Najib, Umno dan BN patut malu!

KANGAR, 14 Mei (Hrkh) – Pemimpin Umno dan BN harus memohon maaf dan bersifat malu dengan perbuatan mereka merampas kuasa pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak Februari lalu.

Ketua Penerangan PAS Perlis, Hairy Hashim berkata Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Razak yang bertanggungjawab ke atas peristiwa rampasan kuasa itu perlu menginsafi bahawa perbuatannya itu sebenarnya telah membelakangi undang-undang.

“Beliau menyatakan institusi perundangan itu adalah adil. Kenyataan ini hanyalah mahu membersihkan imejnya yang buruk kerana perbuatan merampas kuasa dulu berselindung di sebalik ugutan dan rasuah.

“Baru-baru ini semasa kekecohan di sidang Dun Perak, Najib mendakwa Adun Pakatan tidak hormati undang-undang, tapi perbuatan merekalah yang sebenarnya membelakangi undang-undang.

“Mereka haruslah malu dengan perbuatan itu kerana ternyata keputusan mahkamah berpihak kepada pihak yang benar,” ujarnya.

Hairy berkata demikian ketika mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengumumkan Dato’ Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

http://www.harakahdaily.net

Najib perlu ambil teladan apa yang berlaku di Pattaya

Irwan Muhammad Zain
Sun | Apr 12, 09 | 11:34:38 am MYT
KUALA LUMPUR, 12 Apr (Hrkh) – PAS menggesa Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak mengambil teladan atas apa yang berlaku di Pattaya semalam.

Kebangkitan rakyat Thailand itu merupakan manifestasi daripada ketidakpuasan hati mereka terhadap rampasan kuasa dan usaha menjatuhkan pemimpin pilihan mereka.

Setiausaha Agung PAS Pusat, Dato’ Kamaruddin Jaffar menegaskan tidak mustahil rakyat Perak akan melakukan perkara yang sama jika Dewan Undangan Negeri (Dun) tidak segera dibubarkan bagi membolehkan mereka memilih dan menentukan siapa pemimpin dan kerajaan mana pilihan mereka.

“Keputusan pilihan raya kecil Bukit Gantang merupakan referendum rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) yang telah merampas kuasa di Perak secara tidak bermoral Februari lalu.

“Jika Dun tidak dibubarkan, PAS bimbang apa yang berlaku di Thailand akan turut terjadi di Perak dan jika ianya berlaku ia akan memburukkan lagi keadaan.

“Perdana Menteri sendiri telah melihat kesannya di Pattaya bila rakyat tidak berpuas hati dengan rampasan kuasa jadi seharusnya beliau bertindak segera,” tegas Kamaruddin kepada Harakahdaily.

Beliau juga menegaskan BN tidak seharusnya mengenepikan suara rakyat di Bukit Gantang yang jelas menolak mereka dan penolakan tersebut juga merupakan petanda mereka tidak menerima kerajaan haram yang diterajui oleh Umno di negeri tersebut.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 dibatalkan semalam selepas penunjuk perasaan antikerajaan merempuh pasukan keselamatan dan menggempur pusat media di lokasi sidang kemuncak itu berlangsung.

Penunjuk perasaan antikerajaan yang berbaju merah telah menyerbu pusat media berhampiran Hotel Royal Cliff sambil mengibarkan bendera dan menjerit slogan-slogan antikerajaan. Mereka turut memecahkan tingkap.

Sementara itu, tentera telah mengepung hotel tempat pemimpin-pemimpin ASEAN dijadual menghadiri makan tengah hari dan memutuskan sama ada akan meneruskan atau menangguhkan sidang kemuncak tersebut.

Berikutan itu, Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva mengisytiharkan darurat di Pattaya, resort tempat persidangan itu berlangsung, terletak kira-kira 150 kilometer dari selatan ibu negeri Bangkok.

Beliau turut mengisytiharkan darurat di kawasan sekitar wilayah Chonburi selepas penunjuk perasaan menggempur lokasi tersebut.

Pembatalan Sidang Kemuncak ASEAN itu merupakan kejadian memalukan buat kerajaan Abhisit yang mula memerintah sejak Disember lalu.

Sementara itu, seorang pemimpin pembangkang, Jakrapob Penkair menyifatkan, kumpulan antikerajaan telah mencatat kejayaan melalui pembatalan sidang kemuncak itu, namun katanya, bantahan akan tetap diteruskan sehingga Abhisit meletak jawatan. – mns

Video: Kabinet Baru Najib 2009

Video: Ahli UMNO/BN Tolak Kepimpinan Najib.

Kegagalan Barisan Nasional merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau daripada pembangkang bermakna rakyat menolak kepimpinan baru negara yang kini di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

terdapat beberapa faktor tempatan dan nasional yang menyumbang kepada kekalahan itu.

Kalah dua bukit, rakyat semenanjung tolak Najib

(Analisis) : Sah! rakyat memilih untuk terus bersama Pakatan Rakyat bagi dua kerusi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dun Bukit Selambau.

Dalam keputusan rasmi Parlimen Bukit Gantang, calon PAS, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meraih 21,860 undi, manakala calon BN, Ismail Saffian mendapat 19,071 undi, dan calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris hanya 62 undi. Dengan itu Nizar diisytihar menang dengan majoriti 2,789 undi.

Sementara calon KeADILan, S Manikumar menang dengan 12,632 undi, BN 10,229. Majoriti 2,403 undi.

Keputusan dua bukit yang sangat menggetirkan ini membawa satu lagio dimensi nbaru kepada politik tanahair tatkala kononnya Umno mahu melakukan ‘reform’ selepas metabalkan Dato’Seri Najib Tun Razak selaku Presiden baru mereka.

Walaupun pada awalnya ramai penganalisis politik menjangkakan Najib memberi suntikan baru kepada dunia politik Umno/Bn, malangnya keputusan dua bukit sama sekali menafikan perihal analisa awal itu.

PAS dan KeADILan menang dalam suasana Harakah dan Suara Keadilan digantung penerbitannya di awal kempen, ditamnbah lagi dengan larangan kempen membicarakan isu Altantuya Shaariibu dan kontroversi keputusan Sultan Perak.

Namun menarik untuk diperkatakan tentang satu teori yang dikemukakan oleh pensyarah UKM, Dr Kamaruzzaman Yusof dalam rancangan Analisis Awani sebentar tadi mengenai kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad berkempen bagi pihak Umno/BN.

Mudah sahaja, kata Kamaruzzaman kehadiran Tun Mahathirdi Bukit Gantang membawa impak negatif kepada Umno/BN yang pada awalnya memperlihatkan peluang cerah untuk menang.

Situasi sangat berbeza pada pilihan raya umum Mac lalu apabila kehadiuran kritikan dari Tun Mahathir amat memberi kesan kepada pola pengundian.

Namun di Bukit Gantang, kehadiran semula Tun Mahathir nyata tidak membantu Umno/Bn meraih sokongan mengembalikan status Bukit Gantang sebagai kubu kuat BN satu masa lalu.

Tun Mahathir sangat diketahui perihal politiknya mutakhir ini masuk semula ke dalam Umno apabila Najib menjadi Presiden dan Abdullah Ahmad Badawiu berundur dari PM.

Mahathir adalan antara individu paling lantang mengecam kepimpinan Abdullah dengan pelbagai istilah diberikan kepada bekas PM itu antaranya ‘penidur’; ‘kerajaan tiga beranak’; dan kerajaan yang ada ‘penasihat tingkat empat’.

Usaha menjatuhkan Abdullah antaranya didukung kuat Mahathir yang hari ini nyata menampakkan sokongan padu kepada Najib sebaik sahaja anak didiknya itu jadi Presiden Umno dan PM.

Licik sungguh permainan Mahathir dan Najib, hingga Abdullah yang mempunyai penasihat bijak di ‘tingkat empat’ Putrajaya pun tidak terhidu akan sudahnya begini.

Abdullah jatuh dalam keadaan yang paling menyedihkan, diherdik kawan (Umno) dan dicaci lawan selain pada zamannya juga berlaku krisis ekonomi yang amat dahsyat.

Najib mengambil alih dengan ‘senyuman’ sinis yang pastinya ada ‘udang sebalik batu’ dengan pembebasan 13 tahanan ISA dan penarikan semula larangan terbitan akhbar Harakah dan Suara Keadilan.

Seperti kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar pelantikan Najib selaku PM hanyalah lantikan atas dasar kemelut yang berlaku dalam Umno.

Sebaliknya dihati rakyat Najib bukanlah pilihan yang ditunggu kerana imej negatif membayangi pelantikan PM keenam itu yang bakal mentadbir dengan nasihat ‘first lady’ (Datin Seri Rosmah Mansor) yang mencetus kontroversi.

Najib menjadi PM selepas Umno/BN berhadapan dengan kemelut kecemasan setelah kalah besar dalam pilihan raya umum ke-12; pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan Permatang Pauh.

Justeru kelihatan Najib amat khuatir BN di bawah kepimpinannya sukar mendapat kepercayaan baru rakyat bahawa beliau akan mampu mebawa perubahan dengan slogan �One Malaysia�nya.

Langkah popular Najib hanya dilihat sebagai langkah terdesak didalam usaha untuk mendapat kepercayaan rakyat dengan mengumumkan tiga perkara ini didalam ucapan rasminya yang pertama yang disiarkan melalui media perdana.

Namun, keikhlasan Najib untuk menyuburkan demokrasi di Malaysia masih disangsikan oleh ramai pihak.

Najib bukan orang baru didalam politik, beliau telah berada dalam kepimpinan Umno/BN sejak lebih dari 30 tahun yang lalu.

Pemikiran, gaya, cara, budaya dan hidup Najib telah digelumangi dengan cara dan etika Umno/BN, akta zalim ISA sebenarnya tetap akan terus menjadi snjata utama jika beliau terdesak nanti.

Pembebasan Harakah dan Suara Keadilan ketika kempen pilihan raya kecil masuk fasa akhir hanya helah besar Najib, sedangkan pada awalnya sekatan adalah untuk menafikan hak kempen dua akhbar ini.

Nah hari ini segala strategi memulihkan imej Najib melalui tiga pilihan raya kecil nyata tidak mendatangkan kesan, dan dariu awal lagi ada benarnya penafian Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa PRK ini bukan referendum rakyat menolak Najib.

Pastinya Muhyiddin dapat merasakan rakyat akan menolak BN di dua bukit, dan akhirnya terpaksa membujat kenyataan bahawa keputusan PRK bukan referendum rakyat.

Jalan politik Najib pastinya berliku, kekalahan di dua kerusi disemenanjung bakal menjadi buah tangan Pakatan Rakyat untuk lebih kerap menyerang Najib atas kegagalan pertama pilihan raya ketika Umno di bawah jagaannya.

Biarpun ramai yang memilih untuk tidak menyatakan ia referendum rakyat tetapi peristiwa dua bukit pada 7 April 2009 pastinya titik gelap permulaan karier Najib selaku Presiden Umno.

Jika benar Najib berani dalam menghadapi kegetiran politik, pastinya cabaran yang dibuat Mahfuz agar adakan pilihan raya kecil negeri Perak jika Nizar menang prk Bukit Gantang, pastinya disahut kelak.

Namun apakah hayat politik Najib lebih singkat berbanding Abdullah, masa akan menentukannya. _

Najib bebas 13 tahanan ISA, benar terbit semula 2 akhbar

SERAH TUGAS…Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan Fail Meja YAB Perdana Menteri simbolik penyerahan tugas sebagai Perdana Menteri keenam kepada penggantinya Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Pejabat Perdana Menteri.

PETALING JAYA: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan tiga keputusan penting lewat petang semalam – menarik balik penggantungan dua akhbar terbitan Pakatan Rakyat selain membebaskan 13 tahanan ISA dan memulakan langkah mengkaji semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ia merupakan pengumuman awal dibuat oleh beliau pada hari pertama – kira-kira 10 jam selepas dilantik sebagai Perdana Menteri keenam.

Daripada 13 orang itu, dua orang merupakan pemimpin Hindraf yang telah diharamkan hujung tahun lalu.

Dua pemimpin Hindraf itu ialah V.S. Ganapathy Rao and R. Kengadhedharan yang ditahan pada 13 Disember 2007.

Tahanan lain yang dibebaskan ialah tujuh orang anggota Darul Islam, tiga rakyat asing kerana memalsukan dokumen dan seorang anggota Jemaah Islamiah.

Anggota Darul Islam yang dibebaskan ialah Binsali Omar, A. Artas A. Burhanudin, Idris Lanama, Francis Indanan, Mohd Nazri Dollah, Pakana Selama, dan Mohd Arasad Patangari yang ditahan sejak 2006.

Tiga rakyat asing itu ialah Sundaraj Vijay (Warga India) dan dua warga Myanmar iaitu San Khaing dan Amir Hussain. Mereka ditahan sejak 2007.

Anggota Jemaah Islamiah yang dibebaskan ialah Wan Amin Wan Hamat yang ditahan sejak 2003.

Mereka dibebaskan berkuat kuasa serta-merta, kata Najib.

Difahamkan mereka akan keluar dari pusat tahanan Kamunting awal pagi esok.

mStar Online dimaklumkan keluarga pemimpin Hindraf akan menemui mereka awal pagi ini.

Pada 23 Mac lalu, Kementerian Dalam Negeri telah menggantung permit dua akhbar parti pembangkang iaitu Harakah dan Suara Keadilan masing-masing selama tiga bulan.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengumumkan bahawa pihak kerajaan akan menarik balik larangan penerbitan sementara bagi dua surat khabar serta membebaskan 13 tahanan ISA berkuat kuasa serta-merta.

“Proses kajian semula terhadap ISA akan juga dimulakan,” kata beliau dalam perutusan khas sempena pelantikannya sebagai Perdana Menteri keenam semalam.

Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pukul 10 pagi semalam.

Pada asasnya, menurut Najib, kepimpinan yang bakal diwujudkan wajar membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru, demi menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat.

“Rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air. Tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional.

“Kita akan rapatkan hubungan Rakyat dan Kerajaan dari dikelirukan dan diperdaya oleh permainan muslihat politik,” katanya.

Dalam hal ini, potensi golongan anak muda akan dibangunkan kerana percaya merekalah generasi pewaris bakal pendidik, doktor, peguam, akauntan, saintis, jurutera, tokoh perniagaan, cerdik pandai dan saf pemimpin masa depan.

“Maka dengan itu, pada hari yang bersejarah ini saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat,” katanya.

Justeru kata Najib, beliau sedar sudah tepat masanya “kita mengambil langkah-langkah demikian untuk mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap pihak yang berwajib atas soal keselamatan negara serta mengembalikan keutamaan kita untuk menangani ancaman-ancaman yang dianggap merbahaya dan munasabah.”

Katanya, Kementerian Dalam Negeri akan memberikan butir-butir selanjutnya selepas ini.

Sehubungan itu, Najib yang juga Presiden Umno memberitahu, beliau menyedari bahawa sekarang adalah masa yang cukup mencabar bagi setiap warga.

“Saya komited memastikan kepimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia termasuk di negara kita.

“Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia,” katanya lagi.

Malah beliau juga mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: “Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.”

Mengirai Najib

Mana Cerita Dari Janda Perdana Menteri

SEJAK beberapa malam dulu dan kemuncaknya hari ini semua media massa cetak dan eletronik memaparkan kisah hidup dan perjuangan Najib Razak. Perjalanan politik Najib dari awal hingga akhir – sehingga angkat sumpah menjadi PM ke-6 dilakar dan ditulis demikian rupa. Semuanya menggambarkan kehebatan dan keagungan Najib sebagai ‘dewa bangsawan politik.’

Bukan saja karektor Najib sebagai seorang pelajar yang baik, cerdik dan pintar sejak sedari kecil dilukiskan; kegemaran, pakaian, cara pidato dan telatah Najib di meja makan juga turut sama dilukiskan. Pendeknya semua tidak terlepas dari cakupan media massa, masing-masing berlumba untuk menukilkan (glorify) sesuatu yang indah dan menyeronokkan.

Penulis yang mencari makan di hujung pena pula akan mencatat sesuatu yang merujakan rakyat tentang Najib. Mengelak rakyat agar menyokong Najib sepenuhnya sebagai perdana menteri. Manakala ahli politik yang mencari kerusi akan melihat Najib umpama sebutir intan yang bersinar dari semua dimensi dipandangnya.
Semua orang yang hampir dengan Najib diinterviu dan ditanya mengenai masa silam Najib. Mengenai sikap Najib dan falsafah politiknya. Mereka yang berkongsi kereta dengan Najib semasa di London juga turut sama diinterviu dan cerita itu dipaparkan dengan penuh nostalgik bagi menggambarkan kerendahan dan ketawadukan diri Najib.
Ibu Najib, Tun Puan Rahah Mohd Noah juga sudah semestinya ditanya mengenai anaknya yang bertuah itu. Maka berceritalah Rahah mengenai masa kecil perdana menteri itu. Bahawa Najib bukan dilahirkan untuk menjadi perdana menteri, namun Rahah terpaksa akur dengan kehendak dan ketentuan Allah s.a.w. Dan jawatan yang dijabat oleh anak sulung itu sangat disyukurinya.
Begitu juga dengan isteri kedua Najib, Rosmah Mansor pun dipotretkan begitu anggun sekali. Sebagai seorang isteri yang bekerja kuat dan pemberi semangat kepada Najib. Seorang isteri yang berpeluh berpela bersama Najib dalam mengapai kerusi penuh berkuasa itu. Bahkan ada yang gatal mulut berkata jika bukan kerana kesungguhan Rosmah, Najib tidak mungkin menjadi perdana menteri!
Ertinya orang yang bekerja kuat untuk meletakkan Najib di kerusi nombor wahid negara ialah Rosmah Mansor? Maka wajarlah kalau Najib menyanyangi Rosmah lebih dari segala-galanya.
Dan saya sebagai penulis yang mengikut perjalanan politik Najib sejak tahun 80-an merasa semacam tidak lengkap apabila media dan orang bercakap mengenai Najib. Persis ada kekosongan telah berlaku dalam autobiografi kehidupan Najib itu, apabila perkara ini dialpakan.
Apakah hakikat ini tidak diketahui oleh pengamal media atau pencatat sejarah politik berusia bawah 30-an ataupun ianya sengaja dilupakan? Kalau wartawan atau penulis muda lupa, apakah wartawan dan penulis veteran juga lupa mengenai hal ini?
Apa yang saya maksudkan itu ialah seorang insan bernama Puteri Zainah binti Iskandar, perempuan pertama yang bersama Najib membina kehidupan. Siapakah Puteri Zainah ini? Dia adalah wanita pertama yang berada di sisi Najib. Wanita pertama yang berada di kiri Najib atas pelamin yang kilau gemilau. Wanita pertama yang menjadi teman tidur Najib yang sah. Wanita pertama yang meyendukkan nasi ke pinggan Najib. Wanita pertama yang mengambil baju dan seluar Najib untuk ke pejabat.
Ke manakah wanita ini sekarang? Apakah ia boleh dilupakan bahawa beliau pernah wujud bersama perdana menteri baru itu? Apakah ianya boleh dilupakan begitu saja? Bolehkan setiap detik sejarah berlalu dihapuskan oleh perasaan kebencian?
Tidak…. wanita ini tidak boleh disunyikan seolah ia tidak pernah hidup bersama Najib. Betapa sejuta kali tidak suka sejarah ini tetap terpahat dalam benak rakyat. Betapa pun ada kuasa yang cuba menafikannya, namun sejarah dan biologi tidak boleh menafikan bahawa darah wanita ini ada dalam tubuh tiga orang anak perdana menteri itu; Mohd Nizar, 32, Puteri Norlisa, 28 dan Mohd Nasifuddin? Bolehkah dunia mengenepikan begitu saja?
Puteri Zainah masih hidup dan masih sihat. Cebisan kenangan indah dan buruk beliau dengan Najib masih terpampar di kepalanya. Dia juga berhak sebenarnya bercakap mengenai Najib. Dia masih waras untuk bercerita segala-gala dari malam pertama sehinggalah kemalam terakhir kehidupan rumah tangganya dengan Najib.

Sebelum si janda Rosmah Mansor menjelma dalam lataran hidup Najib, Puteri Zainah atau lebih dikenali dengan Ku Yie inilah yang mengikut Najib ke majlis-majlis kerajaan. Yang menemani Najib menziarahi rakyat di Pekan dan seluruh Pahang semasa Najib menjadi Menteri Besar Pahang dulu. Ku Yielah yang menjadi pujaan dan kesayangan Tun Puan Rahah. Ku Yielah yang lebih dikenali dan dimesrai rakyat Pahang berbanding dengan Rosmah.

Kenapa media melupai Ku Yie ini? Rasanya elok kalau media ikut sama bertandang ke rumah ke Yei Jalan Maktab, off Jalan Gurney, Kuala Lumpur untuk bertanya dan bercerita masa-masa indah bersama bekas suaminya itu yang kini menjadi perdana menteri.
Tinjaulah juga pendapat dan pandangannya. Selaminya juga perasaan hati kecilnya bagaimana setelah lelaki yang pernah hidup bersamanya dulu kini sudah bergelar sebagai perdana menteri. Coretlah juga perasaan gembira Ku Yie atas apa yang berlaku itu. Tidak salah rasanya, bahkan tinjauan itu melengkap dan menyempurnakan lagi autobiografi Najib.
Ku Yie tentu menyimpan sejuta cerita mengenai Najib termasuk cerita-cerita misteri yang terlarang untuk dibukukan. Elok juga kalau dicungkilkan bagaimana rumah tangga mereka yang dibina selama lebih 10 itu tiba-tiba runtuh dan hancur. Sedikit sebanyak dari kisah rumah tangga itu dapat sama-sama kita melihat kelemahan Najib dan juga kemampuannya dalam membina negara dan nusa.
Saya menunggu dengan penuh minat cerita atau komen daripada Ku Yie. Saya mahu tenguk apa yang media tulis dan korek darinya. Sekiranya dalam tempoh beberapa hari ini tidak ada komen dari Ku Yie insyaAllah saya akan cuba membuka semula album kehidupan Ku Yie bersama perdana menteri yang sudah terbungkus dalam sejarah itu yang ada dalam pengetahuan saya.
Dan sejarah itu penting untuk dibaca oleh 27 juta rakyat Malaysia mengenali siapakah sebenarnya perdana menteri mereka dan siapakah juga wanita nombor wahid Malaysia kini. [wm.kl. 10: 30 am 04/04/09]