Shaik Faizal Shaik Ibrahim
GEORGETOWN: Seorang pengawal keselamatan maut selepas tercampak ke tempat duduk pemandu sebuah bas ekspres apabila motosikalnya dirempuh kereta di Jalan Jelutong di sini, semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 4.30 pagi, Shaik Faizal Shaik Ibrahim, 43, dari flet Sungai Pinang, Jelutong, dikatakan melambung hingga mengakibatkan cermin depan bas itu pecah, manakala motosikalnya diseret kereta berkenaan sejauh 80 meter.
Ketua Turus Trafik Negeri, Deputi Superintendan Wari a/k Kiew, berkata mangsa yang memberhentikan motosikalnya berhampiran bas yang diletakkan di tepi jalan itu untuk ke sebuah restoran nasi kandar secara tiba-tiba dirempuh kereta berkenaan.
Beliau berkata, Shaik Faizal cedera parah di beberapa anggota badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu bas berusia 40-an yang baru menghidupkan enjin kenderaan selepas makan di restoran berdekatan pula cedera ringan akibat terkena serpihan kaca dan nyaris dihempap mangsa.
Wari berkata, pemandu kereta berusia 24 tahun itu juga cedera ringan dan polis akan melakukan ujian air kencing ke atasnya bagi membantu siasatan.
Anggota polis memeriksa mayat pengawal keselamatan Shaik Faisal Shaik Ibrahim, 43, yang maut selepas terperosok di tempat duduk pemandu bas ekspres sejurus motosikalnya dirempuh kereta dalam kemalangan di Jalan Jelutong, Georgetown, Pulau Pinang, semalam. Shaik Faisal dikatakan melambung hingga mengakibatkan cermin depan bas itu pecah, manakala motosikalnya diseret kereta terbabit sejauh 80 meter.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu, diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Timur Laut di talian 04-2181822 untuk membantu siasatan.
Filed under: Info terkini |
Tinggalkan Jawapan