Keputusan Fairus bukti PKR hanya gemar populariti

MELAKA: Tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, menunjukkan tembelang Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang lebih gemar mencari populariti politik, berbanding membantu rakyat.

Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abd Jalil Majid dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata tindakan wakil rakyat pembangkang berkenaan juga hanya merugikan rakyat, termasuk pembaziran wang.

“Tindakan beliau (Mohammad Fairus) itu hanya akan menyusahkan dan menghampakan rakyat, selain membazirkan wang mereka.

“Apa yang berlaku itu nyata menunjukkan PKR tidak ikhlas untuk membantu rakyat, malah mereka sebaliknya lebih gemar mencari populariti dalam politik,” katanya.

Kenyataan ringkas dihantar melalui Setiausaha Akhbar Ketua Menteri Melaka, Mohd Daud Awang yang sedang menyertai rombongan, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ke Afrika Selatan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti adalah satu daripada tiga kerusi yang terdapat dalam Parlimen Permatang Pauh. Dua lagi adalah Seberang Jaya dan Permatang Pasir. Dalam pilihan raya umum lalu, Mohammad Fairus memenangi kerusi ini dengan menewaskan Abd Jalil yang mewakili Barisan Nasional (BN).

http://www.bharian.com.my