggu ini kepada jawatankuasa dan keputusan berkenaan kes ini saya jangka akan diketahui paling awal pun minggu depan,” jelasnya kepada Harakahdaily.

Akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan bahawa Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya memberitahu Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr. Hassan Ali dan Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad tidak akan dipecat dari parti.

Laporan itu juga menyebut sekiranya didapati bersalah, Hasan dan Khalid ‘berkemungkinan’ hanya akan berdepan dengan amaran bertulis atau digantung jawatan.

Sebelum ini, Jawatankuasa Disiplin PAS telahpun mendengar keterangan daripada Khalid Samad dan Dr. Hasan Ali, masing-masing hari Khamis dan Sabtu lalu.

Kedua-dua mereka berdepan tuduhan menjejaskan imej dan kewibawaan PAS berdasarkan beberapa tindakan mereka sebelum ini.

http://harakahdaily.net

Kenyataan akhbar terkini Nizar.

Nizar berkata, beliau akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi memaklumkan secara rasmi berhubung keputusan mahkamah yang diputuskan hari ini.

Katanya, semua keputusan yang dibuat oleh zambry akan dikaji semula dan bukannya tidak sah sehingga notis seterusnya kecuali sidang DUN pada 7 Mei lalu.

“Kita akan minta Datuk Zambry dan Exco lain untuk mengosongkan jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta berikutan keputusan mahkamah.

“Mesyuarat Exco akan diadakan segera dan kita berpegang yang DUN harus dibubarkan berdasarkan kepada usul yang diluluskan pada sidang DUN bawah pokok pada 3 Mac 2009,”katanya.

http://idhamlim.blogspot.com

Tindakan Disiplin Sekiranya Ahli PAS Terlibat Menceroboh Gereja

Shah Alam – PAS kesal berhubung tindakan menceroboh dan menyerang gereja yang berlaku dibeberapa tempat di ibu Negara kelmarin.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, ia akan menjadi lebih menyedihkan jika perkara tersebut dilakukan orang Islam sendiri.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Taklimat Isu-isu penerangan PAS Pusat di Wisma MBSA disini, semalam (gambar)

Beliau menegaskan, Islam yang sebenar, mengajar manusia menghormati penganut agama lain termasuk rumah-rumah ibadat mereka walaupun dalam keadaan peperangan.

“Bila Islam diceroboh, berlaku peperangan, namun dalam peperangan sekalipun gereja perlu dipelihara,” katanya.

Bagaimanapun beliau yakin isu penggunaan kalimah Allah ini mampu diselesaikan dengan mengadakan dialog antara agama.

Katanya, dialog itu penting bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung ajran Islam sebenar berdepan isu-isu berkaitan agama.

“PAS sedia berdialog, menghadiri majlis-majlis memberi kefahaman kepada rakyat,” katanya.

Beliau juga menyeru pihak media memberikan ruang diberikan kepada PAS bagi tujuan tersebut.

Apa yang berlaku katanya, kerana selama ini penyebaran ajaran Islam itu sendiri telah dikongkong dan ditutup.

“Saya yakin isu ini dapat diselesaikan dengan elok, syaratnya jangan ada yang tidak ikhlas untuk menangguk di air yang keruh, untuk dapat sokongan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, katanya, dalam menyampaikan kebenaran, PAS tidak melihat kepada sokongan rakyat, namun apa yang penting adalah kewajipan PAS menjelaskan kebenaran kepada masyarakat.

“Saya anggap ada pihak-pihak tertentu yang menyalahgunakan isu ini dan mengambil kesempatan dan meniupkan api supaya membakar,” katanya.

Jelasnya, kalimah Allah adalah kalimah yang benar, tetapi telah dihuraikan cara mencapai matlamat yang salah oleh pihak-pihak tertentu.

Ditanya sama ada PAS kan mengambil tindakan jika ahlinya didapati terlibat dengan demonstrasi isu kalimah Allah semalam, beliau menegaskan PAS tidak sampai berbuat begitu namun telahpun menasihatkan ahlinya supaya tidak terlibat dengan mana-mana bantahan isu itu.

Namun, sebaliknya, kata beliau, sekiranya ada ahli PAS didapati terlibat dengan insiden serangan ke atas gereja, PAS tidak akan teragak-agak mengambil tindakan seperti diperuntukkan perlembagaan parti.

http://buletinonline.net

Kerajaan Terengganu Terlibat Dengan Penganjuran Demo di Batu Burok??

KUALA TERENGGANU – Apakah benar pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu terlibat dengan penganjuran Demonstrasi atau Rapat Umum isu penggunaan kalimah Allah di Batu Burok Jumaat lalu, 8 Januari?

Persoalan ini adalah sesuatu yang amat berat untuk ditanya mahu pun kalau mahu dijawab!

Namun mungkin Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Mokhtar Nong (sekiranya masih lagi di pejabat) boleh menjawab, mengapakah kenderaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu berada bersama para demonstran pada waktu dan hari tersebut? Atau, mungkin Menteri Besar Negeri Terengganu, Dato’ Ahmad Said boleh memberikan penjelasan atau ‘pendedahan’ (perkataan sensasi yang selalu digunakan) bagaimana pihak kerajaan boleh memberikan khidmat kepada satu program yang ‘haram’ disisi undang-undang!

Tinjauan wartawan Buletinonline ada hari tersebut, sebuah lori milik kerajaan negeri Terengganu berada dibelakang pentas dimana para peserta himpunan ‘haram’ tersebut berkumpul.

Apabila disemak, didapati, alat siaraya yang digunakan dalam perhimpunan ‘haram’ itu adalah disyakki disediakan kemudahannya oleh pihak yang membawa lori yang bertulis ‘Pejabat Setiausaha kerajaan Terengganu’.

Manakala sekurang-kurangnya salah seorang peserta, dengan jelas memakai baju berlambangkan ‘dacing’ menunjukkan dengan jelas bahawa Umno dan Barisan Nasional terlibat dalam penganjuran rapat umum yang berjaya mengapi-apikan semangat ‘membabi buta’ orang ramai.

Sehingga semalam Sarawak, menjadi sasaran cubaan membakar dan vandalisme

Pencerobohan, pembakaran dan vandalisme terhadap gereja berlaku sebaik sahaja selepas himpunan yang di anjurkan diseluruh Negara pada Jumaat lalu

http://buletinonline.net

Kemalangan: Nizar ditahan di Hospital Raja Perempuan Bainun

IPOH, 7 Jan: Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sedang ditahan di Wad 8C Hospital Raja Perempuan Bainun setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya di hadapan Hotel Cassuarina, di sini pagi ini.

Menurut pembantu peribadinya, Amran Harun, semasa kejadian, Nizar yang memandu sendiri cuba mengelak sebuah kereta yang keluar dari simpang dan terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.

Katanya, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu hanya mengalami luka-luka di bahagian siku kanan walaupun kenderaannya rosak teruk.

Sementara itu, Berita Harian online melaporkan Nizar cedera selepas kereta dipandunya terbalik dengan empat tayar ke atas akibat kemalangan jalan raya di Ipoh pada 9.30 pagi tadi dan kini dirawat di Hospital Ipoh.

Pemuda PAS jumpa Paderi, tidak berdemo

Surat itu dihantar oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah (DPPWP), Kamaruzaman Mohamad (gambar).

KUALA LUMPUR, 7 Jan: Ketika Pemuda Umno dan Ngo yang menyokongnya mahu mengadakan demo, Pemuda PAS telah menghantar satu surat semalam dan mahu mengadakan pertemuan serta dialog bersama Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Nicholas Xavier Pakiam dalam tempoh terdekat ini berhubung isu nama Allah.

Pemuda Umno bersama beberapa Ngo telah merancang untuk mengadakan demo bagi membantah keputusan mahkamah itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Hussein pula dalam langkah yang mengejutkan telah membenarkan demo itu diadakan walaupun jelas demo itu akan memanaskan hubungan antara agama dan kaum di negara ini.

Dalam satu kenyataan medianya, Kamaruzaman berkata,  Pemuda PAS Wilayah tidak berhasrat untuk menyertai atau mengadakan apa-apa demontrasi berhubung isu nama Allah pada masa ini demi mengelakkan ketegangan antara agama yang berlaku menjadi lebih serius.

“DPPWP melihat pertemuan sebegini adalah ruang yang lebih positif bagi membincang dan menyampaikan hasrat umat Islam berhubung isu yang sensitif ini secara matang,” katanya.

Menurutnya, ruang diplomasi masih ada dan pihaknya menolak sebarang tindakan agreasif bersifat provokasi yang boleh memburukan lagi keadaan ini.

“DPPWP menyokong keputusan PAS Pusat supaya perkara ini dibincang dengan mengambil kira sensitiviti rakyat keseluruhannya,” katanya.

DPPWP juga bercadang untuk menjemput beberapa pimpinan lain untuk turut serta selepas pihak mereka memberikan jawapan berhubung hasrat pertemuan ini.

“Kita amat berharap agar pihak mereka menerima tawaran dialog ini demi kebaikan rakyat keseluruhannya,” katanya.

DPPWP juga berharap agar umat Islam dapat bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh memburukkan imej Islam.

Seludup RM10 juta : MB Negeri Sembilan Dihukum Sebat

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hassan dijatuhkan hukuman sebatan oleh Mahkamah Rakyat berhubung jenayah mengirimkan wang secara haram ke luar Negara membabitkan 10 juta ringgit ke London pada tahun 2008.

Hukuman sebatan secara simbolik itu diadakan dihadapan ibupejabat Keadilan Negeri Sembilan. Suasana yang pada awalnya tenang mulai tegang apabila pihak berkuasa mengerahkan pasukan polis simpanan FRU untuk menyuraikan perhimpunan aman itu.

“Dengan kita polis berani. Dengan umno takut. Menikus. Kesian juga pada polis- polis yang menerima tekanan oleh UMNO.”

Turut dikaitkan dengan penghantaran wang secara haram ini ialah isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Rosmah didakwa telah melakukan transaksi wang secara haram melibatkan 6 ratus ribu ringgit sewaktu beliau sedang membeli belah di Dubai, Ogos lalu.

“Ada kelompok yang rapat dengan rejim secara seronok hantar duit juta-juta ke luar negara. Rosmah hanya sebab tak cukup duit shopping di Dubai, 6ratus ribu dihantar kesana. Dalam keadaan rakyat begitu susah payah dibawah ni,” kata Badrul Hisham Shaharin,

Pengerusi Perwaja dan Maju Holding, Tan Sri Abu Sahid turut dikatakan telah memindahkan sejumlah 22.2 juta ringgit ke luar Negara.

Seorang lagi tokoh korporat yang rapat dengan rejim pemerintah iaitu adik kepada Syed Mokhtar Al- Bukhari, Syed Mohammad dikesan telah memindahkan wang secara tidak sah sebanyak 1.19 juta ringgit.

16 November lalu, pimpinan PKR telah menghantar surat rasmi kepada Menteri Besar Negeri Sembilan memohon penjelasan berhubung dakwaan itu, namun mohamad Hassan memilih untuk mendiamkan diri. Kegiatan ini telah melanggar Akta Pengurupan Wang 1998.

Isu ini juga dibangkitkan dalam sidang dewan undangan negeri Sembilan namun sekali lagi mohamad gagal memberi penjelasan. Pada 3 disember lalu, pimpinan PKR nekad memfailkan kes ini ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, namun badan yang kononnya berkecuali itu juga mengambil langkah sama, mendiamkan diri.

“Setiap kali wang Negara dihantar keluar Negara secara haram dalam jumlah yang besar, ia melibatkan ekonomi Negara. Melibatkan periuk nasi rakyat. kecuali mereka yang rapat dengan rejim pemerintah…….yang memang nyata,” katanya lagi.

26 0ctober lalu, Bank Negara Malaysia telah mengumumkan pembatalan sebanyak 20 lesen perniagaan pengurupan wang di bawah Akta Pengurupan Wang 1998. Namun tidak disertakan sebab musabab pembatalan lessen berkenaan.

http://www.tvselangor.com

Umno Tidak Sabar Berpolitik

KUALA TERENGGANU – Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dato’ Harun Taib menyifatkan Umno tidak sabar berpolitik serta mahu ‘merampas’ semula negeri-negeri yang diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat dengan cara mudah.

Katanya, Umno dan Barisan Nasional (BN) yang tidak pernah kalah di Selangor dan Perak berusaha merampas semula negeri tersebut.

“Umno tidak sabar dalam politik. Mereka (Umno) mahu tawan Selangor dengan cara mudah sebagimana yang dilakukan di negeri Perak.

“Jika parti lain, mereka (PAS, PKR, DAP) mesti menunggu pilihan raya umum baru buat perubahan, tetapi Umno tidak sabar dan buat sebaliknya,” jelasnya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri Terengganu berkata demikian ketika mengulas laporan sekumpulan yang bergelar Gerakan Penyokong dan Pengundi PAS Negeri Selangor (GKPPNS) mengadakan demontrasi aman mendesak PAS keluar Pakatan Rakyat.

Ustaz Harun yakin kumpulan tersebut bukan dari ahli-ahli PAS sebagaimana  yang didakwa tetapi didalangi oleh Umno serta pihak-pihak terbabit.

Katanya, ahli-ahli dan penyokong PAS sedia memahami peranan serta tanggungjawab parti dalam kerajaan Pakatan Rakyat tersebut.

Menurutnya, PAS tidak pernah dipinggirkan oleh Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan DAP dalam perkara membabitkan keputusan berhubung kepentingan ketiga-tiga parti.

“Semua keputusan dibuat secara bersama dan kita (PAS, PKR dan DAP) ada mesyuarat kepimpinan melibatkan tiga parti.

“Jika PAS tidak setuju keputusan tidak akan dibuat dan begitu juga kalau PKR tidak setuju atau DAP tidak setuju, keputusan tidak akan dibuat,” jelas Ustaz Harun.

Menurutnya, usaha pihak terbabit yang mengadakan perhimpunan tersebut tidak menjejaskan PAS bersama Pakatan Rakyat.

http://buletinonline.net

Jual pesawat MIG29N, sandiwara kerajaan

KUALA LUMPUR, 1 Jan : Kenyataan terbaru Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid bahawa kerajaan belum ada keputusan yang muktamad untuk menjual pesawat MIG29N dipersoal.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar semalam menganggap kenyataan Ahmad disebabkan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengkritik kerajaan  sebelum ini.

“28 Oktober lalu di Dewan Rakyat, (Ahmad berkata) perkhidmatan pesawat tempur MIG29N akan di tamat tahun depan (2010), tibak-tiba apabila Tun menegur dan kritik, (Ahmad) Zahid kata belum muktamad lagi,” jelasnya.

Beliau menganggap, kenyataan Ahmad sekadar meredakan kemarahan Tun sahaja – yang tidak mahu pihak tertentu mengaut keuntungan komisen, sebagaimana yang berlaku dalam transaksi kapal selam Scorpene dan pesawai Sukhoi sebelum ini.

Sebagaimana kes kehilangan dua enjin jet F5E baru-baru ini, beliau mendakwa Ahmad cuba menyembunyikan niat sebenar kerajaan untuk membeli pesawat yang baru.

“Hakikat mereka sedang disembunyikan (adalah) nak jual MIG29N dan beli pesawat baru, semacam mereka sembunyikan dua injen pesawat F5E selama 3 tahun baru-baru ini,” jelasnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa beberapa pihak atasan dalam Tentera Udara DiRaja Malaysia (TLDM) terlibat dalam beberapa penyelewengan tersebut.

Dalam pada itu, beliau bersetuju dengan Mahathir supaya pesawat MIG29N itu dinaik taraf dengan kelengkapan teknologi terkini sahaja.

“kita naik tarafkan semua injin MIG29N seperti mana kerajaan India membuat perjanjian dengan Rusia (ke atas) semua MIG milik India,” jelasnya.

Jelasnya lagi, perjanjian tersebut membenarkan Hindustan Aeroautics Pte. Ltd. iaitu syarikat pertahanan-penerbangan milik kerajaan India untuk mendapatkan pemindahan teknologi dalam pembikinan enjin baru MIG milik tentera udara India.

Begitu juga dengan Polond, mendapatkan kepakaran Rusia untuk menaik taraf kesemua 32 pesawat MIG29N yang dijangka siap sekitar 2012-2015.

Beliau juga menjelaskan bahawa United Kingdom turut menaik taraf pesawat-pesawat juang negaranya.

“Jet pengebom UK English Electric Canberra diguna sejak tahun 1950 hingga Perang Teluk yang pertama setelah dinaik taraf beberapa kali, sesuai dengan usianya dan modelnya,” jelas.

Beberapa usaha kerajaan itu, sekali gus mendorong rakyat menganggap kerajaan membazirkan wang rakyat. -END

http://harakahdaily.net

Umno Rantau Panjang lumpuh

RANTAU PANJANG, 31 Dis: Perhubungan Umno Kelantan sehingga kini dikatakan gagal mengambil sebarang langkah menyelesaikan krisis yang berlaku di bahagian Rantau Panjang.

Dua kumpulan yang sedang bertelagah iaitu diketuai Abdullah Mat Yassin dan Dato’ Mohd Zain Ismail kini masing-masing sudah mengisytiharkan ‘perang’.

Ini membuatkan Umno bahagian tersebut menjadi lumpuh daripada melakukan sebarang kegiatan untuk faedah rakyat.

Akibat kemelut yang tidak berkesudahan itu juga, bahagian berkenaan tidak dapat mengadakan sebarang mesyuarat ahli jawatan kuasa bahagian.

Ini kerana ketiadaan kesefahaman di antara kedua-dua kumpulan tersebut.

Anggota jawatankuasa Umno bahagian itu, Wan Yacob Wan Ismail berkata, apakah mereka mahu melihat ratusan cawangan Umno dalam bahagian ini ditutup, baru Umno negeri akan bertindak.

Beliau yang juga bekas Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) yang dipecat memberi amaran tidak teragak-agak akan bertindak meninggalkan parti jika pemimpin atasan menganggap perkara itu tidak penting.

Seorang lagi anggota jawatankuasa bahagian, Mohd Yakob Junoh turut kesal dengan sikap pemimpin Umno negeri, terutamanya Datuk Seri Mustapa Mohamed yang didakwanya tidak menangani kemelut yang berlaku di Rantau Panjang.

“Saya bimbang jika perkara kecil seperti ini tak dapat diselesaikan segera, keadaan keseluruhan Umno Rantau Panjang akan jadi punah,” katanya.

Beliau juga beranggapan hampir keseluruhan keluarga dan rakan-rakan PPM yang dipecat akan terasa tawar hati untuk memberi sokongan kepada Umno.

Katanya, tidak mustahil akan berlaku menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti. Lebih-lebih lagi kalau gesaan diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) diabaikan begitu saja.

Yakob berkata, seiring dengan EGM, pemilihan PPM secara mengundi patut diadakan. “Oleh kerana itu saya sekali mendesak semua PPM yang dilantik Abdullah meletak jawatan supaya pemilihan penghulu akan dibuat melalui pengundian,” katanya.

Sehingga kini team B masih mengadakan majlis penerangan atas nama ‘Pemantapan Umno Bahagian Rantau Panjang’ meliputi Dun Bukit Tuku, Dun Meranti dan Dun Gual Periok.

Sekarang pula beralih ke setiap mukim dengan nama majlis asyura.

harakahdaily.net

Husam sekali lagi nafi akan letak jawatan

KOTA BHARU, 30 Dis: Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyarakat Negeri, Datuk Husam Musa, hari ini menafikan beliau akan meletakkan semua jawatannya termasuk sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor.

Katanya, tidak ada sebab kenapa beliau harus berbuat demikian sedangkan pada masa yang sama beliau lebih menumpukan tuntutan royalti minyak dari Kerajaan Pusat.

“Lainlah kalau dah dapat royalti besok tuan-tuan buat rumous macam tu,”ujarnya sambil ketawa.

Katanya, akibat khabar angin sebagaimana yang didakwa dalam blog atau media itulah yang menyebabkan beliau membuat tuntutan saman dari pihak yang menyebarkan berita tidak benar.

Setakat ini beliau telah mengemukakan saman terhadap satu blog berhubung kes yang mendakwanya akan menerima wang dari Datuk Tamrin sebanyak RM15juta.

“Saya dah hantar surat saman kira-kira lebih sebulan lalu pada alamat di Klang, walaupun penulis blog terbabit orang Kelantan dan peguam saya memang dah saman dia. Dan dia ni kita dapati ‘cybers troopers Umno’,”ujarnya.

Beliau juga memberitahu, media seharusnya tidak menjadikan laman web atau blog tertentu khususnya yang didalangi pihak Umno sebagai bahan berita untuk siaran media.

Sambungnya, sebagai contoh sebuah akhbar harian hari ini yang mendakwa beliau telah menyindir keluarga Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, juga tidak benar.

“Tidak betul macam tu, kenapa saya nak sindir Tuan Guru, saya sendiri ada keluarga, ada adik-adik, bahkan adik saya sendiri pernah ditemuduga oleh sebuah agensi kerajaan negeri beberapa tahun lalu.

“Saya nasihatkan agensi kerajaan ni jangan ambil adik saya walaupun berkelayakan, saya lakukan demikian untuk menjaga imej kerajaan negeri disamping ingin mengelak tuduhan-tuduhan macam ni dari pihak yang tidak bertanggugjawab,”ujarnya.

Sambungnya lagi  tulisan dalam blognya sebelum ini bukan bermaksud menuding sesiapa, apa lagi kepada Tuan Guru.

Sambungnya, akhbar hari ini memetik kenyataannya dalam blog beliau itu kononnya menyindir Tuan Guru, seolah-olah ingin melaga-lagakan beliau dengan Tuan Guru.

Menurutnya, sebelum ini beliau pernah mengemukakan surat tuntutan saman kepada akhbar Utusan Malaysia dan New Strait Times (NST) berhubung perkara yang sama.

Ketika ditanya berhubung perkembangan tuntutan saman, beliau memeberitahu setakat ini NST mengemukakan kepada peguamnya untuk berunding awal tahun hadapan.

Ketika menjawab  jumlah tuntutan saman terhadap kedua-dua media terbabit beliau bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas berhubung jumlahnya.

“Saya memang tidak letak hargalah, hanya sekadar munasabah saja, lagipun apa yang saya lakukan sebagai pengajaran untuk para media sahaja, tidak lebih dari itu,”ujarnya lagi.

harakahdaily.net

Nik Aziz nafi: Husam letak jawatan dan dua pegawainya dipecat

Kelantan nafi tidak terima calon luar

Mustafa Ali sokong saranan Nik Aziz

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Setiuasaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyokong saranan agar semua orang boleh menjadi ketua kerajaan tanpa mengira bangsa dengan syarat dia seorang Islam yang baik.

Namun, Mustafa mencadangkan agar syarat baru itu tidak hanya untuk Menteri Besar Kelantan sahaja bahkan juga pemimpin utama negara.

“Saya tidak setuju ia terbatas kepada Kelantan sahaja tetapi seluruh negara dan perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk membolehkan semua orang, tanpa mengira dia Cina atau India, dengan syarat Islam boleh menjadi perdana menteri dengan syarat dia memenuhi kualiti kepimpinan yang baik,” kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, Nik Aziz berkata, beliau sedia meminda perlembagaan Kelantan untuk membolehkan orang bukan Melayu boleh menjadi menteri mesar negeri itu.

Namun, segelintir pemimpin Umno menolak cadangan itu dengan andaian ia membelakangi kepentingan Melayu.

Ketua Pembangkang di Dun Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad  menyifatkan Nik Abdul Aziz sebagai hilang kredibiliti dan tidak perlu lagi diulas sebarang kenyataannya.

Ketika mengulas pandangan balas itu, Nik Aziz menyifatkan mereka yang mempertikaikan cadangannya melantik orang Cina Muslim sebagai ketua kerajaan di Kelantan sebagai taksub kepada bangsa sendiri.

Katanya, bangsa Cina yang beriman kepada Allah tidak menjadi kesalahan dilantik sebagai pemimpin, memandangkan pemikiran mereka sudah lama maju ke hadapan.

“Pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat itu kerana taksub kepada bangsa sendiri,” katanya di sini.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pemimpin Umno begitu taksub terhadap bangsa sehingga menganggap bangsa lain tidak layak menjadi pemimpin.

“Walaupun bangsa lain itu warak, takwa, pelajaran tinggi, namun kerana terikat dengan bangsa mereka tidak bersetuju,” ujarnya.

Menurutnya juga kenyataan pemimpin yang enggan menerima kemampuan bangsa lain menyebabkan Umno tidak tempat dalam politik negara pada masa akan datang.

Malah katanya akan lebih memburukkan imej Umno di kalangan masyarakat Cina.

“Kalau bangsa Arab sekali pun jahat nak jadi Menteri Besar saya tidak terima, tetapi kalau orang Cina berperangai baik, saya akan menyokongnya.

Menurutnya, dengan cara ini akan memperluaskan kefahaman Islam kepada masyarakat pelbagai bangsa.

Ketika ditanya adakah undang-undang membenarkan pelantikan itu kata beliau perkara tersebut boleh dipinda.

Kelantan nafi tidak terima calon luar

(Gambar: Mohamad Daud bersama Nik Aziz dan Nik Amar dalam sidang media semalam)

KOTA BHARU, 30 Dis: Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Mohd Daud Iraqi menafikan membuat kenyataan yang hanya mahu anak Kelantan dicalonkan dalam pilihan raya umum akan datang seperti yang disiar beberapa akhbar dan juga portal berita di internet.

Bahkan katanya, tiada langsung wartawan yang bertanyakan hal itu padanya.

“Saya tidak pernah buat kenyataan itu dalam surat khabar, tiba-tiba keluar.

“Wartawan pun tidak ada yang tanya, lagi pun saya tidak bertanggungjawab pilih calon,” katanya pada sidang media bersama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam.

Sehubungan itu beliau meminta pihak media yang melapor hal berkenaan membuat pembetulan segera.

“Tu yang saya pelik tu, ‘tumbuh tidak bertanam’, saya mintak media tolong buat pembetulan,” katanya lagi.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz pula ketika mengulas perkara itu berkata, kenyataannya sebelum ini bahawa perkara itu ‘boleh difikir-fikir’ adalah mengambil jalan tengah kerana menyangka Datuk Mohd Daud Iraqi benar-benar mengeluarkan kenyataan tersebut.

“Kenyataan saya buat itu betul-betul hormat kepada ketua Dewan Ulamak negeri, saya sangka kenyataan beliau itu benar, rupanya bohong…dosa orang buat kerja-kerja macam ni,” katanya yang juga Mursyidul Am PAS.

Kelantan ujarnya tiada masalah langsung membenarkan calon luar bertanding kerusi pilihanraya di negeri itu.

“Kelantan dah memang biasa camtu…calon parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta, saya sendiri isytihar depan orang ramai di Pasir Puteh.

“Pendirian Kelantan memang begitu, suka bantuan dari orang luar, dan suka batu orang luar, tradisi ini IsyaAllah saya akan bawa dalam mesyuarat, bila jawatankuasa pilih calon setuju orang luar, saya akan setuju orang luar,” katanya lagi.

Tegasnya, amalan membataskan kenegerian katanya bukan dari ajaran Islam malah adat melayu lama yang bertapak.

“Islam ini tidak ada negeri-negeri ni…ini bukan ajaran Islam, ini ajaran Melayu kuno,” katanya.

Jangan Guna RM5 juta ‘Dana Rempit’ Untuk Kempen Umno!

KUALA TERENGGANU – Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu diberi ingatan supaya tidak menggunakan peruntukan kerajaan untuk membiayai kempen parti tersebut khususnya kepada golongan remaja dan belia.

Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, beliau bimbang dana RM30 juta yang diluluskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini disalahgunakan oleh Umno.

“Dalam Persidangan Dewan secara keseluruhannya kerajaan memperuntukkan RM30 juta untuk menyelesaikan masalah remaja termasuk masalah ‘Mat Rempit’,

”hanya kita bimbang, takut, mereka mengambil kesempatan menggunakan program itu untuk kempen Umno, sebagaimana mereka telah menyalahgunakan Program-program Bakti Remaja dengan peruntukan (kerajaan) yang besar,

“(mereka) memeras pemikiran remaja (dan belia) hanya terhadap kepartian Umno, bukan mengubah minda mereka, hati mereka dan mengubah agama mereka (menjadi lebih baik), ”katanya ketika ditemui Bultinonline.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung juga bimbang peruntukan dana yang besar itu hanya diberikan kepada pihak-pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.

Beliau bimbang kerana menurutnya sehingga kini kerajaan belum menyatakan secara jelas, apakah bentuk program atau projek dan modul yang akan digunakan bagi menyelesaikan masalah gejala sosial di kalangan remaja.

”Projek (atau) program belum (dinyatkan) secara jelas (dan) modul (yang akan digunakan) sepatutnya mesti dinyatakan kepada semua wakil rakyat, supaya ia dapat dilihat dan dinilai pengisiannya,”ujarnya.

Selaku yang bertanggungjawab keatas perkembangan golongan terbabit, beliau akan meneliti apa yang akan dikemukakan oleh kerajaan negeri dan bersedia untuk memberikan saranan, demi kebaikan remaja dan belia.

”Saya dah beri asas-asas (perkara yang perlu diambil perhatian) dalam Persidangan DUN untuk diambil penilaian (dan perjalanan oleh kerajaan), jadi kita tengok dulu (bagaimana ia akan dilaksanakan),”jelasnya.

Bacaan sebelumnya;

Siasat Program Bakti Remaja
Pemuda Pantau Penyelewengan Kerajaan

Tun Mahathir persoal keputusan ganti jet MiG-29

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan adakah kepentingan orang tengah mempengaruhi keputusan mengisytiharkan jet pejuang MiG-29 Tentera Udara Di-Raja Malaysia tidak dapat digunakan.

“Penjualan dan pembelian pesawat oleh kerajaan mampu memberi keuntungan besar (berjuta-juta) kepada orang tengah.

“Apakah ada kepentingan orang tengah yang mempengaruhi keputusan kondem MiG-29 untuk beli yang baru?” beliau mempertikaikan.

Beliau juga mempersoalkan,  dalam keadaan ekonomi negara sekarang, mampukah ratusan juta ringgit dibelanjakan untuk pesawat ganti?

“Jika kita beli ganti lagi ratusan juta diperlukan,” katanya

Dr Mahathir percaya, ada cara untuk membaikpulih pesawat pejuang dan pesawat lain.

“Tak bolehkah kita baikpulih MiG-29 ini? Kalau kita tak boleh, orang Rusia mungkin boleh. Mungkin India juga boleh.

“Jika pesawat pejuang yang berharga ratusan juta hanya tahan 20 tahun, lebih baik kita tidak ada pesawat pejuang,” kata beliau dalam blognya.

Beliau mengingatkan, walaupun pesawat tentera Rusia lebih murah daripada buatan Amerika, tetapi wang yang banyak terpaksa dibelanja juga ratusan juta ringgit akan hilang jika pesawat yang ada diisytiharkan tidak boleh digunakan lagi.

Beliau membangkitkan, banyak negara-negara lain, termasuk India, menggunakan pesawat ini.

“Apakah mereka juga tidak dapat guna MiG-29 mereka lebih daripada 20 tahun?

“Apakah mereka sudah kondem pesawat MiG mereka seawal ini?”

Beliau juga mengingatkan, walaupun pesawat Amerika kononnya tahan lebih lama, tetapi  apabila wang untuk membeli MiG-29 digunakan untuk membeli pesawat F/A-18, “akhirnya kita tahu syarat ketat yang dikenakan oleh Amerika Ayarikat”.

“Mereka tidak beri “source code” yang mana ini menghadkan kegunaan F/A-18 untuk pameran sahaja,” katanya.

Dr Mahathir berharap, kerajaan membatalkan keputusan untuk mengisytiharkan MiG-29 tidak boleh digunakan dan pesawat sedia ada dibaikpulih.

http://harakahdaily.net

Malaysia model negara Islam progresif?

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bersetuju dengan dakwaan Menteri Luar bahawa Malaysia adalah negara Islam progresif namun ianya wajar dilihat lebih mendalam dari sudut hakikat sebenar.

Mengulas dakwaan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bahawa Arab Saudi menganggap Malaysia sebagai model negara Islam progresif yang wajar dicontohi oleh negara-negara membangun lain, Mahfuz berkata, perkara itu dinanti-nantikan.

“Kita juga ternanti-nanti negara membangun mana yang beria-ia hendak mencontohi Malaysia memandangkan Malaysia kini semakin hebat pada tempat ke 56 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) setelah berada pada tempat ke 47 dalam tahun 2008,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan ada negara yang akan mengambil Malaysia sebagai negara contoh yang progresif melindungi perasuah malah mencalonkan perasuah dalam pilihan raya.

Mahfuz yakin negara-negara membangun yang mencari-cari model yang wajar dicontohi tidak lupa kenyataan Perdana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa politik wang “bukan kesalahan dari segi undang-undang negara ini”.

“Bukan sahaja melindungi rasuah malah menyediakan ruang-ruang untuk amalan rasuah seperti tender runding terus,” kata beliau.

Malaysia juga, katanya, boleh mengemukakan apa yang berlaku dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) sebagai model runding terus yang progresif dan wajar dicontohi.

“Keengganan kerajaan Najib menubuhkan suruhanjaya di raja bagi menyiasat skandal PKFZ juga boleh dijadikan model progresif yang wajar dicontohi,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Malah lebih dari semuanya, kata beliau lagi, Malaysia juga mempunyai parti pemerintah, iaitu Umno, yang boleh menjadi model progresif yang wajar dicontohi apabila bekas presiden parti itu sendiri menyatakan “Umno sudah jadi parti perasuah”.

“Malah, Dr Mahathir juga menceritakan bahawa seorang bekas pemimpin kanan parti itu menyifatkan ‘Umno busuk hingga ke ususnya’. Semua itu boleh menjadi model progresif yang wajar dicontohi,” kata Mahfuz.

Cara para pemimpin Malaysia menangani tuduhan terhadap mereka juga boleh menjadi model progresif yang wajar dicontohi, katanya.

Walaupun dakwaan penyiasat persendirian, P Balasubramaniam begitu terperinci dalam mengaitkan Najib dan keluarganya dengan Altantuya, katanya lagi, tetapi mereka memperlihatkan sikap yang begitu selamba.

“Najib menyifatkan dakwaan yang begitu terperinci itu sebagai semberono, adiknya (Datuk Mohamed) Nazim (Razak) pula berkata ‘tidak ada apa-apa yang saya hendak cakap’ dan yang paling hebat ialah isteri Najib, (Datin Seri) Rosmah (Mansor) berkata ‘saya tidak ada masa untuk melayan mereka’.

“Memang benar-benar model negara Islam progresif yang wajar dicontohi,” kata Mahfuz.

http://harakahdaily.net

Di sebalik Bajet Besar yang di Bentangkan, Terengganu Terus menjadi Negeri Termiskin di Semenanjung

Batu Enam, KUALA NERUS – Bajet besar yang dibentangkan oleh kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini membimbangkan, kerana jumlah hampir sama dibentangkan pada tahun lalu gagal membawa sebarang perubahan yang ketara kepada kehidupan rakyat.

”Kerajaan negeri telah membentangkan bajet tahun 2010 yang begitu besar, hampir RM2000 juta iaitu RM1.881 bilion, suatu penambahan dari bajet tahun lepas,
”tapi sebenarnya kalau di campurkan dengan bajet tambahan pada tahun 2009, ia melebihi RM2 bilion,

“dan saya menjangkakan kemungkinan tahun hadapan akan dibentangkan bajet tambahan juga”kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal Dr. Alias Razak.

Namun begitu, menurutnya, hanya 8% yang berjumlah RM162 juta sahaja dari keseluruhan bajet itu adalah hasil yang dapat dikutip oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional.

Manakala bakinya, kata beliau, adalah datang dari Dana Khas Kerajaan Persekutuan, daripada duit royalti petroleum.

Oleh itu, katanya, sekiranya tiada Dana Khas, kerajaan Umno/BN tidak akan mampu walaupun untuk membayar gaji Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

”RM162 juta sahaja yang dia (Umno/BN) dapat cari, kita (kerajaan PAS Terengganu) RM300 juta, siapa yang pandai memerintah? Siapa pandai cari duit?,

”Kalau (Perdana Menteri Dato’ Seri ) Najib tak bagi duit, (Menteri Besar Dato’) Ahmad Said tak boleh buat apa, nak bayar gaji JKKK pun tak boleh,”jelasnya ketika berucap dalam Majlis Penerangan disini semalam.

Beliau yang juga Naib Yang DiPertua PAS Kuala Nerus berkata, disebalik pembentangan bajet yang besar pada tahun lalu, negeri Terengganu masih merupakan negeri termiskin di Semenanjung dan ketiga termiskin di Malaysia.

Menurutnya, fakta tersebut adalah berdasarkan program E-Kasih yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan dan senarai bantuan hari raya yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.

http://buletinonline.net