PENDAPAT
Keputusan drastik dan radikal yang dibuat Umno dalam perhimpunan kali ini menyentuh pindaan perlembagaan bukanlah isu baharu. Ini kerana perlembagaan parti itu pernah dipinda dua kali dalam era pemerintahan perdana menteri keempat, Tun (dulunya Datuk Seri) Dr Mahathir Mohamad dan hasilnya sikap ahli Umno tidak berubah dan masih di takuk lama.
Pindaan kali ini juga menimbulkan kesangsian rakyat dan ramai pemerhati politik berpendapat adakah ia boleh dilaksanakan dan meningglkan kesan mendalam atau tinggal sebagai ikrar cantik di atas kertas seperti yang sudah berlaku sebelum ini.
Agenda pindaan kali ini dikatakan lebih besar dan bermakna jika dapat direalisasikan, dengan ahli mempunyai kuasa mutlak, lebih terbuka dan telus dalam memilih pemimpin dari semua peringkat melibatkan semua ahli perwakilan dari bahagaian dan cawangan.
Pindaan itu jika dilaksanakan sepenuhnya dijangka dapat mengurangkan (sepatutnya menghapuskan) politik wang yang selama ini menghantui Umno setiap kali pemilihan berlangsung. Soalnya, adakah semua ahli dapat menerima dan benar-benar boleh mengubah sikap mereka yang selama ini terkenal dengan suka menerima dan memberi habuan sebagai budaya politik mereka?
Adakah ahli Umno dalam waktu terdekat boleh menukar cara berfikir dan cara hidup mereka yang sudah sebati dengan kehendak keperluan material melangkaui keikhlasan ketika berkhidmat tanpa mengharap apa-apa balasan?
Mahathir bersikap skeptikal terhadap keikhlasan ahli Umno untuk berubah terutama bagi mereka yang sudah biasa dengan kegiatan politik wang. Katanya, sukar bagi mereka ini berubah jika tiada tindakan tegas dan keras dari parti serta keyakinan diri sendiri yang kuat dalam kalangan ahli untuk mengubah cara bertindak mereka selama ini.
Anggapan umum ahli Umno terlibat dalam perniagaan besar, kecil atau sederhana yang melibatkan percaturan wang rasuah bukan cerita baharu. Kebanyakan rakyat sedar terutama ahli Pakatan Rakyat bahawa kebanyakan mereka yang menyertai Umno kerana boleh mandapat nikmat material yang besar. Masuk Umno bermakna boleh membuat wang dan melebarkan perniagaan walaupun sebahagian mereka tiada kelulusan dan tidak pandai berniaga.
Yang perlu, hubungan akrab dengan pihak atasan atau pemimpin tertinggi Umno yang berkedudukan. Mereka ini biasanya boleh membantu mendapaatkan “kerja” atau projek dan jarang sekali menghampakan demi menjaga hubungan dan kepentingan masing-masing.
Seorang kawan peniaga menceritakan, beliau tiada masalah mendapat projek besar jika pandai menjaga hati ketua bahagian Umno dan pengurus projek yang dipohon. Beliau adalah aktivis Umno yang rajin dan aktif serta mempunyai hubungan yang rapat dengan ketua Umno atau pemimpin tertinggi Umno tertentu dalam sesuatu kawasan.
Inilah masalah besar dan kritikal yang perlu ditangani Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam usahanya untuk mengubah sikap ahli-ahli Umno yang masih menebal dengan kegelojohan mengejar material untuk kepentingan diri dan kelompoknya berbanding berkhidmat secara jujur kepada parti seperti yang diharapnya.
Dalam ucapan yang penuh bersemangat dan berapi pada pembukaan mesyuarat perhimpunan itu, Najib mengharapkan ahli Umno mengamalkan semula budaya berkhidmat kepada parti secara ikhlas tanpa mengharap balasan material.
Beliau menggesa ahli mengamalkan semangat sukarelawan dalam kerja-kera parti tanpa menuntut habuan kerana orang-orang Umno dulu sudah melaksanakannya dan ternyata mereka kekal sebagai pejuang sejati yang berkhidmat untuk parti sepanjang hayatnya.
Masalahnya, tidakkah Najib sedar bahawa situasi dan kehendak zaman sudah bertukar dan sikap ahli-ahli Umno juga berubah tidak seperti zaman permulaan penubuhan Umno yang ramai diserati para guru, pekebun, nelayan dan mereka yang berpendapatan kecil.
Tapi ketika ini (sejak awal tahun 70-an) ahli Umno terdiri dari ahli perniagaan, tokoh koperat, para profesional termasuk peguam, doktor, arkitek dan berbagai lagi, yang menyertai Umno dengan matlamat lebih besar mengejar kedudukan dan pengaruh.
Mereka ini kaya, berpendapatan tinggi dan boleh berbelanja besar asal saja cita-cita untuk mencapai kedudukan tertinggi dalam parti terjamin. Ini dibantu dengan sikap pemimpin atasan yang sama dengan menanam budaya permainan wang sebagai senjata mengejar kedudukan di semua peringkat cawangan dan bahagian.
Golongan ini boleh melakukan apa saja tanpa segan silu dan budaya berkhidmat kepada parti dengan jujur dan ikhlas seperti yang disaran Najib tinggal di atas bibir. Mereka tidak perlu bekerja keras dan tidak pernah hidup susah seperti ahli-ahli Umno terdahulu.
Maka itu, untuk mengharapkan mereka berubah apalagi meninggalkan perangai buruk melibatkan wang adalah amat sukar dan mungkin tinggal angan-angan kosong. Tidak mudah bagi mereka yang sudah sebati hidup dan bergelumang kemewahan boleh meninggalkan kesenangan hidup tanpa pengorbanan jiwa dan semangat yang tinggi.
Najib dan Muhyiddin jangan bermimpi dan berharap ahli Umno boleh bertukar sikap dalam waktu terdekat seperti yang diidamkan. Sebenarnya sikap ini bukan dimilikki ahli bawahan tetapi sudah lama bersemadi di kalangan ketua dan pemimpin tertinggi kedudukan dan pangakatnya.
Tindakan jawatankuasa disiplin dalam pemilihan Umno tahun lalu dan sebelumnya sudah membuktikan mereka yang diambil tindakan melibatkan ahli MT dan calon naib presiden.
Setengah pihak mendakwa keikhlasan untuk berubah harus datang dari dalam diri ahli sendiri dengan kesedaran mendalam bahawa politik wang yang dikejar tidak membawa mereka ke mana-mana melainkan ke jurang kemusnahan yang dalam.
Bangsa dan agama bakal hancur jika negara masih dipimpin oleh segelintir pemimpin yang tamak kuasa bersandarkan permainan wang.
Keikhlasan berkhidmat dan semangat kesukarelawan seperti yang ditunjukkan oleh pejuang tulen Umno lama memungkinkan Umno masih panjang usia dan tahan ujian sehingga hari ini tanpa perpecahan sesama sendiri.
Ikrar Najib mengajak ahli berjanji menukar sikap dalam ucapan penggulungannya boleh diketahui secara ketara dalam dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-13. Jika ahli Umno masih tidak serius, mengamal feel dan perangai buruk lama tanpa cuba benar-benar insaf, peluang Umno untuk memenangi undi orang Melayu boleh tersekat di tengah jalan jika rakyat tidak berpuas hati dan masih melihat pemimpin Umno hanya pandai bercakap dan membuat janji manis tanpa tindakan konkrit.
Pindaan perlembagaan yang diharapkan oleh kebanyakan pemimpin Umno menjadi medan ujian sebenar kepada parti mereka apakah rakyat benar-benar diberi pembelaan seperti yang dijanji atau satu lagi retorik politik yang menjemukan.
Semua rakyat – orang Melayu dan bukan Melayu – menanti penuh debar perubahan sikap dan tindakan dari pemimpin Umno seperti yang dilaung-laungkan dalam perhimpunan tempoh hari. _
Filed under: Info terkini | Leave a comment »