Umno Rantau Panjang lumpuh

RANTAU PANJANG, 31 Dis: Perhubungan Umno Kelantan sehingga kini dikatakan gagal mengambil sebarang langkah menyelesaikan krisis yang berlaku di bahagian Rantau Panjang.

Dua kumpulan yang sedang bertelagah iaitu diketuai Abdullah Mat Yassin dan Dato’ Mohd Zain Ismail kini masing-masing sudah mengisytiharkan ‘perang’.

Ini membuatkan Umno bahagian tersebut menjadi lumpuh daripada melakukan sebarang kegiatan untuk faedah rakyat.

Akibat kemelut yang tidak berkesudahan itu juga, bahagian berkenaan tidak dapat mengadakan sebarang mesyuarat ahli jawatan kuasa bahagian.

Ini kerana ketiadaan kesefahaman di antara kedua-dua kumpulan tersebut.

Anggota jawatankuasa Umno bahagian itu, Wan Yacob Wan Ismail berkata, apakah mereka mahu melihat ratusan cawangan Umno dalam bahagian ini ditutup, baru Umno negeri akan bertindak.

Beliau yang juga bekas Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) yang dipecat memberi amaran tidak teragak-agak akan bertindak meninggalkan parti jika pemimpin atasan menganggap perkara itu tidak penting.

Seorang lagi anggota jawatankuasa bahagian, Mohd Yakob Junoh turut kesal dengan sikap pemimpin Umno negeri, terutamanya Datuk Seri Mustapa Mohamed yang didakwanya tidak menangani kemelut yang berlaku di Rantau Panjang.

“Saya bimbang jika perkara kecil seperti ini tak dapat diselesaikan segera, keadaan keseluruhan Umno Rantau Panjang akan jadi punah,” katanya.

Beliau juga beranggapan hampir keseluruhan keluarga dan rakan-rakan PPM yang dipecat akan terasa tawar hati untuk memberi sokongan kepada Umno.

Katanya, tidak mustahil akan berlaku menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti. Lebih-lebih lagi kalau gesaan diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) diabaikan begitu saja.

Yakob berkata, seiring dengan EGM, pemilihan PPM secara mengundi patut diadakan. “Oleh kerana itu saya sekali mendesak semua PPM yang dilantik Abdullah meletak jawatan supaya pemilihan penghulu akan dibuat melalui pengundian,” katanya.

Sehingga kini team B masih mengadakan majlis penerangan atas nama ‘Pemantapan Umno Bahagian Rantau Panjang’ meliputi Dun Bukit Tuku, Dun Meranti dan Dun Gual Periok.

Sekarang pula beralih ke setiap mukim dengan nama majlis asyura.

harakahdaily.net

Husam sekali lagi nafi akan letak jawatan

KOTA BHARU, 30 Dis: Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyarakat Negeri, Datuk Husam Musa, hari ini menafikan beliau akan meletakkan semua jawatannya termasuk sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor.

Katanya, tidak ada sebab kenapa beliau harus berbuat demikian sedangkan pada masa yang sama beliau lebih menumpukan tuntutan royalti minyak dari Kerajaan Pusat.

“Lainlah kalau dah dapat royalti besok tuan-tuan buat rumous macam tu,”ujarnya sambil ketawa.

Katanya, akibat khabar angin sebagaimana yang didakwa dalam blog atau media itulah yang menyebabkan beliau membuat tuntutan saman dari pihak yang menyebarkan berita tidak benar.

Setakat ini beliau telah mengemukakan saman terhadap satu blog berhubung kes yang mendakwanya akan menerima wang dari Datuk Tamrin sebanyak RM15juta.

“Saya dah hantar surat saman kira-kira lebih sebulan lalu pada alamat di Klang, walaupun penulis blog terbabit orang Kelantan dan peguam saya memang dah saman dia. Dan dia ni kita dapati ‘cybers troopers Umno’,”ujarnya.

Beliau juga memberitahu, media seharusnya tidak menjadikan laman web atau blog tertentu khususnya yang didalangi pihak Umno sebagai bahan berita untuk siaran media.

Sambungnya, sebagai contoh sebuah akhbar harian hari ini yang mendakwa beliau telah menyindir keluarga Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, juga tidak benar.

“Tidak betul macam tu, kenapa saya nak sindir Tuan Guru, saya sendiri ada keluarga, ada adik-adik, bahkan adik saya sendiri pernah ditemuduga oleh sebuah agensi kerajaan negeri beberapa tahun lalu.

“Saya nasihatkan agensi kerajaan ni jangan ambil adik saya walaupun berkelayakan, saya lakukan demikian untuk menjaga imej kerajaan negeri disamping ingin mengelak tuduhan-tuduhan macam ni dari pihak yang tidak bertanggugjawab,”ujarnya.

Sambungnya lagi  tulisan dalam blognya sebelum ini bukan bermaksud menuding sesiapa, apa lagi kepada Tuan Guru.

Sambungnya, akhbar hari ini memetik kenyataannya dalam blog beliau itu kononnya menyindir Tuan Guru, seolah-olah ingin melaga-lagakan beliau dengan Tuan Guru.

Menurutnya, sebelum ini beliau pernah mengemukakan surat tuntutan saman kepada akhbar Utusan Malaysia dan New Strait Times (NST) berhubung perkara yang sama.

Ketika ditanya berhubung perkembangan tuntutan saman, beliau memeberitahu setakat ini NST mengemukakan kepada peguamnya untuk berunding awal tahun hadapan.

Ketika menjawab  jumlah tuntutan saman terhadap kedua-dua media terbabit beliau bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas berhubung jumlahnya.

“Saya memang tidak letak hargalah, hanya sekadar munasabah saja, lagipun apa yang saya lakukan sebagai pengajaran untuk para media sahaja, tidak lebih dari itu,”ujarnya lagi.

harakahdaily.net

Nik Aziz nafi: Husam letak jawatan dan dua pegawainya dipecat

Kelantan nafi tidak terima calon luar

Mustafa Ali sokong saranan Nik Aziz

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Setiuasaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyokong saranan agar semua orang boleh menjadi ketua kerajaan tanpa mengira bangsa dengan syarat dia seorang Islam yang baik.

Namun, Mustafa mencadangkan agar syarat baru itu tidak hanya untuk Menteri Besar Kelantan sahaja bahkan juga pemimpin utama negara.

“Saya tidak setuju ia terbatas kepada Kelantan sahaja tetapi seluruh negara dan perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk membolehkan semua orang, tanpa mengira dia Cina atau India, dengan syarat Islam boleh menjadi perdana menteri dengan syarat dia memenuhi kualiti kepimpinan yang baik,” kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, Nik Aziz berkata, beliau sedia meminda perlembagaan Kelantan untuk membolehkan orang bukan Melayu boleh menjadi menteri mesar negeri itu.

Namun, segelintir pemimpin Umno menolak cadangan itu dengan andaian ia membelakangi kepentingan Melayu.

Ketua Pembangkang di Dun Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad  menyifatkan Nik Abdul Aziz sebagai hilang kredibiliti dan tidak perlu lagi diulas sebarang kenyataannya.

Ketika mengulas pandangan balas itu, Nik Aziz menyifatkan mereka yang mempertikaikan cadangannya melantik orang Cina Muslim sebagai ketua kerajaan di Kelantan sebagai taksub kepada bangsa sendiri.

Katanya, bangsa Cina yang beriman kepada Allah tidak menjadi kesalahan dilantik sebagai pemimpin, memandangkan pemikiran mereka sudah lama maju ke hadapan.

“Pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat itu kerana taksub kepada bangsa sendiri,” katanya di sini.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pemimpin Umno begitu taksub terhadap bangsa sehingga menganggap bangsa lain tidak layak menjadi pemimpin.

“Walaupun bangsa lain itu warak, takwa, pelajaran tinggi, namun kerana terikat dengan bangsa mereka tidak bersetuju,” ujarnya.

Menurutnya juga kenyataan pemimpin yang enggan menerima kemampuan bangsa lain menyebabkan Umno tidak tempat dalam politik negara pada masa akan datang.

Malah katanya akan lebih memburukkan imej Umno di kalangan masyarakat Cina.

“Kalau bangsa Arab sekali pun jahat nak jadi Menteri Besar saya tidak terima, tetapi kalau orang Cina berperangai baik, saya akan menyokongnya.

Menurutnya, dengan cara ini akan memperluaskan kefahaman Islam kepada masyarakat pelbagai bangsa.

Ketika ditanya adakah undang-undang membenarkan pelantikan itu kata beliau perkara tersebut boleh dipinda.

Kelantan nafi tidak terima calon luar

(Gambar: Mohamad Daud bersama Nik Aziz dan Nik Amar dalam sidang media semalam)

KOTA BHARU, 30 Dis: Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Mohd Daud Iraqi menafikan membuat kenyataan yang hanya mahu anak Kelantan dicalonkan dalam pilihan raya umum akan datang seperti yang disiar beberapa akhbar dan juga portal berita di internet.

Bahkan katanya, tiada langsung wartawan yang bertanyakan hal itu padanya.

“Saya tidak pernah buat kenyataan itu dalam surat khabar, tiba-tiba keluar.

“Wartawan pun tidak ada yang tanya, lagi pun saya tidak bertanggungjawab pilih calon,” katanya pada sidang media bersama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam.

Sehubungan itu beliau meminta pihak media yang melapor hal berkenaan membuat pembetulan segera.

“Tu yang saya pelik tu, ‘tumbuh tidak bertanam’, saya mintak media tolong buat pembetulan,” katanya lagi.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz pula ketika mengulas perkara itu berkata, kenyataannya sebelum ini bahawa perkara itu ‘boleh difikir-fikir’ adalah mengambil jalan tengah kerana menyangka Datuk Mohd Daud Iraqi benar-benar mengeluarkan kenyataan tersebut.

“Kenyataan saya buat itu betul-betul hormat kepada ketua Dewan Ulamak negeri, saya sangka kenyataan beliau itu benar, rupanya bohong…dosa orang buat kerja-kerja macam ni,” katanya yang juga Mursyidul Am PAS.

Kelantan ujarnya tiada masalah langsung membenarkan calon luar bertanding kerusi pilihanraya di negeri itu.

“Kelantan dah memang biasa camtu…calon parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta, saya sendiri isytihar depan orang ramai di Pasir Puteh.

“Pendirian Kelantan memang begitu, suka bantuan dari orang luar, dan suka batu orang luar, tradisi ini IsyaAllah saya akan bawa dalam mesyuarat, bila jawatankuasa pilih calon setuju orang luar, saya akan setuju orang luar,” katanya lagi.

Tegasnya, amalan membataskan kenegerian katanya bukan dari ajaran Islam malah adat melayu lama yang bertapak.

“Islam ini tidak ada negeri-negeri ni…ini bukan ajaran Islam, ini ajaran Melayu kuno,” katanya.

Jangan Guna RM5 juta ‘Dana Rempit’ Untuk Kempen Umno!

KUALA TERENGGANU – Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu diberi ingatan supaya tidak menggunakan peruntukan kerajaan untuk membiayai kempen parti tersebut khususnya kepada golongan remaja dan belia.

Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, beliau bimbang dana RM30 juta yang diluluskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini disalahgunakan oleh Umno.

“Dalam Persidangan Dewan secara keseluruhannya kerajaan memperuntukkan RM30 juta untuk menyelesaikan masalah remaja termasuk masalah ‘Mat Rempit’,

”hanya kita bimbang, takut, mereka mengambil kesempatan menggunakan program itu untuk kempen Umno, sebagaimana mereka telah menyalahgunakan Program-program Bakti Remaja dengan peruntukan (kerajaan) yang besar,

“(mereka) memeras pemikiran remaja (dan belia) hanya terhadap kepartian Umno, bukan mengubah minda mereka, hati mereka dan mengubah agama mereka (menjadi lebih baik), ”katanya ketika ditemui Bultinonline.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung juga bimbang peruntukan dana yang besar itu hanya diberikan kepada pihak-pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.

Beliau bimbang kerana menurutnya sehingga kini kerajaan belum menyatakan secara jelas, apakah bentuk program atau projek dan modul yang akan digunakan bagi menyelesaikan masalah gejala sosial di kalangan remaja.

”Projek (atau) program belum (dinyatkan) secara jelas (dan) modul (yang akan digunakan) sepatutnya mesti dinyatakan kepada semua wakil rakyat, supaya ia dapat dilihat dan dinilai pengisiannya,”ujarnya.

Selaku yang bertanggungjawab keatas perkembangan golongan terbabit, beliau akan meneliti apa yang akan dikemukakan oleh kerajaan negeri dan bersedia untuk memberikan saranan, demi kebaikan remaja dan belia.

”Saya dah beri asas-asas (perkara yang perlu diambil perhatian) dalam Persidangan DUN untuk diambil penilaian (dan perjalanan oleh kerajaan), jadi kita tengok dulu (bagaimana ia akan dilaksanakan),”jelasnya.

Bacaan sebelumnya;

Siasat Program Bakti Remaja
Pemuda Pantau Penyelewengan Kerajaan

Tun Mahathir persoal keputusan ganti jet MiG-29

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan adakah kepentingan orang tengah mempengaruhi keputusan mengisytiharkan jet pejuang MiG-29 Tentera Udara Di-Raja Malaysia tidak dapat digunakan.

“Penjualan dan pembelian pesawat oleh kerajaan mampu memberi keuntungan besar (berjuta-juta) kepada orang tengah.

“Apakah ada kepentingan orang tengah yang mempengaruhi keputusan kondem MiG-29 untuk beli yang baru?” beliau mempertikaikan.

Beliau juga mempersoalkan,  dalam keadaan ekonomi negara sekarang, mampukah ratusan juta ringgit dibelanjakan untuk pesawat ganti?

“Jika kita beli ganti lagi ratusan juta diperlukan,” katanya

Dr Mahathir percaya, ada cara untuk membaikpulih pesawat pejuang dan pesawat lain.

“Tak bolehkah kita baikpulih MiG-29 ini? Kalau kita tak boleh, orang Rusia mungkin boleh. Mungkin India juga boleh.

“Jika pesawat pejuang yang berharga ratusan juta hanya tahan 20 tahun, lebih baik kita tidak ada pesawat pejuang,” kata beliau dalam blognya.

Beliau mengingatkan, walaupun pesawat tentera Rusia lebih murah daripada buatan Amerika, tetapi wang yang banyak terpaksa dibelanja juga ratusan juta ringgit akan hilang jika pesawat yang ada diisytiharkan tidak boleh digunakan lagi.

Beliau membangkitkan, banyak negara-negara lain, termasuk India, menggunakan pesawat ini.

“Apakah mereka juga tidak dapat guna MiG-29 mereka lebih daripada 20 tahun?

“Apakah mereka sudah kondem pesawat MiG mereka seawal ini?”

Beliau juga mengingatkan, walaupun pesawat Amerika kononnya tahan lebih lama, tetapi  apabila wang untuk membeli MiG-29 digunakan untuk membeli pesawat F/A-18, “akhirnya kita tahu syarat ketat yang dikenakan oleh Amerika Ayarikat”.

“Mereka tidak beri “source code” yang mana ini menghadkan kegunaan F/A-18 untuk pameran sahaja,” katanya.

Dr Mahathir berharap, kerajaan membatalkan keputusan untuk mengisytiharkan MiG-29 tidak boleh digunakan dan pesawat sedia ada dibaikpulih.

http://harakahdaily.net

Malaysia model negara Islam progresif?

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bersetuju dengan dakwaan Menteri Luar bahawa Malaysia adalah negara Islam progresif namun ianya wajar dilihat lebih mendalam dari sudut hakikat sebenar.

Mengulas dakwaan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bahawa Arab Saudi menganggap Malaysia sebagai model negara Islam progresif yang wajar dicontohi oleh negara-negara membangun lain, Mahfuz berkata, perkara itu dinanti-nantikan.

“Kita juga ternanti-nanti negara membangun mana yang beria-ia hendak mencontohi Malaysia memandangkan Malaysia kini semakin hebat pada tempat ke 56 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) setelah berada pada tempat ke 47 dalam tahun 2008,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan ada negara yang akan mengambil Malaysia sebagai negara contoh yang progresif melindungi perasuah malah mencalonkan perasuah dalam pilihan raya.

Mahfuz yakin negara-negara membangun yang mencari-cari model yang wajar dicontohi tidak lupa kenyataan Perdana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa politik wang “bukan kesalahan dari segi undang-undang negara ini”.

“Bukan sahaja melindungi rasuah malah menyediakan ruang-ruang untuk amalan rasuah seperti tender runding terus,” kata beliau.

Malaysia juga, katanya, boleh mengemukakan apa yang berlaku dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) sebagai model runding terus yang progresif dan wajar dicontohi.

“Keengganan kerajaan Najib menubuhkan suruhanjaya di raja bagi menyiasat skandal PKFZ juga boleh dijadikan model progresif yang wajar dicontohi,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Malah lebih dari semuanya, kata beliau lagi, Malaysia juga mempunyai parti pemerintah, iaitu Umno, yang boleh menjadi model progresif yang wajar dicontohi apabila bekas presiden parti itu sendiri menyatakan “Umno sudah jadi parti perasuah”.

“Malah, Dr Mahathir juga menceritakan bahawa seorang bekas pemimpin kanan parti itu menyifatkan ‘Umno busuk hingga ke ususnya’. Semua itu boleh menjadi model progresif yang wajar dicontohi,” kata Mahfuz.

Cara para pemimpin Malaysia menangani tuduhan terhadap mereka juga boleh menjadi model progresif yang wajar dicontohi, katanya.

Walaupun dakwaan penyiasat persendirian, P Balasubramaniam begitu terperinci dalam mengaitkan Najib dan keluarganya dengan Altantuya, katanya lagi, tetapi mereka memperlihatkan sikap yang begitu selamba.

“Najib menyifatkan dakwaan yang begitu terperinci itu sebagai semberono, adiknya (Datuk Mohamed) Nazim (Razak) pula berkata ‘tidak ada apa-apa yang saya hendak cakap’ dan yang paling hebat ialah isteri Najib, (Datin Seri) Rosmah (Mansor) berkata ‘saya tidak ada masa untuk melayan mereka’.

“Memang benar-benar model negara Islam progresif yang wajar dicontohi,” kata Mahfuz.

http://harakahdaily.net

Di sebalik Bajet Besar yang di Bentangkan, Terengganu Terus menjadi Negeri Termiskin di Semenanjung

Batu Enam, KUALA NERUS – Bajet besar yang dibentangkan oleh kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini membimbangkan, kerana jumlah hampir sama dibentangkan pada tahun lalu gagal membawa sebarang perubahan yang ketara kepada kehidupan rakyat.

”Kerajaan negeri telah membentangkan bajet tahun 2010 yang begitu besar, hampir RM2000 juta iaitu RM1.881 bilion, suatu penambahan dari bajet tahun lepas,
”tapi sebenarnya kalau di campurkan dengan bajet tambahan pada tahun 2009, ia melebihi RM2 bilion,

“dan saya menjangkakan kemungkinan tahun hadapan akan dibentangkan bajet tambahan juga”kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal Dr. Alias Razak.

Namun begitu, menurutnya, hanya 8% yang berjumlah RM162 juta sahaja dari keseluruhan bajet itu adalah hasil yang dapat dikutip oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional.

Manakala bakinya, kata beliau, adalah datang dari Dana Khas Kerajaan Persekutuan, daripada duit royalti petroleum.

Oleh itu, katanya, sekiranya tiada Dana Khas, kerajaan Umno/BN tidak akan mampu walaupun untuk membayar gaji Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

”RM162 juta sahaja yang dia (Umno/BN) dapat cari, kita (kerajaan PAS Terengganu) RM300 juta, siapa yang pandai memerintah? Siapa pandai cari duit?,

”Kalau (Perdana Menteri Dato’ Seri ) Najib tak bagi duit, (Menteri Besar Dato’) Ahmad Said tak boleh buat apa, nak bayar gaji JKKK pun tak boleh,”jelasnya ketika berucap dalam Majlis Penerangan disini semalam.

Beliau yang juga Naib Yang DiPertua PAS Kuala Nerus berkata, disebalik pembentangan bajet yang besar pada tahun lalu, negeri Terengganu masih merupakan negeri termiskin di Semenanjung dan ketiga termiskin di Malaysia.

Menurutnya, fakta tersebut adalah berdasarkan program E-Kasih yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan dan senarai bantuan hari raya yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.

http://buletinonline.net

GMI terkejut menteri kata semua sokong kekal ISA

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) membidas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa semua pihak sepakat Akta Keselamatatan Dalam Negeri (ISA) dikekalkan.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kenyataan yang dibuat oleh Hishamuddin itu tidak menggambarkan persetujuan semua pihak kerana pertemuan yang dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak melibatkan semua pihak.

GMI khususnya dan beberapa badan bukan kerajaan yang lantang menuntut ISA dimansuhkan seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), dan Jemaah Islah Malaysia (JIM) juga tidak dipanggil menghadiri sesi Pertemuan Awam dengan KDN bagi berbincang mengenai akta tersebut.

“Banyak prsoalan yang timbul daripada kenyataan Datuk Seri Hishamuddin itu. Yang dikatakan sepakat (ISA dikekalkan) itu siapa? Siapa yang terlibat dalam pertemuan itu?

“Setahu saya badan bukan kerajaan seperti GMI, SUARAM dan JIM yang ke depan dalam isu ini tidak dipanggil. Bagaimana dengan bekas tahanan ISA, ahli keluarga, peguam yang ada pandangan berbeza dan meluas dalam isu ini?” soalnya ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Syed Ibrahim turut berkata, Hishamudin juga tidak menunjukkan kesungguhan dalam melihat akta ini secara menyeluruh apabila gagal menunaikan janji untuk membentang dan membahaskan pindaan mengenai ISA pada sesi Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Kenapa akta ini hanya akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang? Menteri tidak tunaikan janjinya. Sedangkan masa Datuk Seri Najib baru jadi PM, beliau minta ISA dikaji kemudian dibentangkan.

“Kalau betul kerajaan mengambil kira pandangan rakyat, mereka sepatutnya berusaha untuk membentangkan mengenai ISA baru-baru ini, bukan melengah-lengahkannya,”tegasnya.

Beliau turut mendakwa, kenyataan Hishamuddin untuk meminda ISA hanya sekadar untuk menawan kembali rakyat yang ‘atas pagar’ agar kembali memberikan sokongan penuh kepada kerajaan dengan menabur pelbagai janji manis.

Namun kata Syed Ibrahim, pada hakikatnya tiada sebarang perubahan berlaku sejak dari awal akta ini ditubuhkan sehinggalah usianya sudah mencecah 40 tahun kini.

“Saya yakin ini semua cara untuk menawan orang atas pagar dengan menunjukkan kononnya perubahan telah berlaku, kerajaan ambil kira pandangan rakyat, tapi hakikatnya tidak ada  sebarang perubahan yang berlaku dalam ISA. Ia kekal 100 peratus.

“Sesiapa sahaja boleh ditahan di bawah akta ini pada ketika ini. Sekarang ini  masih ada  lagi sembilan orang yang ditahan dan salah seorangnya sudah lebih tujuh tahun dalam tahanan.

“Tapi itu semua orang tidak nampak sebab kerajaan pandai menyembunyikan perkara sebenar,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu turut menyokong Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia yang menggesa kerajaan melantik sebuah jawatankuasa pilihan parlimen bagi mendapatkan maklum balas awam sebelum pindaan terhadap ISA dibahaskan di Parlimen.

Menurutnya, isu besar yang melibatkan hak asasi rakyat itu harus segera dibawa ke parlimen untuk diselesaikan.

“Saya bersetuju dengan cadangan NUJ itu. Memang perkara ini perlu ditangani di peringkat Parlimen. Apa-apa perubahan ianya perlu dibincangkan di Parlimen kerana undang digubal di peringkat Parlimen. Kalau dari segi jawatankuasa tindakan, teknikal mesti dijawab di Parlimen supaya skop perbincangan boleh diperluas.

“ISA ini kuasa eksekutif. Kami sangsi apabila pihak yang buat kajian ialah badan eksekutif, dan buat keputusan pun badan yang sama,” ujarnya.

Setiausaha Agung NUJ,  V.Anbalagan Sabtu lalu dilaporkan sebagai berkata, perbincangan mengenai pindaan kepada akta itu tidak harus tertumpu kepada satu kumpulan kecil.

Beliau turut mendakwa, sebagai kumpulan berkepentingan, NUJ tidak dipelawa ke sebarang perbincangan oleh KDN ataupun pendapatnya diminta.

Beliau menyebut sebagai contoh penahanan seorang wartawan selama 18 jam tahun lepas berhubung sebuah artikel.

Sementara itu, GMI ujar Syed Ibrahim, tetap dengan pendirian menuntut kerajaan memansuhkan terus akta zalim itu meskipun usaha-usaha yang dilakukan ini tidak diendahkan pihak kerajaan.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, GMI sedang dalam perbincangan untuk mengadakan satu sesi pertemuan dengan semua ahli parlimen sebagai platform untuk menyampaikan maklumat berkenaan ISA serta sebab ia perlu dimansuhkan, bukan dipinda seperti yang dicadangkan.

Bagaimanapun, ianya perlu mendapat persetujuan daripada Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami mungkin akan adakan sesi (perbincangan) dengan semua ahli parlimen tapi saya percaya yang akan datang cuma ahli Parlimen pembangkang sahaja. Kami  kena bincang dengan Ketua Pembangkang (Anwar)khususnya supaya ia dapat diadakan,” katanya.

Beliau turut menyeru Hishamuddin khususnya agar memberikan ruang kepada GMI untuk memberikan penerangan yang sejelas-jelasnya mengenai kepentingan ISA dimansuhkan.

GMI tegasnya sentiasa bersedia untuk berdialog dengan pihak KDN demi memastikan ISA dimansuhkan.

“Hishamuddin tolong bagi ruang kepada GMI.Walaupun sebelum ini beliau tidak layan permintaan kami untuk mengadakan pertemuan, tapi kami sentiasa bersedia. Panggil kami, kami sedia datang. Selain demonstasi, kita masih ada ruang untuk berdiskusi dan berdialaog,” katanya.

Khamis lalu, Hishamuddin berkata, pindaan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 akan dibentang dan dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Hishammuddin berkata, berikutan pertemuan dan perbincangan awam dengan kumpulan-kumpulan sasaran, Jawatankuasa Teknikal Kajian Undang-undang kini berada di peringkat akhir kajian semua pandangan dan cadangan yang dikemukakan semasa sesi berkenaan sebelum pindaan dibentangkan di Parlimen.

.

http://harakahdaily.net

//

Kehilangan enjin hasil manusia tidak takut balasan akhirat – Nik Aziz

KOTA BHARU, 27 Dis: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan akibat didikan politik Umno terhadap rakyat di negara sejak lebih 52 tahun lalu dengan ajaran ‘politik suku, agama suku’ menyebabkan pimpinan parti sekular itu mengenepikan aspek dosa dan pahala, syurga dan neraka dalam pemerintahannya sehingga ada yang sanggup mencuri enjin jet pejuang milik megara.

Beliau berkata, sama ada wujud dakwaan yang menggesa supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tanggungjawab atau tidak terhadap peristiwa kecurian enjin jet pejuang Malaysia itu, sememangnya Najib bertanggungjawab.

“Sama ada kita suruh dia (Najib) bertanggungjawab atau tidak, dia memang bertanggungjawab, dunia dan akhirat. Itu benda (kedudukannya).

“Saya sebagai Menteri Besar yang menjaga negeri (Kelantan) ini pun, saya bertanggungjawab (terhadap pemerintahan negeri ini), sekadar mana yang termampu, kecuali Allah swt tahu (bahawa) saya tidak mampu, itu apa boleh buat.

“Jadi masalah Perdana Menteri kita ni, dia mengertikah atau tidak tanggungjawab dunia dan akhirat itu atau dia tidak faham, itu saya tidak tahu, tetapi dengan sebab parti dia (Umno adalah) parti sekular, yang tidak mempedulikan dosa pahala, syurga dan neraka, maka terjadilah (seperti peristiwa kecurian enjin jet pejuang itu).

“Dan banyak lagi pada masa hadapan benda (kejadian) yang ‘karut maruk’ begini berlaku (insya Allah adalah) hasil daripada didikan kerajaan (diterajui Umno-BN) terhadap rakyat dengan ajaran ‘agama lain, politik lain’.  Itulah penyakit besarnya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini semalam.

Terdahulu dalam perkembangan yang sama, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahmufz Omar mencadangkan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib memanggil sidang Khas Parlimen bagi membincangkan peristiwa kehilangan enjin jet pejuang negara itu.

Mahfuz seterusnya bercadang mengemukakan usul pembentukan jawatankuasa siasatan peringkat Parlimen megnenai perkara itu, manakala Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali pula menggesa Menteri Pertahanan (yang memegang jawatan) semasa berlakunya kecurian enjin jet pejuang negara itu mesti bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

“Bahkan perlu bertanggungjawab juga terhadap penggunaan bahan peledak C4 oleh dua anggota polis ketika meletupkan wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu belum lama dahulu,” kata Dr Lo’ Lo’ sambil mendesak supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kedua-dua peristiwa penting itu oleh kerana ianya melibatkan penyalahgunaan kuasa.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad mempertikaikan sikap Kerajaan dan Kementerian Pertahanan yang mana isu kehilangan enjin jet pejuang itu kini (baru) ditimbulkan sedangkan kejadian itu berlaku sejak 2007 lagi.

Oleh itu, kata Ustaz Idris beliau yakin ianya membabitkan orang yang berkuasa dan perlulah disiasat segera – sambil merujuk kepada indeks rasuah negara yang meningkat dari setahun ke setahun di mana pada 2008 Malaysia berada di tempat 47 manakala indeks 2009 pada angka 56.

Menurut sumber, dua buah enjin pesawat tempur, F-5E, milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang itu berharga RM50 juta setiap satunya di mana enjin pertama hilang pada 2007 dan enjin keduanya hilang dua tahun lalu di mana disedari pihak berkenaan pada Mei 2008.

Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang mempertikaikan kenapa kehilangan dan kecurian harta pertahanan negara itu tidak dibangkitkan dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara bagi tahun 2007 atau 2008 selaras dengan Seksyen 6 Akta Audit 1957 di mana penguditan Ketua Audit Negara termasuklah menentukan sama ada perhatian yang sewajarnya telah diambil untuk memberikan penjelasan mengenai – dan untuk mempastikan – penggunaan, pengawalan, penyenggaraan dan pelupusan yang sepatutnya segala harta awam pihak bawah auditnya.

Menurut Tan, Seksyen 9(5) akta tersebut memperuntukkan bahawa Ketua Audit Negara boleh – dalam apa-apa laporan yang dikemukakan mengikut Perkara 107(1) Perlembagan Persekutuan (lebih dikenali sebagai Laporan Tahunan Ketua Audit Negara) – membuat syor dan boleh secara umum memberikan ulasan tentang semua perkara yang berhubungan dengan akaun, wang dan harta awam.

Mengenai kehilangan enjin jet pejuang itu, beliau berkata Ketua Audit Negara seharusnya membangkitkan penyelewengan itu dalam laporan tahunannya kerana ia membabitkan kepentingan awam.  Ketua Audit Negara perlu memberi penjelasan kenapa penyelewengan tersebut tidak dibangkitkan dalam laporan tahunannya hingga kini?

Selain dari itu, kata Tan, Kerajaan juga harus mengambil tindakan untuk memastikan Ketua Audit Negara akan membangkitkan dalam laporan tahunannya semua penyelewengan yang membabitkan harta kerajaan pada masa hadapan.

Dato’ Nik Aziz turut mengulas kemenangan tipis (66-63) pihak Kerajaan ketika membentangkan Bajet 2010 di Parlimen serta dakwaan wujudnya krisis kepercayaan terhadap kepimpinan Najib.

“Boleh jadi memang begitu, dan boleh jadi orang Umno ni apabila mereka masuk calon, mereka tidak berasa mereka menjadi ahli politik.  Mereka berasa (sebagai) ahli korporat.

“Oleh demikian, apabila bertembung masalah korporat dengan politik, mereka mengambil korporat sama ada (sibuk) mengurus perniagaan dan boleh jadi pergi ke luar negeri menguruskan syarikat,” katanya yang juga Menteri Besar Kelantan dan serentak itu Nik Aziz menyatakan bahawa selaku pimpinan dalam PAS bahawa apabila berada dalam politik merasakan sebagai satu ibadat.

“Sebagaimana sembahyang dan berzikir adalah ibadat, maka berpolitik untuk membetulkan arah pemikiran manusia kepada Allah swt itu pun adalah ibadat.  Namun cara kini ialah kita guna parti (bertadning dalam pilihan raya).

“Ini kerana dunia kini menggunakan parti, namun dua puluh tahun akan datang, entah macam mana orang guna (berpolitik), wallahu ‘alam,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa kemenangan tipis pihak Kerajaan ketika membentangkan Bajet 2010 itu menggambarkan kelemahan pimpinan paling ketara dalam sejarah Perdana Menteri Malaysia, beliau melihat dalam sudut lain.

“Saya tidak hendak pergi ke situ (persoalan itu), tetapi perasaan wakil rakyat Umno-BN ni mereka tidak berasa serupa kita (pemimpin PAS) di mana kita memahami bahawa sembahyang yang ditunaikan dengan tidak sempurna itu adalah berdosa, maka begitu juga dengan berpolitik.

“Sekiranya tidak sempurna politik Islam, maka berdosa termasuk menghadiri sidang Dewan Negeri atau Parlimen.  Semasa berkempen, kita berkempen, demikian juga ketika mengundi, kita mengundi.

“Namun Umno dengan sebab mereka tolak Islam, dan mengambil ‘kebangsaan’ (sebagai dasar parti mereka), mana ada dosa pahala, menyebabkan manusia kini mencuri, (bahkan) mencuri enjin jet pejuang.  Perbuatan (tergamak) mencuri enjin itu adalah kerana mereka dididik dengan kemewahan dan hidup berseronok.

“Oleh itu untuk mencapai tahap kemewahan dan keseronokan itu, perlukan wang walau pun (terpaksa) mencuri dan menjual harta kerajaan, sanggup dilakukan asalkan dapat wang,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Mas Rohani Ibrahim berkata apa pun yang berlaku dan siapa pun pempimpin terbabit, namun beliau bertanggungjawab terhadap peristiwa kehilangan dua enjin jet pejuang negara berhaga RM50 juta setiap satu itu.

“Bagi saya, walau apa pun dan siapa pun dia bahawa waktu berlaku kejadian (kehilangan enjin jet pejuang) itu, maka orang itulah yang sepatutnya dipertanggungjawabkan, bahkan beliau pada waktu itu adalah Menteri Perhanan.

“Saya bersetuju sangat dengan gesaan Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo’ Lo’ yang menggesa supaya Menteri Pertahanan (yang memegang jawatan semasa kecurian enjin jet pejuang negara itu berlaku), beliau mesti bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku selain dari perlu bertanggungjawab terhadap penggunaan bahan peledak C4 oleh dua anggota polis ketika meletupkan wanita Monggolia Altantuya Shariibuu belum lama dahulu.

“Dan bersetuju supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kedua-dua peristiwa penting itu yang membabitkan penyalahguanaan kuasa.

“Isu ini baru dihebohkan, namun ketika peristiwa itu berlaku bahawa orang berkenaan memegang jawatan Menteri Pertahanan dan sekarang orang itu masih ada dengan kapasiti pangkat yang lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Local Aenda 21 Majlis Muafakat Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) bersama masyarakat di Tanjong Mas dekat sini pagi ini.

“Perlu sangat disiasat peristiwa itu sampai ke akar umbi dan harus bersifat telus,” kata Rohani (Kak Ani) yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri.

.

http://harakahdaily.net

5 tahun tsunami, kerajaan disaran sedia hub R&D canggih

KUALA LUMPUR, 27 Dis: Selepas lima tahun dunia menyaksikan malapetaka tsunami, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mencadangkan kerajaan Malaysia membuat persiapan efektif demi mendepani sebarang kemungkinan kelak.

Persiapan tersebut termasuk mennyediakan hub penyelidikan di tanah air pada Pentadbir Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) dan Pertubuhan Kaji Cuaca Sedunia (WMO) yang berpengkalan di Amerika Syarikat

“Saya mencadangkan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri) mencari jalan untuk menjalinkan hubungan dengan NOAA dan WMO…supaya kedua-dua pertubuhan tersebut boleh membuka hab penyelidikan di Malaysia,” jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily petang semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kedua-dua pertubuhan tersebut mempunyai kelengkapan prasarana terkini dalam Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) dalam menghidu serta membuat persiapan kecemasan, menghadapi sebarang malapetaka.

Ujarnya, persiapa tersebut juga diperlukan, memandangkan dunia baru-baru ini gagal memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dalam Persidangan Alam Sekitar di Copenhegan.

Kegagalan MoU tersebut seharusnya mendorong Malaysia mencari alternatifnya tersendiri demi keselamatan bumi dan rakyat dari menjadi mangsa malapetaka alam.

Tambahnya lagi, penyediaann hub R&D tersebut sekali gus mendorong kerajaan membangunkan satu lagi disiplin ilmu dalam bidang-bidang ‘Sains Mampan’.

Beliau yang sebelum ini dilihat banyak membangkitkan isu kemampanan alam sekitar di Parlimen, turut mengajak dunia menginsafi malapetaka Thunami yang meragut lebih 250 ribu nyawa di Kepulauan Acheh dan Kepulauan Hindi pada lima tahun lalu.

Malapetaka tersebut seharusnya menyedarkan dunia bahawa sejauhmana hebatnya pencapaian teknologi tamadun manusia, namun ianya tidak mampu menandingi kuasa Allah s.w.t.

.

http://harakahdaily.net

Enjin F-5E-lagi desakan menteri kabinet letak jawatan

KOTA BARU, 27 Dis: Berikutan tragedi kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kelab Penyokong PAS Kelantan (BBC) mendesak seluruh menteri kabinet pula meletak jawatan.

Timbalan presidennya, Drs Zainuddin Awang Hamat berkata tragedi tersebut menggambarkan betapa rapuhnya sistem keselamatan negara di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, kelalaian mengurus tadbir perkara tersebut seolah-olah cuba menghancurkan pertahanan negara sendiri.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia tragedi amat memalukan ini. Bukan sahaja negara, malah ia menjadi bahan tertawa dunia.

“Desakan ini bukan satu cadangan sinis tetapi tindakan serius berasaskan rasionaliti, realiti yang berlaku memang wajar kerajaan pemerintah sekarang melepaskan jawatannya” katanya yang masih berada di Madinah ketika menghubungi wakil Harakah semalam.

Sebelum ini beberapa desakan sudah disuarakan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib meletak jawatan ekoran insiden yang memalukan itu berlaku sewaktu beliau menjadi Menteri Pertahanan.

Baru-baru ini tragedi kehilangan dua enjin jet tersebut mendapat liputan meluas media tempatan dan menjadi perhatian masyarakat dunia.

Susulan itu beberapa akhbar turut melaporkan kes penyelewengan peralatan ketenteraan berikutan penemuan maklumat baru kehilangan pelbagai kelengkapan lain selain daripada enjin tesebut.

Justeru, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan lebih banyak kes penyelewengan akan dibongkar selepas ini.

Sehubungan itu Drs Zainuddin berkata kerajaan pimpinan Najib sudah tidak layak menerajui negara dan kerajaan BN wajar diganti.

“Saya dan beberapa rakan yang masih berada di sini kadang-kadang berasa malu bila berjumpa dengan rakan-rakan di Arab menyifatkan negara Malaysia seperti sebuah ‘negara kartun’.

“Mereka hairan macamana enjin jet pejuang yang menjadi alat pertahanan negara boleh hilang” katanya.

.

http://harakahdaily.net

Menyambut Cabaran Dr Mahathir

KUALA TERENGGANU – Walaupun Parti Keadilan Rakyat tidak percaya mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serius, namun PKR mengalu-alukan cabaran beliau supaya sebuah Suruhanjaya Bebas dibentuk bagi menyiasat pendedahan Barry Wain.

Timbalan Presidennya, Dr Syed Husin Ali berkata, dalam buku tebarunya, Wain mendedahkan kerajaan di bawah pimpinan Mahathir telah melesapkan lebih RM100 bilion dengan amalan rasuah dan pembaziran.

Dr. Syed dalam kenyataannya menganggap cabaran Mahathir seebenarnya ditujukan kepada pemerintahan Umno/BN yang dipimpin oleh Dato’ Seri Najib Razak.

“Najib tidak perlu bertangguh-tangguh atau berdolak-dalik dan harus membentuk segera Suruhanjaya tersebut. Suruhanjaya itu hendaklah diberi bidang kuasa luas bagi menyiasat pendedahan Barry Wain dan juga mengkaji segela bentuk rasuah dan pembaziran yang dikaitkan dengan mantan PM Mahathir itu,”katanya dalam kenyataan yang diedarkan kepada media semalam.

Bahkan, kata beliau, jika perlu dan sesuai, Suruhanjaya yang ditubuhkan itu boleh juga mengkaji segala yang belaku di bawah mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagaimana didakwa dan didesak oleh Mahathir.

Oleh yang demikian, sejajar dengan “cabaran” Mahathir, Dr. Syed menyarankan agar Suruhanjaya tersebut hendaklah dianggotai bukan saja oleh hakim serta bekas hakim, tetapi juga tokoh-tokoh politik kerajaan serta bukan kerajaan dan tokoh-tokoh professional (misalnya dari golongan academia serta Majlis Peguam).

“Seharusnyalah ada jaminan supaya segala perakuan Suruhanjaya diambil tindakan oleh Kerajaan serta pihak berkuasa lain. Janganlah hendaknya ia ditimpa nasib seperti suruhajaya mengenai polis dan “Pita Lingam”,”tambahnya

.

http://buletinonline.net

Wakil Rakyat BN Mengkritik Kerajaan Bukti Kemelut Umno Belum Berakhir

KUALA TERENGGANU –Tindakan beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mengkritik kerajaan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini menunjukkan mereka masih tidak yakin terhadap kepimpinan Menteri Besar Dato’ Ahmad Said.

Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah Mohd Nor menyifatkan kemelut politik Umno Terengganu masih belum selesai dan percaya ia tidak akan berakhir dengan mudah. (Gambar – Ustaz Mohd Nor – paling kanan, dalam sidang DUN baru-baru ini)

Menurutnya, walaupun pelbagai cara telah dilakukan untuk mewujudkan keyakinan dikalangan ADUN terbabit, namun nampaknya perpecahan dikalangan Umno semakin ketara.

Katanya, kerana berasa kurang yakin itu jugalah menyebabkan Ahmad terpaksa mencari jalan termasuk melafazkan sumpah untuk cuba menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan sumbangannya kepada rakyat.

“Akibat rasa tidak jujur, rasa tidak ikhlas dan tidak yakin dalam kalangan wakil rakyat BN menyebabkan sindrom berkenaan akan terus wujud dalam diri mereka.

“Ketidakyakinan ini bukan hanya tanggapan terhadap pihak pembangkang sahaja, malah kepada pihak kerajaan sendiri apabila Yang Berhormat Batu Rakit (Khazan Che Mat) turut membangkitkan hal keikhlasan dan kejujuran,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung sumpah yang dilafazkan Ahmad pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) penggal ke-12, kelmarin.

Sumpah tersebut me-ngandungi lafaz ‘wallahi, wabillahi, watallahi’ bertujuan meyakinkan bahawa tidak wujud penyelewengan dalam pentadbiran beliau sebagai pemimpin utama negeri ini.

Mohd Nor bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung apa yang dilafaz Ahmad, namun yakin apa yang berlaku ketika ini tidak akan sama sekali menyembuhkan luka lama dalam kalangan wakil rakyat BN.

“Yang luka, jika tidak berulang kembali, ia pasti berparut dan keadaan ini sukar untuk disembuhkan,” katanya.

.

http://buletinonline.net

Royalti Minyak – GEGAR desak Kerajaan Malaysia

Jerteh, BESUT – Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) mendesak Kerajaan Malaysia segera menunaikan janji dan tanggungjawabnya untuk membayar wang tunai kepada kerajaan di negeri-negeri

dari mana minyak telah dikeluarkan untuk kebaikan dan manfaat rakyatnya.

Pengerusi Bersama GEGAR, Dr Abdul Halim Bin Yusof (Gambar kiri – tiga dari kanan) dan Encik Moigahamad Fauzi bin Abu Samah (dua dari kiri) membentangkan lima hujah mengapa kerajaan Malaysia mesti mengembalikan wang royalti kepada negeri sebagaimana komitmen Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak, bapa Perdana Menteri Dato’ Seri Najib di Parlimen pada 12 Disember 1975.

“Selain itu, perjanjian telah dibuat pada 1975 antara Menteri-menteri Besar Semenanjung dengan Pengerusi PETRONAS untuk memberi 5% royalti kepada negeri.

”Dan berdasarkan niat dan amalan, Petronas telahpun membayar kepada kerajaan negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak,”kata Mohamad Fauzi dalam sidang media yang diadakan disini semalam.

Menurutnya, pengeluaran minyak adalah dalam perairan Kelantan berdasarkan pada takrifan kawasan perairan negeri seperti mana perjanjian UNCLOS 3 (United Nations Convention on the Law of the Sea) 1982 yang ditandatangani oleh Malaysia, yang menetapkan negeri mempunyai hak zon eksklusif ekonomi menjangkau jarak 200 batu nautikal.

Katanya, pernyataan yang menyatakan jarak tiga batu nautikal adalah mengelirukan kerana Akta Dharurat yang digubal pada tahun 1969 adalah khusus dan ketika itu Akta Kemajuan Petroleum masih tidak wujud.

GEGAR adalah badan NGO yang dilancarkan pada awal bulan ini untuk mencetuskan kesedaran rakyat dan menuntut kerajaan mengembalikan royalti minyak kepada rakyat yang berhak.

Kenyataan penuh GEGAR boleh di rujuk pada laman blog rasminya,

royaltirakyat.blogspot.com

Berbeza Pendapat Dalam Pakatan Rakyat Mematangkan – Presiden PAS, Ustaz Abdul Hadi

KUALA TERENGGANU – PAS menyifatkan perbezaan pendapat yang berlaku dalam parti merupakan perkara biasa dalam sistem yang mengamalkan demokrasi di negara ini.

Bahkan, perbezaan perdapat yang berlaku dalam PAS dan Pakatan Rakyat boleh mematangkan kerjasama serta tidak membawa kepada perpecahan.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Gambar – paling kanan dalam Sidang DUN Terengganu) berkata demikian ketika diminta mengulas isu perbezaan pendapat di kalangan pemimpin-pemimpin PAS ataupun parti-parti dalam Pakatan Rakyat.
Namun begitu, beliau enggan mengulas tentang perbezaan pendapat di kalangan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang disifatkan parti itu sedang mengalami perpecahan.

“Kita (rakyat) perlu satu anjakan paradigma supaya mematangkan demokrasi kerana pandangan berbeza bukan mesti satu bangkangan tetapi satu nasihat.

“Sekiranya hujah tidak kuat kerajaan boleh tolak dan itu perkara biasa dalam proses demokrasi.

“Saya tidak mahu sebut hal parti (Umno) lain. Apa yang boleh saya sentuh ialah sekarang zaman teknologi maklumat dan zaman orang terpelajar,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan sepatutnya perbezaan pendapat tersebut tidak menyebabkan berlaku perpecahan.

Katanya, dalam Islam dibolehkan berbeza pendapat kerana termasuk dalam lingkaran akhlak dan moral.

“Sebab itu berlaku pandangan yang berbeza. Tetapi, sepatutnya pandangan yang berbeza itu tidak menyebabkan perpecahan.

“Kita (Islam) boleh berbeza pendapat tetapi tidak boleh berpecah. Itu satu akhlak dan moral dalam berbeza pendapat kecuali dalam perkara prinsip yang tidak boleh dielakkan,” jelasnya ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-12 (Bajet 2010) di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

http://buletinonline.net

Hilang enjin, tubuh segera Suruhanjaya Diraja – Anwar

KUALA LUMPUR, 26 Dis: Kerajaan digesa untuk menubuhkan dengan segera Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kehilangan dua buah enjin kapal terbang tempur F-5E milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

Hal ini ditegaskan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulas mengenai isu tersebut di majlis jamuan Hi-Tea sempena Krismas anjuran The Mar Thoma Syrian Church of Malaysia di Kuala Lumpur semalam.

Menurut Anwar skandal kehilangan enjin pesawat merupakan suatu perkara yang sangat serius dan tidak sepatutnya dipandang ringan.

Sehubungan itu beliau dan parti-parti pembangkang menuntut penubuhan satu Suruhanjaya diRaja untuk menanganinya.

“Kita menuntut satu suruhanjaya diraja ditubuhkan segera untuk menyiasat skandal ini,” tegasnya ketika ditanya wartawan.

Sebelum ini,Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan menyifatkan kehilangan enjin F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai tanda aras keruntuhan moral pimpinan negara ini.

Beliau melahirkan kekesalannya kerana perkara yang tidak pernah dibayangkan boleh berlaku sebelum ini seperti kehilangan enjin pesawat yang saiznya besar tetapi mudah pula untuk diseludup ke luar negara.

“Kalau sampai dua enjin pesawat pejuang boleh hilang yang ahli silap mata terkenal dunia seperti David Copperfield tidak boleh hilangkannya tetapi yang menjaga keselamatan negara boleh hilangkan, ini satu gambaran runtuhnya iklim moral yang besar.

“Kita bimbang jika tidak diberi kesedaran tentang perlunya menjaga iklim moral dan integriti di kalangan generasi muda, negara ini akan rosak dan runtuh,” tegas Dr Anwar lagi dalam majlis meraikan beliau sebagai Sasterawan Negara ke-10 oleh Lembaga Muzium Selangor dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Dato’ Mhafuz Omar pula persoalkan kredibiliti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di atas kegagalan agensi itu menyelesaikan siasatan berhubung kes kehilangan enjin jet pemintas F-5E seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Mahfuz yang ditemui selepas Majlis Sumbangan Peralatan Sekolah di Pejabat PAS Pokok Sena baru-baru ini berkata, beliau difahamkan laporan polis berhubung kejadian itu dibuat pada 4 Ogos 2008 yang lalu dan nota pemakluman kepada Jabatan Peguam Negara (AG) hanya dihantar pada Mei 2009.

“Persoalannya, kenapa PDRM perlu ambil masa yang terlalu lama untuk menyiasat insiden yang sebegini serius dan penting?

“Sembilan bulan bukannya tempoh yang singkat, itu pun masih tidak boleh selesai, perlu kepada lanjutan tempoh siasatan, ini yang meragukan dan rakyat persoalkan,” katanya.

Menurut Mahfuz, kerajaan perlu menyatakan bentuk tindakan yang telah diambil terhadap syarikat yang memonopoli kerja-kerja penyelenggaraan enjin pesawat pejuang milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) iaitu AIROD SDN BHD.

“Kejadian enjin jet F-5E hilang itu dikatakan berlaku ketika dalam perjalanan dari pengkalan TUDM di Butterworth ke AIROD untuk diselenggarakan, sudah tentu ada kaitannya dengan syarikat itu,” katanya.

Beliau turut mengulangi desakannya supaya ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Siasatan peringkat Parlimen yang diyakini lebih bersifat terbuka, berintegeriti dan telus dalam usaha menjejaki mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian ini.

Mahfuz berkata, perletakan jawatan seorang pegawai berpangkat Briged Jeneral dan tindakan memberhentikan perkhidmatan 20 anggota lain yang dikatakan tiada kaitan dengan kes ini turut mengundang keraguan masyarakat yang melihat seolah-olah kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu berkaitan dengan kes ini.

Ini sekaligus menolak kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang berjanji tidak akan menyembunyikan siasatan kes dari pengetahuan umum.

Mahfuz menuntut Kementerian Pertahanan mengemukakan alasan ke atas tindakan memberhentikan kerja 20 anggota tersebut dan menyatakan alasan perletakan jawatan pegawai tinggi itu kepada masyarakat umum untuk mengembalikan keyakinan mereka.

“Kalau betul mereka terlibat, kerajaan perlu mengheret mereka ke mahkamah terbuka dan bukannya dakwa mereka di mahkamah tentera yang sudah tentu perbicaraannya tidak akan didedahkan kepada pengetahuan umum,”tegasnya.

http://harakahdaily.net

Royalti: 5 asas kukuh kenapa Pusat wajib bayar

BESUT, 26 Dis: Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) mendesak Kerajaan Pusat supaya segera menunaikan janji dan tanggungjawab untuk membayar royalti petroleum kepada kerajaan di negeri-negeri dari mana minyak telah dikeluarkan untuk kebaikan dan manfaat rakyat.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Bersama Gegar, Dr Abdul Halim Yusof dan Mohamad Fauzi Abu Samah pada sidang media yang diadakan di sini, petang semalam.

Gegar adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang dilancarkan pada awal bulan ini untuk mencetuskan kesedaran rakyat dan menuntut kerajaan mengembalikan royalti minyak kepada rakyat yang berhak.

Menurut mereka, hujah utama mengapa kerajaan mesti mengembalikan wang royalti kepada negeri ialah komitmen kerajaan sendiri seperti mana yang telah disebut oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada 12 Disember 1975 di Parlimen bahawa kerajaan telah bersetuju untuk membayar wang tunai tersebut kepada negeri.

Selain itu, ujar mereka, perjanjian telah dibuat pada 1975 antara Menteri-menteri Besar Semenanjung dengan Pengerusi Petronas untuk memberi lima peratus royalti kepada negeri.

“Dan berdasarkan niat dan amalan, Petronas telahpun membayar kepada kerajaan negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak,” kata mereka.

Tambah mereka, pengeluaran minyak adalah dalam perairan Kelantan berdasarkan pada takrifan kawasan perairan negeri seperti mana perjanjian UNCLOS 3 (United Nations Convention on the Law of the Sea) 1982 yang ditandatangani oleh Malaysia, yang menetapkan negeri mempunyai hak Zon Ekonomi Eksklusif menjangkau jarak 200 batu nautika.

Justeru, kata mereka pernyataan yang menyatakan jarak tiga batu nautika adalah mengelirukan kerana Akta Darurat yang digubal pada tahun 1969 adalah khusus dan ketika itu Akta Kemajuan Petroleum masih tidak wujud.

Mereka turut menghuraikan lima sebab mengapa kerajaan Pusat mesti mengembalikan royalti petroleum kepada rakyat melalui kedua-dua kerajaan negeri itu.

Pertama, perjanjian yang telah ditandatangani antara Menteri-menteri Besar bagi negeri-negeri di Semenanjung pada tahun 1975 dengan Pengerusi Petronas ketika itu, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah adalah sah dan Petronas adalah terikat kepada perjanjian ini.

Bagi Negeri Terengganu, pemberian royalti yang telah diberikan bermula 1978 sehinggalah ianya diubah kepada “wang ehsan” pada tahun tahun 2000. Persoalannya, kenapa dulu dikenali sebagai royalti dan kenapa sekarang ianya dikenali sebagai wang ehsan sedangkan berdasarkan kepada perjanjian, dengan terang ianya ditakrifkan sebagai royalti dan bukan ehsan.

Bagi negeri Kelantan, perjanjian telah ditandatangani antara Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi Petronas. Perjanjian ini telah mengikat kerajaan Persekutuan untuk memberi royalti kepada kerajaan Kelantan sebanyak lima peratus setahun dan dibayar tunai dua kali setahun. Perjanjian ini tidak pernah dibatalkan.

Kedua, Akta Kemajuan Petroleum 1974 seksyen 4 telah menetapkan supaya Perbadanan (Petronas) hendaklah membuat apa-apa pembayaran wang tunai kepada kerajaan negeri sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak bagi negeri tersebut. Berasaskan peruntukan ini, penganugerahan wang tunai kepada negeri-negeri yang perairannya mempunyai minyak telah dibuat sejak dahulu.

Ketiga, kenyataan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa negeri Kelantan dan Terengganu tidak layak untuk mendapat royalti petroleum kerana petroleum yang dikeluarkan adalah dari luar kawasan perairan negeri-negeri ini (luar states territorial waters’ – ukuran melebihi tiga batu nautika seperti dalam Akta Pelantar Benua 1966) adalah tidak relevan dalam konteks pengeluaran minyak dan pembayaran royalti ini.

Sebagai contoh, perjanjian yang telah ditandatangi oleh Menteri Besar Kelantan pada tahun 1975 dengan Pengerusi Petronas tidak menetapkan perkara ini sebagai syarat.

Malah, berdasarkan hansard soal jawab Parlimen bertarikh 12 November 1975, Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Razak ketika menjawab soalan di Parlimen menjelaskan bahawa mengikut perjanjian, tiap-tiap negeri akan menerima lima peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di negeri masing-masing sama ada yang diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut.

Dari segi sejarah, pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Terengganu telah dibuat walaupun pelantar cari gali minyaknya berada di luar dari tiga batu nautika.

Pelantar minyak negeri Terengganu terletak 220 kilometer di perairan Laut China Selatan sedangkan pelantar minyak di Kelantan terletak 170 kilometer di Zon Ekonomi Eksklusif yang diusahakan antara Petronas dengan Kerajaan Thailand di Laut China Selatan/Teluk Siam.

Keempat, pembayaran yang sepatunya adalah royalti dan bukan wang ehsan. Perjanjian pada 1975 itu menyebut pembayaran wang tunai dan bukan wang ehsan. Wang ehsan dan royalti adalah berbeza kerana wang ehsan memberi makna pemberian simpati sedang wang royalti adalah wang yang mesti dibayar hasil daripada perjanjian dan perundingan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Wang royalti hendaklah dibayar kepada kerajaan yang mentadbir secara sah di sesebuah negeri berkenaan. Sebaliknya, pembayaran wang ehsan kepada jabatan persekutuan yang beroperasi di negeri akan membuka peluang kepada pembaziran, pertindihan dan penggunaan wang secara tidak optimum kerana perancangan dan pembangunan untuk rakyat di negeri adalah dipimpin oleh kerajaan negeri.

Kelima, Kerajaan Persekutuan mestilah secara adil menegakkan konsep federalisme (persekutuan) kepada semua negeri di Malaysia.

Konsep federalisme menekankan kepentingan hubungan yang harmoni dan berkesan antara kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri setelah bidang kuasa kerajaan Pusat dan kerajaan negeri ditetapkan dalam perlembagaan negara.

Dalam amalan federalisme, negeri yang berada dalam Persekutuan diberikan kuasa autonomi untuk membolehkan mereka mentadbir urus di bawah bidang kuasa mereka dengan berkesan.

Melalui perhubungan yang jelas, baik dan terjamin inilah pembangunan untuk kepentingan rakyat dapat diusahakan dengan berkesan.

Dalam konteks ini, pemberian wang royalti oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri adalah bukti penegakan konsep federalisme kerana kerajaan negeri berhak untuk merancang dan menentukan penggunaan wang royalti untuk kepentingan rakyat negeri berdasarkan bidang kuasa negeri.

Dengan itu, kata mereka, hujah pihak yang menolak pembayaran royalti iaitu minyak yang dikeluarkan adalah dari luar kawasan perairan negeri; negeri hanya layak menuntut jika minyak ditemui dalam jarak tiga batu nautika serta negeri (seperti Kelantan) tidak layak menuntut royalti minyak daripada Zon Ekonomi Eksklusif kerana ia bukan negeri adalah tidak dapat dipertahankan.

“Kesemua fakta dan hujah di atas menunjukkan kerajaan Persekutuan tidak ada pilihan melainkan membayar royalti kepada kerajaan negeri yang berkenaan yang seharusnya menggunakannya dengan sebaik-baik untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat jelata,” ujar mereka.

http://www.harakahdaily.net