Di sebalik Bajet Besar yang di Bentangkan, Terengganu Terus menjadi Negeri Termiskin di Semenanjung

Batu Enam, KUALA NERUS – Bajet besar yang dibentangkan oleh kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini membimbangkan, kerana jumlah hampir sama dibentangkan pada tahun lalu gagal membawa sebarang perubahan yang ketara kepada kehidupan rakyat.

”Kerajaan negeri telah membentangkan bajet tahun 2010 yang begitu besar, hampir RM2000 juta iaitu RM1.881 bilion, suatu penambahan dari bajet tahun lepas,
”tapi sebenarnya kalau di campurkan dengan bajet tambahan pada tahun 2009, ia melebihi RM2 bilion,

“dan saya menjangkakan kemungkinan tahun hadapan akan dibentangkan bajet tambahan juga”kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal Dr. Alias Razak.

Namun begitu, menurutnya, hanya 8% yang berjumlah RM162 juta sahaja dari keseluruhan bajet itu adalah hasil yang dapat dikutip oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional.

Manakala bakinya, kata beliau, adalah datang dari Dana Khas Kerajaan Persekutuan, daripada duit royalti petroleum.

Oleh itu, katanya, sekiranya tiada Dana Khas, kerajaan Umno/BN tidak akan mampu walaupun untuk membayar gaji Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

”RM162 juta sahaja yang dia (Umno/BN) dapat cari, kita (kerajaan PAS Terengganu) RM300 juta, siapa yang pandai memerintah? Siapa pandai cari duit?,

”Kalau (Perdana Menteri Dato’ Seri ) Najib tak bagi duit, (Menteri Besar Dato’) Ahmad Said tak boleh buat apa, nak bayar gaji JKKK pun tak boleh,”jelasnya ketika berucap dalam Majlis Penerangan disini semalam.

Beliau yang juga Naib Yang DiPertua PAS Kuala Nerus berkata, disebalik pembentangan bajet yang besar pada tahun lalu, negeri Terengganu masih merupakan negeri termiskin di Semenanjung dan ketiga termiskin di Malaysia.

Menurutnya, fakta tersebut adalah berdasarkan program E-Kasih yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan dan senarai bantuan hari raya yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.

http://buletinonline.net

GMI terkejut menteri kata semua sokong kekal ISA

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) membidas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa semua pihak sepakat Akta Keselamatatan Dalam Negeri (ISA) dikekalkan.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kenyataan yang dibuat oleh Hishamuddin itu tidak menggambarkan persetujuan semua pihak kerana pertemuan yang dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak melibatkan semua pihak.

GMI khususnya dan beberapa badan bukan kerajaan yang lantang menuntut ISA dimansuhkan seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), dan Jemaah Islah Malaysia (JIM) juga tidak dipanggil menghadiri sesi Pertemuan Awam dengan KDN bagi berbincang mengenai akta tersebut.

“Banyak prsoalan yang timbul daripada kenyataan Datuk Seri Hishamuddin itu. Yang dikatakan sepakat (ISA dikekalkan) itu siapa? Siapa yang terlibat dalam pertemuan itu?

“Setahu saya badan bukan kerajaan seperti GMI, SUARAM dan JIM yang ke depan dalam isu ini tidak dipanggil. Bagaimana dengan bekas tahanan ISA, ahli keluarga, peguam yang ada pandangan berbeza dan meluas dalam isu ini?” soalnya ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Syed Ibrahim turut berkata, Hishamudin juga tidak menunjukkan kesungguhan dalam melihat akta ini secara menyeluruh apabila gagal menunaikan janji untuk membentang dan membahaskan pindaan mengenai ISA pada sesi Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Kenapa akta ini hanya akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang? Menteri tidak tunaikan janjinya. Sedangkan masa Datuk Seri Najib baru jadi PM, beliau minta ISA dikaji kemudian dibentangkan.

“Kalau betul kerajaan mengambil kira pandangan rakyat, mereka sepatutnya berusaha untuk membentangkan mengenai ISA baru-baru ini, bukan melengah-lengahkannya,”tegasnya.

Beliau turut mendakwa, kenyataan Hishamuddin untuk meminda ISA hanya sekadar untuk menawan kembali rakyat yang ‘atas pagar’ agar kembali memberikan sokongan penuh kepada kerajaan dengan menabur pelbagai janji manis.

Namun kata Syed Ibrahim, pada hakikatnya tiada sebarang perubahan berlaku sejak dari awal akta ini ditubuhkan sehinggalah usianya sudah mencecah 40 tahun kini.

“Saya yakin ini semua cara untuk menawan orang atas pagar dengan menunjukkan kononnya perubahan telah berlaku, kerajaan ambil kira pandangan rakyat, tapi hakikatnya tidak ada  sebarang perubahan yang berlaku dalam ISA. Ia kekal 100 peratus.

“Sesiapa sahaja boleh ditahan di bawah akta ini pada ketika ini. Sekarang ini  masih ada  lagi sembilan orang yang ditahan dan salah seorangnya sudah lebih tujuh tahun dalam tahanan.

“Tapi itu semua orang tidak nampak sebab kerajaan pandai menyembunyikan perkara sebenar,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu turut menyokong Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia yang menggesa kerajaan melantik sebuah jawatankuasa pilihan parlimen bagi mendapatkan maklum balas awam sebelum pindaan terhadap ISA dibahaskan di Parlimen.

Menurutnya, isu besar yang melibatkan hak asasi rakyat itu harus segera dibawa ke parlimen untuk diselesaikan.

“Saya bersetuju dengan cadangan NUJ itu. Memang perkara ini perlu ditangani di peringkat Parlimen. Apa-apa perubahan ianya perlu dibincangkan di Parlimen kerana undang digubal di peringkat Parlimen. Kalau dari segi jawatankuasa tindakan, teknikal mesti dijawab di Parlimen supaya skop perbincangan boleh diperluas.

“ISA ini kuasa eksekutif. Kami sangsi apabila pihak yang buat kajian ialah badan eksekutif, dan buat keputusan pun badan yang sama,” ujarnya.

Setiausaha Agung NUJ,  V.Anbalagan Sabtu lalu dilaporkan sebagai berkata, perbincangan mengenai pindaan kepada akta itu tidak harus tertumpu kepada satu kumpulan kecil.

Beliau turut mendakwa, sebagai kumpulan berkepentingan, NUJ tidak dipelawa ke sebarang perbincangan oleh KDN ataupun pendapatnya diminta.

Beliau menyebut sebagai contoh penahanan seorang wartawan selama 18 jam tahun lepas berhubung sebuah artikel.

Sementara itu, GMI ujar Syed Ibrahim, tetap dengan pendirian menuntut kerajaan memansuhkan terus akta zalim itu meskipun usaha-usaha yang dilakukan ini tidak diendahkan pihak kerajaan.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, GMI sedang dalam perbincangan untuk mengadakan satu sesi pertemuan dengan semua ahli parlimen sebagai platform untuk menyampaikan maklumat berkenaan ISA serta sebab ia perlu dimansuhkan, bukan dipinda seperti yang dicadangkan.

Bagaimanapun, ianya perlu mendapat persetujuan daripada Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami mungkin akan adakan sesi (perbincangan) dengan semua ahli parlimen tapi saya percaya yang akan datang cuma ahli Parlimen pembangkang sahaja. Kami  kena bincang dengan Ketua Pembangkang (Anwar)khususnya supaya ia dapat diadakan,” katanya.

Beliau turut menyeru Hishamuddin khususnya agar memberikan ruang kepada GMI untuk memberikan penerangan yang sejelas-jelasnya mengenai kepentingan ISA dimansuhkan.

GMI tegasnya sentiasa bersedia untuk berdialog dengan pihak KDN demi memastikan ISA dimansuhkan.

“Hishamuddin tolong bagi ruang kepada GMI.Walaupun sebelum ini beliau tidak layan permintaan kami untuk mengadakan pertemuan, tapi kami sentiasa bersedia. Panggil kami, kami sedia datang. Selain demonstasi, kita masih ada ruang untuk berdiskusi dan berdialaog,” katanya.

Khamis lalu, Hishamuddin berkata, pindaan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 akan dibentang dan dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Hishammuddin berkata, berikutan pertemuan dan perbincangan awam dengan kumpulan-kumpulan sasaran, Jawatankuasa Teknikal Kajian Undang-undang kini berada di peringkat akhir kajian semua pandangan dan cadangan yang dikemukakan semasa sesi berkenaan sebelum pindaan dibentangkan di Parlimen.

.

http://harakahdaily.net

//

Hilang enjin, tubuh segera Suruhanjaya Diraja – Anwar

KUALA LUMPUR, 26 Dis: Kerajaan digesa untuk menubuhkan dengan segera Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kehilangan dua buah enjin kapal terbang tempur F-5E milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

Hal ini ditegaskan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulas mengenai isu tersebut di majlis jamuan Hi-Tea sempena Krismas anjuran The Mar Thoma Syrian Church of Malaysia di Kuala Lumpur semalam.

Menurut Anwar skandal kehilangan enjin pesawat merupakan suatu perkara yang sangat serius dan tidak sepatutnya dipandang ringan.

Sehubungan itu beliau dan parti-parti pembangkang menuntut penubuhan satu Suruhanjaya diRaja untuk menanganinya.

“Kita menuntut satu suruhanjaya diraja ditubuhkan segera untuk menyiasat skandal ini,” tegasnya ketika ditanya wartawan.

Sebelum ini,Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan menyifatkan kehilangan enjin F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai tanda aras keruntuhan moral pimpinan negara ini.

Beliau melahirkan kekesalannya kerana perkara yang tidak pernah dibayangkan boleh berlaku sebelum ini seperti kehilangan enjin pesawat yang saiznya besar tetapi mudah pula untuk diseludup ke luar negara.

“Kalau sampai dua enjin pesawat pejuang boleh hilang yang ahli silap mata terkenal dunia seperti David Copperfield tidak boleh hilangkannya tetapi yang menjaga keselamatan negara boleh hilangkan, ini satu gambaran runtuhnya iklim moral yang besar.

“Kita bimbang jika tidak diberi kesedaran tentang perlunya menjaga iklim moral dan integriti di kalangan generasi muda, negara ini akan rosak dan runtuh,” tegas Dr Anwar lagi dalam majlis meraikan beliau sebagai Sasterawan Negara ke-10 oleh Lembaga Muzium Selangor dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Dato’ Mhafuz Omar pula persoalkan kredibiliti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di atas kegagalan agensi itu menyelesaikan siasatan berhubung kes kehilangan enjin jet pemintas F-5E seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Mahfuz yang ditemui selepas Majlis Sumbangan Peralatan Sekolah di Pejabat PAS Pokok Sena baru-baru ini berkata, beliau difahamkan laporan polis berhubung kejadian itu dibuat pada 4 Ogos 2008 yang lalu dan nota pemakluman kepada Jabatan Peguam Negara (AG) hanya dihantar pada Mei 2009.

“Persoalannya, kenapa PDRM perlu ambil masa yang terlalu lama untuk menyiasat insiden yang sebegini serius dan penting?

“Sembilan bulan bukannya tempoh yang singkat, itu pun masih tidak boleh selesai, perlu kepada lanjutan tempoh siasatan, ini yang meragukan dan rakyat persoalkan,” katanya.

Menurut Mahfuz, kerajaan perlu menyatakan bentuk tindakan yang telah diambil terhadap syarikat yang memonopoli kerja-kerja penyelenggaraan enjin pesawat pejuang milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) iaitu AIROD SDN BHD.

“Kejadian enjin jet F-5E hilang itu dikatakan berlaku ketika dalam perjalanan dari pengkalan TUDM di Butterworth ke AIROD untuk diselenggarakan, sudah tentu ada kaitannya dengan syarikat itu,” katanya.

Beliau turut mengulangi desakannya supaya ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Siasatan peringkat Parlimen yang diyakini lebih bersifat terbuka, berintegeriti dan telus dalam usaha menjejaki mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian ini.

Mahfuz berkata, perletakan jawatan seorang pegawai berpangkat Briged Jeneral dan tindakan memberhentikan perkhidmatan 20 anggota lain yang dikatakan tiada kaitan dengan kes ini turut mengundang keraguan masyarakat yang melihat seolah-olah kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu berkaitan dengan kes ini.

Ini sekaligus menolak kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang berjanji tidak akan menyembunyikan siasatan kes dari pengetahuan umum.

Mahfuz menuntut Kementerian Pertahanan mengemukakan alasan ke atas tindakan memberhentikan kerja 20 anggota tersebut dan menyatakan alasan perletakan jawatan pegawai tinggi itu kepada masyarakat umum untuk mengembalikan keyakinan mereka.

“Kalau betul mereka terlibat, kerajaan perlu mengheret mereka ke mahkamah terbuka dan bukannya dakwa mereka di mahkamah tentera yang sudah tentu perbicaraannya tidak akan didedahkan kepada pengetahuan umum,”tegasnya.

http://harakahdaily.net

Enjin Jet Hilang: Najib juga perlu disiasat

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyelar sikap kerajaan yang hanya bertindak kepada pegawai atasan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan melepaskan Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kehilangan enjin jet pejuang F-5E bernilai RM50 juta.

Ketuanya, Nasrudin Hassan menegaskan, Menteri  berkenaan harus bertanggungjawab apabila menghadapi kes seperti ini dengan meletakkan jawatannya kerana ia mengancam keselamatan negara.

“Pemuda PAS kesal sikap kerajaan yang hanya bertindak kepada pegawai atasan apabila berhadapan dengan kes-kes seperti kehilangan enjin jet pesat pejuang, sedang menteri pertahanan pada waktu itu yang juga Perdana Menteri pada hari ini di lepaskan begitu sahaja. Pihak Menteri terbabit sepatutnya mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan apabila  berhadapan dengan kes-kes seperti ini kerana ianya mengancam keselamatan negara dan rakyat,”katanya dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily.

Nasrudin yang menyifatkan insiden kehilangan pada 2007 itu sebagai memalukan negara, turut mempersoal sistem kawalan keselamatan negara yang terlalu rapuh sehingga harta yang begitu penting kepada pertahanan negara boleh lesap begitu sahaja.

“Tidak ada tempat yang paling selamat di negara kita melainkan kawasan di bawah kawalan Kementerian Pertahanan. Malangnya Kementerian ini juga gagal mempertahankan enjin jet pejuangnya, apalah yang boleh diharapkan pada pertahanan negara dan para pejuangnya untuk melindungi keselamatan negara dan rakyat jika enjin jet pejuang mereka boleh hilang dan lesap.Sungguh ini memalukan negara justeru menunjukkan sistem kawalan keselamatan negara terlalu rapuh,” katanya.

Nasrudin turut mendakwa keselamatan negara dan rakyat kini terancam dan berada dalam keadaan bahaya akibat amalan rasuah yang semakin membarah di kalangan pemimpin Umno BN.

Ini dakwa Nasrudin dapat dibuktikan dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa terdapat ahli politik kanan menerima rasuah RM5 juta untuk membebaskan penjenayah yang sangat dikehendaki kerana terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah seperti pelacuran , gengster , ah long dan lain – lain .

Persidangan Dewan Negara pada tahun 2007 juga pernah diberitahu bahawa  terdapat tiga kumpulan gengster utama yang telah dikenal pasti wujud di negara ini sejak 2005 dengan jumlah anggota mencecah 17,000 orang.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharum berkata kumpulan gengster Ang Bin Hoey mempunyai 122 kumpulan dengan 11,764 anggota, kumpulan Wah Kee mengetuai 40 kumpulan dengan 1,991 anggota manakala Thug Gang mempunyai 123 kumpulan dengan 3,497 anggota.

Pada 12 ogos 2007 pula, bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dalam ruangan tetapnya di akhbar The Star mendedahkan bahawa terdapat 40% daripada anggota polis terlibat dengan rasuah.

Sementara pada 14 February 2004 , Datuk Seri Rais Yatim juga pernah mendedahkan bagaimana 18 kes rasuah yang melibatkan high profile sedang di peringkat akhir siasatan tetapi malang sehingga kini tidak lagi kedengaran sebarang tindakan diambil.

Manakala Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam pernah seketika dulu membuat laporan kepada BPR [ kini SPRM ] apabila laman web seorang yang dituduh penjenayah, Michael Soosai yang seketika dulu dipercayai bersembunyi di India , mendedahkan kegiatan sembilan anggota polis yang terlibat secara langsung dengan rasuah.

“Baru – baru ini pula rakyat  dikejutkan dengan berita bumbung stadium Sultan Mizan runtuh di Terengganu , kemudian jambatan gantung di Dipang juga runtuh dan mengakibatkan  kehilangan nyawa beberapa orang pelajar sekolah yang menggunakan jambatan tersebut .

Terbaru hentian bas di Kuala Berang juga dilaporkan runtuh . Saya percaya semuanya ini adalah bermula dan berpunca dari amalan rasuah yang membarah.

“Indeks rasuah negara di peringkat antarabangsa kini di angka 52 . Angka yang sangat memalukan dan jauh ketinggalan dari negara jiran kita Singapore .

“Lebih malang , tiada usaha yang serius dan berkesan dari kerajaan UMNO dan BN untuk menangani isu rasuah ini malah mereka kelihatan selesa dengan wabak rasuah yang kian menular ini .

“Akibatnya, keselamatan negara dan rakyat kini terancam dan berada di dalam keadaan bahaya,” tegasnya.

Baru-baru ini, Menteri Pertahanan, Datuk Zahid hamidi memberitahu bahawa enjin jet pejuang F-5E bernilai RM 50 juta hilang dan beberapa barangan lain turut lesap .

http://harakahdaily.net

Kerajaan perlu dahulukan keperluan rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Gabungan Memprotes Kenaikkan Harga Minyak dan Barangan (Protes) mencadangkan kerajaan mendahulukan dana keuntungan Petronas untuk keperluan rakyat negara ini.

Cadangan tersebut sebagai respon pada keputusan kerajaan memperkenalkan dua harga petrol-diesel untuk rakyat dan bukan warganegara semalam.

“Dari memperkenalkan dua sistem harga itu, lebih baik kerajaan kembali pada persoalan pokok (iaitu) gunakan petroleum untuk kepentingan rakyat,” jelas Jurucakap Protes, S. Arutchelvan ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Beliau yang juga Setiausaha Agong Parti Sosialis Malaysia (PSM) berharap kerajaan mencontohi kerajaan Veneziola yang dilihat mengutamakan keperluan rakyat sendiri.

“Seperti Petronas, hasil keuntungan minyak di Veneziola dengan memberikan pendidikan percuma kepada rakyat dari peringkat bawah (rendah) hingga PhD untuk keperluan rakyat,” jelasnya.

Beliau yang juga aktivis Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) berkata, kerajaan turut menyediakan perkhidmatan perubatan secara percuma kepada rakyat dengan menggunakan hasil keuntungan minyak.

Ujarnya lagi, walaupun skala pengeluaran minyak di Malaysia tidak sebanyak pengeluaran minyak di Veneziola – iaitu negara pengeluar minyak ke-5 terbesar di dunia, namun keuntungan yang sedia ada tidak seharusnya dibazirkan dengan projek-projek yang bukan keperluan rakyat.

Tambahnya lagi, kerajaan Veneziola turut menggunakan hasil petroleum dengan membina pasaraya-pasaraya yang menjual bahan makanan asasi rakyat dengan harga yang cukup murah.

Pun begitu, beliau melihat cadangan kerajaan tersebut secara asasnya tidak bermasalah.

Bagaimanapun, mekanisme yang mahu dilaksanakan itu dijangkan sukar untuk dilaksanakan pada Mei tahun depan.

“Saya ingat mekanisma yang diperkenalkan tak ada masalah, tetapi susah untuk diimplimentasi di Malaysia,” jelasnya.

“Di Malaysia, kita menggalakkan aktiviti pelancongan bukan warganegara, tetapi pada masa yang sama kita seolah-olah menyekat keperluan mereka menggunakan minyak kita untuk bergerak dalam negara.”

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengenalan mekanisme tersebut demi memastikan subsidi kerajaan hanya diterima oleh rakyat sahaja.

Mekanisme tersebut menurut Sabri sekaligus mampu menyelamatkan subsidi negara dari dinikmati oleh bukan warganegara di Malaysia

http://harakahdaily.net

Enjin F5E- PAS mahu Najib letak jawatan

KUALA LUMPUR, 23 Dis: PAS mahu Datuk Seri Najib Tun Razak meletakan jawatan serta merta berhubung kes kehilangan dua enjin pesawat pemintas F5E pada 2007 iaitu semasa beliau memegang Menteri Pertahanan dan Timbalan Perdana Menteri.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad dalam satu kenyataan memberitahu, Najib sepatutnya berbuat demikian pada tahun 2008 lagi sewaktu kehilangan itu dikesan.

Namun dakwanya, Najib seperti merahsiakan perkara itu kerana mahukan laluan mudah menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Selaku Menteri beliau bertanggungjawab penuh diatas kecuaian terbesar yang berlaku dalam sejarah pentadbiran Kementerian Pertahanan. Sewajarnya beliau meletakan jawatan pada tahun 2008 iaitu ketika kehilangan enjin berkenaan disedari hilang bagi memberikan laluan kepada siasatan menyeluruh kes ini.

“Jelas beliau cuba merahsiakan perkara ini dari rakyat bagi memastikan laluan mudah agar dirinya dilantik sebagai Perdana Menteri mengantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.Kelicikan politik beliau dalam menyembunyikan kes ini jelas memperlihatkan agenda beliau itu.

Kes kehilangan ini juga jelasnya tidak boleh dianggap remeh kerana ia adalah simbolik disebalik kegagalan sistem pertahanan negara dibawah pentadbiran Najib.

“Dibawah pentadbiran Najib, kita sudah lali mendengar kisah ruang udara negara diceroboh, helikopter nuri terhempas, kapal terbang terhempas, dan juga kisah-kisah perbelanjaan Kementerian Pertahanan yang dihalang untuk di Audit oleh Jabatan Audit negara.

Katanya rakyat tidak harus membiarkan pemimpin yang mementingkan politik peribadi dari keselamatan negara dan rakyat.

Apatah lagi, dizaman beliau juga bermacap program dilaksanakan yang akhirnya merugikan rakyat dan negara.

“Zaman Najib menjadi menteri pertahanan juga menyaksikan munculnya projek Angkawan Negara yang berakhir dengan kisah Pelancong Angkasa. Program Latihan Khidmat Negara juga dicipta dengan begitu banyak tragedi sedangkan manfaat yang diterima kurang dari 10 peratus dan masalah sosial generasi muda hari ini kian membarah. Zaman beliau begitu banyak kecuaian, kerugian, penipuan dan pembaziran,” katanya lagi.

“Jika 2 unit enjin pesawat yang besar boleh hilang dari kawalan pasukan keselamatan negara, esok lusa apa pula yang hilang jika Najib masih kekal menjadi Perdana Menteri,” katanya.

http://harakahdaily.net

Mahatir dan Pak Lah, kedua-dua perlu disiasat

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mahu kedua-dua mantan Perdana Menteri, Tun Dr mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi dihadapkan ke Suruhanjaya Diraja untuk disiasat berhubung dakwaan penyelewengan wang sewaktu pemerintahan zaman masing-masing.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, satu Suruhanjaya Diraja harus ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan itu kerana siasatan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia tidak dapat dijamin ketelusannya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas berhubung dakwaan Tun Mahathir bahawa Pak Lah telah menghabiskan sebanyak RM270 bilion dalam masa lima tahun untuk kegunaan peribadi beliau.

Namun katanya, apa yang berlaku sekarang ini, kedua-duanya saling tuduh menuduh berhubung jumlah yang dihabiskan pada zaman masing-masing.

Mahathir juga sebelum ini didakwa menghabiskan 100 bilion dalam masa 23 tahun pemerintahannya.

“Kedua-dua mereka harus dihadapkan ke muka pengadilan iaitu perlu kepada satu proses penyiasatan yang telus ke atas kedua-dua bekas perdana menteri itu. Ianya perlu kepada satu penubuhan Suruhanjaya Diraja.Bagi saya kedua-duanya ada masalah dan mereka perlu menghadapi satu siasatan dan siasatan itu perlu telus, bukan polis, bukan SPRM,” katanya.

Menurut Mahfuz juga, jika Suruhanjaya Diraja tidak dapat ditubuhkan, satu jawatankuasa siasatan di peringkat Parlimen harus ditubuhkan dn laopran siasatan berkenaan diletakkan di bawah biang kuasa Speaker Dewan Rakyat untuk dibahaskan,” katanya lagi.

“Paling kurang pun satu jawatankuasa siasatan peringkat parlimen yang dianggotai pelbagai latar belakang, diletakkan di bawah parlimen dan laporan (siasatan) dihantar ke parlimenuntuk diperiksa dan dibahaskan,” tambahnya.

Mahfuz juga menyifatkan kedua-dua mantan Perdana Menteri itu sebagai penyamun yang saling menuduh sedangkan kedua-duanya terlibat dalam salah guna kuasa dan penyelewengan wang rakyat.

“Sekarang ni penyamun sedang tuduh penyamun.Seorang kata hang yang samun lebih, seorang lagi kata hang yang samun lebih.Dua-dua pun penyamun.

“Kalau Tun Mahathir kata Pak Lah habiskan 28 bilion, sudah tentu beliau (Tun Mahathir) habiskan lagi banyak sebab beliau 22 tahun memerintah berbanding Pak Lah yang hanya lebih kurang 4 tahun,” ujarnya.

Mahfuz turut menegaskan, siasatan terhadap projek pembinaan rumah Pak Lah yang berjumlah RM12 juta juga perlu disegerakan kerana pembinaanya dibuat sewaktu Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini katanya membuktikan Najib juga terlibat dalam penyelewenagn dana awam.

“Siasatan ini juga termasuk rumah Pak Lah RM12 juta.Tapi rumah Pak Lah itu dibina di zaman Najib. maksudnya dalam pengetahuan Najib.”katanya.

http://harakahdaily.net

Hilang enjin RM50 juta, macam hilang kotak mancis!

KUALA LUMPUR, 22 Dis: Kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E bernilai kira-kira RM50 juta milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menimbulkan pelbagai persoalan terutamanya mengenai tahap keselamatan negara.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad,PAS berasa kesal dan bimbang terhadap  tahap keselamatan negara  atas kehilangan enjin pesawat bernilai kira-kira RM50 juta itu.

“Beberapa persoalan yang boleh ditimbulkan kepada kerajaan dan Kementerian Pertahanan. Kenapa sekarang baru kerajaan sedar tentang kehilangan enjin tersebut, sedangkan ia sudah berlaku sejak tahun 2007.

“Apakah tahap keselamatan negara kita begitu lemah. Enjin kapal terbang bukan boleh diletak di dalam kotak mancis, macam mana enjin sebesar itu boleh dicuri dengan  begitu mudah,?”soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, PAS yakin jenayah tersebut melibatkan orang yang berkuasa dan perlu disiasat dengan segera dan teliti.

“Kita tidak mahu yang ditahan hanya ikan bilis, sedangkan ikan jerung masih bermaharajalela. Jenayah ini amat memalukan negara kita di mata dunia, terutama di kalangan pelabur asing,”jelasnya.

Ustaz Idris juga berkata bahawa, peristiwa yang berlaku adalah jawapan kenapa indeks rasuah negara meningkat dari setahun ke setahun, contohnya pada tahun 2008 Malaysia menduduki nombor 47 manakala tahun 2009 meningkat pada nombor 56.

“Sebab itu PAS dan Pakatan Rakyat serius dalam menentang rasuah di negara ini kerana kita tahu bahana kepada negara dan rakyat.

“Keselamatan negara akan tergugat apabila gejala rasuah tidak dihapuskan dan ia merupakan ibu segala kejahatan dalam sebuah negara,”tegasnya.

http://harakahdaily.net

Panggil segera Sidang Khas Parlimen bincang kehilangan enjin pesawat F-5E

ALOR SETAR, 22 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memanggil sidang khas Parlimen untuk membincangkan kes kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

Menurut Mahfuz, beliau akan menulis surat meminta Najib memanggil suatu sidang khas Parlimen bagi membolehkan usul pembentukan sebuah jawatankuasa siasatan peringkat parlimen dibincangkan.

“Jawatankuasa yang dibentuk nanti akan bertanggungjawab menyiasat kes kehilangan enjin dan juga menyiasat segenap sudut termasuklah tahap keselamatan di semua kem-kem tentera khususnya di kem TUDM.

“Jawatankuasa ini mestilah dibenarkan menyoal siasat sesiapa sahaja yang terlibat dengan kes ini, termasuklah bekas Menteri Pertahanan dan bekas Panglima TUDM yang bertanggungjawab ketika kes itu berlaku,” katanya pada media di pejabatnya di Pokok Sena, dekat sini.

Kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, untuk membuktikan ketelusan jawatankuasa yang dibentuk, laporan siasatan nanti hendaklah dikemukakan kepada Parlimen dalam bentuk kertas putih dan tidak disembunyikan daripada pengetahuan umum.

Sementara itu, Mahfuz turut meragui persediaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjaga keselamatan negara berikutan terjadinya kes-kes pencerobohan di kem-kem tentera sebelum ini.

“Tahap keselamatan negara amat diragui memandangkan sudah beberapa kali berlakunya insiden yang mengancam keselamatan negara melibatkan kem-kem tentera seperti kes Al-Maunah dan kebakaran berulang kapal pengangkut milik TLDM.

“Jika enjin pun boleh hilang, tidak mustahil suatu hari nanti jet Sukoi pula dilarikan pihak tertentu. Ini menunjukkan tahap keselamatan negara terdedah kepada ancaman pihak luar,” katanya.

Mahfuz juga menyarankan kepada Kementerian Pertahanan supaya lebih peka dan bertanggungjawab menjaga dalam aspek-aspek keselamatan negara agar tidak diperlekeh pihak tertentu.

“Pada masa kita mahu memantapkan aspek pertahanan dengan penggunaan kapal selam, kita tidak boleh lagi memandang ringan isu-isu kecil seperti kem diceroboh dan aset-aset keselamatan negara dicuri,” katanya.

http://harakahdaily.net

3,538 kakitangan awam P. Pinang terima bonus tambahan

PULAU PINANG, 18 Dis: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil inisiatif dengan memberi bonus tambahan kepada 3,538 kakitangan awamnya sebagai tanda menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh mereka bagi membantu kearah pembangunan negeri ini.

Menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, pemberian bonus pada peringkat awal sebanyak RM500 setiap orang dan tambahan sebanyak RM250 menjadikan keseluruhan peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri dibawah Dana Bantuan Khas Kewangan 2009 adalah sebanyak RM2,653,500.

“Pemberian dibawah Dana Bantuan Khas Kewangan 2009 melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM824,750 bagi kumpulan perkhidmatan sokongan manakala RM59,750 adalah bagi kumpulan pengurusan dan profesional gred 41 hingga 54. Teruskan membaca

MP dakwa kronisme di Universiti Malaya

(Gambar: Nasir, Muhamad Husein dan beberapa pihak lain dalam sidang media hari ini)

KUALA LUMPUR, 16 Dis: Naib Canselor Universiti Malaya Prof. Datuk Dr. Gauth Jasmon pagi tadi didakwa mengamalkan kronisme dalam pengambilan staff universiti itu.

Menurut Ahli Parlimen Padang Terap Mohd Nasir Zakaria, perlantikan Dr. David Ngo Check Leng dan Dr. David Asirvatham tidak melalui temuduga rasmi Universiti.

“Dr. Gauth perlu jelaskan asas-asas perlantikan dua staff terbabit…suatu perlantikan pelik,” jelasnya.

“Perlantikan itu ganjil (kerana) tiada temuduga, seolah-olah (seperti) tender tertutup.” Teruskan membaca

Pakatan Rakyat perlu serius tempatkan diri

KOTA BHARU, 15 Dis: Pakatan Rakyat perlu menunjukkan kesungguhan dan kemampuan untuk sedia menjadi pemerintah negara menggantikan Umno Barisan Nasional dalam setiap ruang dan peluang yang ada.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata pakatan pada waktu ini mempunyai peluang terbaik menonjolkan segala aset kepimpinan yang dimiliki ketiga-tiga gabungan PAS, PKR dan DAP.

“Dan mesti serius di dalam menempatkan diri kita itu.  Tidak boleh bercakap saja. Kita mesti buktikan bagaimana kita harus menampilkan diri kita, kepimpinan kita dan cara berpolitik kita.

“Kalau kita mengguna pakai (pendekatan) politik baru, (maka) cara politik lama tidak boleh terpakai lagi, pemikiran mesti kontemporari dan mentala’ah setiap ruang yang mendepani kita. Teruskan membaca

Tarik kelulusan saat akhir, tindakan MPK dipertikai

KANGAR, 15 Dis: Pemuda PAS Perlis mlahirkan rasa kesal di atas tindakan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang menarik balik kelulusan penggunaan pentas Dataran Kangar 350 pada saat akhir untuk tujuan penganjuran konsert hiburan alternatif yang sepatutnya dijadual semalam.

Konsert “Selagi Ada Rindu” anjuran Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Perlis itu bakal menampilkan Pak Long atau Syafiee Ahmad, komposer lagu Al-Jannah dan Cinta Pantai Merdeka sebagai artis jemputan utama.

Selain itu, konsert ini bakal menyaksikan penampilan Juara Bintang Kecil, Adik Azidi; P.Ramlee Perlis serta Aziz “Mas Mona”.

Program ini berkonsepkan hiburan alternatif untuk mengakhlakkan seni di samping mendidik golongan reamaja agar bebas dari unsur-unsur negatif dan gejala sosial. Teruskan membaca

Guru kelulusan Sarjana, Phd perlu insentif sebagai dorongan

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Dr. Mujahid Yusuf Rawa (PAS-Parit Buntar) mencadangkan agar Kerajaan memberikan insentif kenaikan gaji kepada guru-guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (Phd) sebagai dorongan kepada guru-guru lain untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Mujahid sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan rakyat semalam memberitahu, kebanyakan guru berkelulusan Sarjana dan Phd yang ditemui menyuarakan kekecewaan kerana tiada sebarang keistimewaan diberikan kepada mereka di sekolah. Teruskan membaca

Skandal PKFZ: Bekas Jurutera KDSB Didakwa

Bekas jurutera dengan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Laww Jenn Dong didakwa di Mahkamah Klang sebentar tadi terhadap 24 tuduhan menipu Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Laww didakwa membuat tuntutan palsu kepada LPK sebayak RM116 juta antara 29 September 2006 hingga Mei 2008. Teruskan membaca

Nga Kor Ming Nafi Pertikai Peruntukan Bina Masjid

Manohara diperintah kembali taat, bayar hutang lebih RM1 juta

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memerintahkan Manohara Odelio Pinot supaya kembali taat dan membayar semula hutang berjumlah RM1,112,250 kepada suaminya Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra.

Hakim Syarie Mohd Yusof Awang berkata perintah itu akan berkuat kuasa sebaik sahaja Tengku Muhammad Fakhry melafazkan sumpah “Yamin Istizhar” (sumpah jelas) di mahkamah itu pada 3 Januari tahun depan.

Ketika membacakan penghujahan penghakiman lebih sejam itu, Mohd Yusof memerintahkan hukuman kembali taat terhadap Manohara itu berkuat kuasa dalam tempoh 14 hari selepas suaminya melafazkan sumpah berkenaan. Teruskan membaca

Gempa bumi sederhana di India

MUMBAI 13 Dis. – Gempa bumi sederhana telah berlaku di India barat semalam, tetapi tidak kerosakan dilaporkan berlaku, kata ahli seismologi.

Pusat kajian geologi Amerika Syarikat berkata, letusan pada skala 5.1 Richter yang meletus kira-kira 156 kilometer ke barat negeri Manarashta di Pune, selatan Mumbai pada pukul 5.21 petang waktu tempatan. – AFP

.

http://www.utusan.com.my

Polis cedera dirempuh mat rempit

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Seorang anggota polis yang sedang bertugas dalam operasi sekatan jalan raya di Dataran Merdeka tengah malam tadi, cedera di tangan kirinya apabila dirempuh sebuah motosikal yang ditunggangi dua remaja berumur 18 tahun.

Anggota polis berumur 30 tahun yang berkawal lima meter dari halangan sekatan jalan raya itu cuba menahan kedua-dua remaja itu apabila mereka merempuh halangan tersebut, kata Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang kepada pemberita di tempat kejadian. Teruskan membaca

Lori tangki minyak rempuh rumah, 3 maut

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha memadamkan kebakaran membabitkan lori tangki minyak terbabas dan meletup di sebuah rumah di Kampung Ulu Klawang, Jalan Seremban-Jelebu, semalam.

KUALA KLAWANG: Dua beradik rentung selepas rumah mereka hangus terbakar akibat dirempuh sebuah lori tangki minyak yang terbabas sebelum meletup di Kampung Ulu Klawang, Batu 18 Jalan Seremban-Jelebu, dekat sini semalam.

Mayat Mohd Hafiz Hanapiah, 7, dan kakaknya, Anisah, 15, ditemui dalam keadaan bertindih, manakala pemandu lori, Samsulkahar Bahudin, 36, berasal dari Melaka, turut terbunuh dalam kejadian kira-kira jam 8.39 pagi itu. Teruskan membaca