GMI terkejut menteri kata semua sokong kekal ISA

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) membidas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa semua pihak sepakat Akta Keselamatatan Dalam Negeri (ISA) dikekalkan.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kenyataan yang dibuat oleh Hishamuddin itu tidak menggambarkan persetujuan semua pihak kerana pertemuan yang dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak melibatkan semua pihak.

GMI khususnya dan beberapa badan bukan kerajaan yang lantang menuntut ISA dimansuhkan seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), dan Jemaah Islah Malaysia (JIM) juga tidak dipanggil menghadiri sesi Pertemuan Awam dengan KDN bagi berbincang mengenai akta tersebut.

“Banyak prsoalan yang timbul daripada kenyataan Datuk Seri Hishamuddin itu. Yang dikatakan sepakat (ISA dikekalkan) itu siapa? Siapa yang terlibat dalam pertemuan itu?

“Setahu saya badan bukan kerajaan seperti GMI, SUARAM dan JIM yang ke depan dalam isu ini tidak dipanggil. Bagaimana dengan bekas tahanan ISA, ahli keluarga, peguam yang ada pandangan berbeza dan meluas dalam isu ini?” soalnya ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Syed Ibrahim turut berkata, Hishamudin juga tidak menunjukkan kesungguhan dalam melihat akta ini secara menyeluruh apabila gagal menunaikan janji untuk membentang dan membahaskan pindaan mengenai ISA pada sesi Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Kenapa akta ini hanya akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang? Menteri tidak tunaikan janjinya. Sedangkan masa Datuk Seri Najib baru jadi PM, beliau minta ISA dikaji kemudian dibentangkan.

“Kalau betul kerajaan mengambil kira pandangan rakyat, mereka sepatutnya berusaha untuk membentangkan mengenai ISA baru-baru ini, bukan melengah-lengahkannya,”tegasnya.

Beliau turut mendakwa, kenyataan Hishamuddin untuk meminda ISA hanya sekadar untuk menawan kembali rakyat yang ‘atas pagar’ agar kembali memberikan sokongan penuh kepada kerajaan dengan menabur pelbagai janji manis.

Namun kata Syed Ibrahim, pada hakikatnya tiada sebarang perubahan berlaku sejak dari awal akta ini ditubuhkan sehinggalah usianya sudah mencecah 40 tahun kini.

“Saya yakin ini semua cara untuk menawan orang atas pagar dengan menunjukkan kononnya perubahan telah berlaku, kerajaan ambil kira pandangan rakyat, tapi hakikatnya tidak ada  sebarang perubahan yang berlaku dalam ISA. Ia kekal 100 peratus.

“Sesiapa sahaja boleh ditahan di bawah akta ini pada ketika ini. Sekarang ini  masih ada  lagi sembilan orang yang ditahan dan salah seorangnya sudah lebih tujuh tahun dalam tahanan.

“Tapi itu semua orang tidak nampak sebab kerajaan pandai menyembunyikan perkara sebenar,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu turut menyokong Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia yang menggesa kerajaan melantik sebuah jawatankuasa pilihan parlimen bagi mendapatkan maklum balas awam sebelum pindaan terhadap ISA dibahaskan di Parlimen.

Menurutnya, isu besar yang melibatkan hak asasi rakyat itu harus segera dibawa ke parlimen untuk diselesaikan.

“Saya bersetuju dengan cadangan NUJ itu. Memang perkara ini perlu ditangani di peringkat Parlimen. Apa-apa perubahan ianya perlu dibincangkan di Parlimen kerana undang digubal di peringkat Parlimen. Kalau dari segi jawatankuasa tindakan, teknikal mesti dijawab di Parlimen supaya skop perbincangan boleh diperluas.

“ISA ini kuasa eksekutif. Kami sangsi apabila pihak yang buat kajian ialah badan eksekutif, dan buat keputusan pun badan yang sama,” ujarnya.

Setiausaha Agung NUJ,  V.Anbalagan Sabtu lalu dilaporkan sebagai berkata, perbincangan mengenai pindaan kepada akta itu tidak harus tertumpu kepada satu kumpulan kecil.

Beliau turut mendakwa, sebagai kumpulan berkepentingan, NUJ tidak dipelawa ke sebarang perbincangan oleh KDN ataupun pendapatnya diminta.

Beliau menyebut sebagai contoh penahanan seorang wartawan selama 18 jam tahun lepas berhubung sebuah artikel.

Sementara itu, GMI ujar Syed Ibrahim, tetap dengan pendirian menuntut kerajaan memansuhkan terus akta zalim itu meskipun usaha-usaha yang dilakukan ini tidak diendahkan pihak kerajaan.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, GMI sedang dalam perbincangan untuk mengadakan satu sesi pertemuan dengan semua ahli parlimen sebagai platform untuk menyampaikan maklumat berkenaan ISA serta sebab ia perlu dimansuhkan, bukan dipinda seperti yang dicadangkan.

Bagaimanapun, ianya perlu mendapat persetujuan daripada Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami mungkin akan adakan sesi (perbincangan) dengan semua ahli parlimen tapi saya percaya yang akan datang cuma ahli Parlimen pembangkang sahaja. Kami  kena bincang dengan Ketua Pembangkang (Anwar)khususnya supaya ia dapat diadakan,” katanya.

Beliau turut menyeru Hishamuddin khususnya agar memberikan ruang kepada GMI untuk memberikan penerangan yang sejelas-jelasnya mengenai kepentingan ISA dimansuhkan.

GMI tegasnya sentiasa bersedia untuk berdialog dengan pihak KDN demi memastikan ISA dimansuhkan.

“Hishamuddin tolong bagi ruang kepada GMI.Walaupun sebelum ini beliau tidak layan permintaan kami untuk mengadakan pertemuan, tapi kami sentiasa bersedia. Panggil kami, kami sedia datang. Selain demonstasi, kita masih ada ruang untuk berdiskusi dan berdialaog,” katanya.

Khamis lalu, Hishamuddin berkata, pindaan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 akan dibentang dan dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Hishammuddin berkata, berikutan pertemuan dan perbincangan awam dengan kumpulan-kumpulan sasaran, Jawatankuasa Teknikal Kajian Undang-undang kini berada di peringkat akhir kajian semua pandangan dan cadangan yang dikemukakan semasa sesi berkenaan sebelum pindaan dibentangkan di Parlimen.

.

http://harakahdaily.net

//

Kehilangan enjin hasil manusia tidak takut balasan akhirat – Nik Aziz

KOTA BHARU, 27 Dis: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan akibat didikan politik Umno terhadap rakyat di negara sejak lebih 52 tahun lalu dengan ajaran ‘politik suku, agama suku’ menyebabkan pimpinan parti sekular itu mengenepikan aspek dosa dan pahala, syurga dan neraka dalam pemerintahannya sehingga ada yang sanggup mencuri enjin jet pejuang milik megara.

Beliau berkata, sama ada wujud dakwaan yang menggesa supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tanggungjawab atau tidak terhadap peristiwa kecurian enjin jet pejuang Malaysia itu, sememangnya Najib bertanggungjawab.

“Sama ada kita suruh dia (Najib) bertanggungjawab atau tidak, dia memang bertanggungjawab, dunia dan akhirat. Itu benda (kedudukannya).

“Saya sebagai Menteri Besar yang menjaga negeri (Kelantan) ini pun, saya bertanggungjawab (terhadap pemerintahan negeri ini), sekadar mana yang termampu, kecuali Allah swt tahu (bahawa) saya tidak mampu, itu apa boleh buat.

“Jadi masalah Perdana Menteri kita ni, dia mengertikah atau tidak tanggungjawab dunia dan akhirat itu atau dia tidak faham, itu saya tidak tahu, tetapi dengan sebab parti dia (Umno adalah) parti sekular, yang tidak mempedulikan dosa pahala, syurga dan neraka, maka terjadilah (seperti peristiwa kecurian enjin jet pejuang itu).

“Dan banyak lagi pada masa hadapan benda (kejadian) yang ‘karut maruk’ begini berlaku (insya Allah adalah) hasil daripada didikan kerajaan (diterajui Umno-BN) terhadap rakyat dengan ajaran ‘agama lain, politik lain’.  Itulah penyakit besarnya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini semalam.

Terdahulu dalam perkembangan yang sama, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahmufz Omar mencadangkan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib memanggil sidang Khas Parlimen bagi membincangkan peristiwa kehilangan enjin jet pejuang negara itu.

Mahfuz seterusnya bercadang mengemukakan usul pembentukan jawatankuasa siasatan peringkat Parlimen megnenai perkara itu, manakala Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali pula menggesa Menteri Pertahanan (yang memegang jawatan) semasa berlakunya kecurian enjin jet pejuang negara itu mesti bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

“Bahkan perlu bertanggungjawab juga terhadap penggunaan bahan peledak C4 oleh dua anggota polis ketika meletupkan wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu belum lama dahulu,” kata Dr Lo’ Lo’ sambil mendesak supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kedua-dua peristiwa penting itu oleh kerana ianya melibatkan penyalahgunaan kuasa.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad mempertikaikan sikap Kerajaan dan Kementerian Pertahanan yang mana isu kehilangan enjin jet pejuang itu kini (baru) ditimbulkan sedangkan kejadian itu berlaku sejak 2007 lagi.

Oleh itu, kata Ustaz Idris beliau yakin ianya membabitkan orang yang berkuasa dan perlulah disiasat segera – sambil merujuk kepada indeks rasuah negara yang meningkat dari setahun ke setahun di mana pada 2008 Malaysia berada di tempat 47 manakala indeks 2009 pada angka 56.

Menurut sumber, dua buah enjin pesawat tempur, F-5E, milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang itu berharga RM50 juta setiap satunya di mana enjin pertama hilang pada 2007 dan enjin keduanya hilang dua tahun lalu di mana disedari pihak berkenaan pada Mei 2008.

Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang mempertikaikan kenapa kehilangan dan kecurian harta pertahanan negara itu tidak dibangkitkan dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara bagi tahun 2007 atau 2008 selaras dengan Seksyen 6 Akta Audit 1957 di mana penguditan Ketua Audit Negara termasuklah menentukan sama ada perhatian yang sewajarnya telah diambil untuk memberikan penjelasan mengenai – dan untuk mempastikan – penggunaan, pengawalan, penyenggaraan dan pelupusan yang sepatutnya segala harta awam pihak bawah auditnya.

Menurut Tan, Seksyen 9(5) akta tersebut memperuntukkan bahawa Ketua Audit Negara boleh – dalam apa-apa laporan yang dikemukakan mengikut Perkara 107(1) Perlembagan Persekutuan (lebih dikenali sebagai Laporan Tahunan Ketua Audit Negara) – membuat syor dan boleh secara umum memberikan ulasan tentang semua perkara yang berhubungan dengan akaun, wang dan harta awam.

Mengenai kehilangan enjin jet pejuang itu, beliau berkata Ketua Audit Negara seharusnya membangkitkan penyelewengan itu dalam laporan tahunannya kerana ia membabitkan kepentingan awam.  Ketua Audit Negara perlu memberi penjelasan kenapa penyelewengan tersebut tidak dibangkitkan dalam laporan tahunannya hingga kini?

Selain dari itu, kata Tan, Kerajaan juga harus mengambil tindakan untuk memastikan Ketua Audit Negara akan membangkitkan dalam laporan tahunannya semua penyelewengan yang membabitkan harta kerajaan pada masa hadapan.

Dato’ Nik Aziz turut mengulas kemenangan tipis (66-63) pihak Kerajaan ketika membentangkan Bajet 2010 di Parlimen serta dakwaan wujudnya krisis kepercayaan terhadap kepimpinan Najib.

“Boleh jadi memang begitu, dan boleh jadi orang Umno ni apabila mereka masuk calon, mereka tidak berasa mereka menjadi ahli politik.  Mereka berasa (sebagai) ahli korporat.

“Oleh demikian, apabila bertembung masalah korporat dengan politik, mereka mengambil korporat sama ada (sibuk) mengurus perniagaan dan boleh jadi pergi ke luar negeri menguruskan syarikat,” katanya yang juga Menteri Besar Kelantan dan serentak itu Nik Aziz menyatakan bahawa selaku pimpinan dalam PAS bahawa apabila berada dalam politik merasakan sebagai satu ibadat.

“Sebagaimana sembahyang dan berzikir adalah ibadat, maka berpolitik untuk membetulkan arah pemikiran manusia kepada Allah swt itu pun adalah ibadat.  Namun cara kini ialah kita guna parti (bertadning dalam pilihan raya).

“Ini kerana dunia kini menggunakan parti, namun dua puluh tahun akan datang, entah macam mana orang guna (berpolitik), wallahu ‘alam,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa kemenangan tipis pihak Kerajaan ketika membentangkan Bajet 2010 itu menggambarkan kelemahan pimpinan paling ketara dalam sejarah Perdana Menteri Malaysia, beliau melihat dalam sudut lain.

“Saya tidak hendak pergi ke situ (persoalan itu), tetapi perasaan wakil rakyat Umno-BN ni mereka tidak berasa serupa kita (pemimpin PAS) di mana kita memahami bahawa sembahyang yang ditunaikan dengan tidak sempurna itu adalah berdosa, maka begitu juga dengan berpolitik.

“Sekiranya tidak sempurna politik Islam, maka berdosa termasuk menghadiri sidang Dewan Negeri atau Parlimen.  Semasa berkempen, kita berkempen, demikian juga ketika mengundi, kita mengundi.

“Namun Umno dengan sebab mereka tolak Islam, dan mengambil ‘kebangsaan’ (sebagai dasar parti mereka), mana ada dosa pahala, menyebabkan manusia kini mencuri, (bahkan) mencuri enjin jet pejuang.  Perbuatan (tergamak) mencuri enjin itu adalah kerana mereka dididik dengan kemewahan dan hidup berseronok.

“Oleh itu untuk mencapai tahap kemewahan dan keseronokan itu, perlukan wang walau pun (terpaksa) mencuri dan menjual harta kerajaan, sanggup dilakukan asalkan dapat wang,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Mas Rohani Ibrahim berkata apa pun yang berlaku dan siapa pun pempimpin terbabit, namun beliau bertanggungjawab terhadap peristiwa kehilangan dua enjin jet pejuang negara berhaga RM50 juta setiap satu itu.

“Bagi saya, walau apa pun dan siapa pun dia bahawa waktu berlaku kejadian (kehilangan enjin jet pejuang) itu, maka orang itulah yang sepatutnya dipertanggungjawabkan, bahkan beliau pada waktu itu adalah Menteri Perhanan.

“Saya bersetuju sangat dengan gesaan Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo’ Lo’ yang menggesa supaya Menteri Pertahanan (yang memegang jawatan semasa kecurian enjin jet pejuang negara itu berlaku), beliau mesti bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku selain dari perlu bertanggungjawab terhadap penggunaan bahan peledak C4 oleh dua anggota polis ketika meletupkan wanita Monggolia Altantuya Shariibuu belum lama dahulu.

“Dan bersetuju supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kedua-dua peristiwa penting itu yang membabitkan penyalahguanaan kuasa.

“Isu ini baru dihebohkan, namun ketika peristiwa itu berlaku bahawa orang berkenaan memegang jawatan Menteri Pertahanan dan sekarang orang itu masih ada dengan kapasiti pangkat yang lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Local Aenda 21 Majlis Muafakat Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) bersama masyarakat di Tanjong Mas dekat sini pagi ini.

“Perlu sangat disiasat peristiwa itu sampai ke akar umbi dan harus bersifat telus,” kata Rohani (Kak Ani) yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri.

.

http://harakahdaily.net

5 tahun tsunami, kerajaan disaran sedia hub R&D canggih

KUALA LUMPUR, 27 Dis: Selepas lima tahun dunia menyaksikan malapetaka tsunami, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mencadangkan kerajaan Malaysia membuat persiapan efektif demi mendepani sebarang kemungkinan kelak.

Persiapan tersebut termasuk mennyediakan hub penyelidikan di tanah air pada Pentadbir Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) dan Pertubuhan Kaji Cuaca Sedunia (WMO) yang berpengkalan di Amerika Syarikat

“Saya mencadangkan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri) mencari jalan untuk menjalinkan hubungan dengan NOAA dan WMO…supaya kedua-dua pertubuhan tersebut boleh membuka hab penyelidikan di Malaysia,” jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily petang semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kedua-dua pertubuhan tersebut mempunyai kelengkapan prasarana terkini dalam Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) dalam menghidu serta membuat persiapan kecemasan, menghadapi sebarang malapetaka.

Ujarnya, persiapa tersebut juga diperlukan, memandangkan dunia baru-baru ini gagal memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dalam Persidangan Alam Sekitar di Copenhegan.

Kegagalan MoU tersebut seharusnya mendorong Malaysia mencari alternatifnya tersendiri demi keselamatan bumi dan rakyat dari menjadi mangsa malapetaka alam.

Tambahnya lagi, penyediaann hub R&D tersebut sekali gus mendorong kerajaan membangunkan satu lagi disiplin ilmu dalam bidang-bidang ‘Sains Mampan’.

Beliau yang sebelum ini dilihat banyak membangkitkan isu kemampanan alam sekitar di Parlimen, turut mengajak dunia menginsafi malapetaka Thunami yang meragut lebih 250 ribu nyawa di Kepulauan Acheh dan Kepulauan Hindi pada lima tahun lalu.

Malapetaka tersebut seharusnya menyedarkan dunia bahawa sejauhmana hebatnya pencapaian teknologi tamadun manusia, namun ianya tidak mampu menandingi kuasa Allah s.w.t.

.

http://harakahdaily.net

Enjin F-5E-lagi desakan menteri kabinet letak jawatan

KOTA BARU, 27 Dis: Berikutan tragedi kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kelab Penyokong PAS Kelantan (BBC) mendesak seluruh menteri kabinet pula meletak jawatan.

Timbalan presidennya, Drs Zainuddin Awang Hamat berkata tragedi tersebut menggambarkan betapa rapuhnya sistem keselamatan negara di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, kelalaian mengurus tadbir perkara tersebut seolah-olah cuba menghancurkan pertahanan negara sendiri.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia tragedi amat memalukan ini. Bukan sahaja negara, malah ia menjadi bahan tertawa dunia.

“Desakan ini bukan satu cadangan sinis tetapi tindakan serius berasaskan rasionaliti, realiti yang berlaku memang wajar kerajaan pemerintah sekarang melepaskan jawatannya” katanya yang masih berada di Madinah ketika menghubungi wakil Harakah semalam.

Sebelum ini beberapa desakan sudah disuarakan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib meletak jawatan ekoran insiden yang memalukan itu berlaku sewaktu beliau menjadi Menteri Pertahanan.

Baru-baru ini tragedi kehilangan dua enjin jet tersebut mendapat liputan meluas media tempatan dan menjadi perhatian masyarakat dunia.

Susulan itu beberapa akhbar turut melaporkan kes penyelewengan peralatan ketenteraan berikutan penemuan maklumat baru kehilangan pelbagai kelengkapan lain selain daripada enjin tesebut.

Justeru, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan lebih banyak kes penyelewengan akan dibongkar selepas ini.

Sehubungan itu Drs Zainuddin berkata kerajaan pimpinan Najib sudah tidak layak menerajui negara dan kerajaan BN wajar diganti.

“Saya dan beberapa rakan yang masih berada di sini kadang-kadang berasa malu bila berjumpa dengan rakan-rakan di Arab menyifatkan negara Malaysia seperti sebuah ‘negara kartun’.

“Mereka hairan macamana enjin jet pejuang yang menjadi alat pertahanan negara boleh hilang” katanya.

.

http://harakahdaily.net

Menyambut Cabaran Dr Mahathir

KUALA TERENGGANU – Walaupun Parti Keadilan Rakyat tidak percaya mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serius, namun PKR mengalu-alukan cabaran beliau supaya sebuah Suruhanjaya Bebas dibentuk bagi menyiasat pendedahan Barry Wain.

Timbalan Presidennya, Dr Syed Husin Ali berkata, dalam buku tebarunya, Wain mendedahkan kerajaan di bawah pimpinan Mahathir telah melesapkan lebih RM100 bilion dengan amalan rasuah dan pembaziran.

Dr. Syed dalam kenyataannya menganggap cabaran Mahathir seebenarnya ditujukan kepada pemerintahan Umno/BN yang dipimpin oleh Dato’ Seri Najib Razak.

“Najib tidak perlu bertangguh-tangguh atau berdolak-dalik dan harus membentuk segera Suruhanjaya tersebut. Suruhanjaya itu hendaklah diberi bidang kuasa luas bagi menyiasat pendedahan Barry Wain dan juga mengkaji segela bentuk rasuah dan pembaziran yang dikaitkan dengan mantan PM Mahathir itu,”katanya dalam kenyataan yang diedarkan kepada media semalam.

Bahkan, kata beliau, jika perlu dan sesuai, Suruhanjaya yang ditubuhkan itu boleh juga mengkaji segala yang belaku di bawah mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagaimana didakwa dan didesak oleh Mahathir.

Oleh yang demikian, sejajar dengan “cabaran” Mahathir, Dr. Syed menyarankan agar Suruhanjaya tersebut hendaklah dianggotai bukan saja oleh hakim serta bekas hakim, tetapi juga tokoh-tokoh politik kerajaan serta bukan kerajaan dan tokoh-tokoh professional (misalnya dari golongan academia serta Majlis Peguam).

“Seharusnyalah ada jaminan supaya segala perakuan Suruhanjaya diambil tindakan oleh Kerajaan serta pihak berkuasa lain. Janganlah hendaknya ia ditimpa nasib seperti suruhajaya mengenai polis dan “Pita Lingam”,”tambahnya

.

http://buletinonline.net

Wakil Rakyat BN Mengkritik Kerajaan Bukti Kemelut Umno Belum Berakhir

KUALA TERENGGANU –Tindakan beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mengkritik kerajaan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini menunjukkan mereka masih tidak yakin terhadap kepimpinan Menteri Besar Dato’ Ahmad Said.

Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah Mohd Nor menyifatkan kemelut politik Umno Terengganu masih belum selesai dan percaya ia tidak akan berakhir dengan mudah. (Gambar – Ustaz Mohd Nor – paling kanan, dalam sidang DUN baru-baru ini)

Menurutnya, walaupun pelbagai cara telah dilakukan untuk mewujudkan keyakinan dikalangan ADUN terbabit, namun nampaknya perpecahan dikalangan Umno semakin ketara.

Katanya, kerana berasa kurang yakin itu jugalah menyebabkan Ahmad terpaksa mencari jalan termasuk melafazkan sumpah untuk cuba menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan sumbangannya kepada rakyat.

“Akibat rasa tidak jujur, rasa tidak ikhlas dan tidak yakin dalam kalangan wakil rakyat BN menyebabkan sindrom berkenaan akan terus wujud dalam diri mereka.

“Ketidakyakinan ini bukan hanya tanggapan terhadap pihak pembangkang sahaja, malah kepada pihak kerajaan sendiri apabila Yang Berhormat Batu Rakit (Khazan Che Mat) turut membangkitkan hal keikhlasan dan kejujuran,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung sumpah yang dilafazkan Ahmad pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) penggal ke-12, kelmarin.

Sumpah tersebut me-ngandungi lafaz ‘wallahi, wabillahi, watallahi’ bertujuan meyakinkan bahawa tidak wujud penyelewengan dalam pentadbiran beliau sebagai pemimpin utama negeri ini.

Mohd Nor bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung apa yang dilafaz Ahmad, namun yakin apa yang berlaku ketika ini tidak akan sama sekali menyembuhkan luka lama dalam kalangan wakil rakyat BN.

“Yang luka, jika tidak berulang kembali, ia pasti berparut dan keadaan ini sukar untuk disembuhkan,” katanya.

.

http://buletinonline.net

Royalti Minyak – GEGAR desak Kerajaan Malaysia

Jerteh, BESUT – Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) mendesak Kerajaan Malaysia segera menunaikan janji dan tanggungjawabnya untuk membayar wang tunai kepada kerajaan di negeri-negeri

dari mana minyak telah dikeluarkan untuk kebaikan dan manfaat rakyatnya.

Pengerusi Bersama GEGAR, Dr Abdul Halim Bin Yusof (Gambar kiri – tiga dari kanan) dan Encik Moigahamad Fauzi bin Abu Samah (dua dari kiri) membentangkan lima hujah mengapa kerajaan Malaysia mesti mengembalikan wang royalti kepada negeri sebagaimana komitmen Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak, bapa Perdana Menteri Dato’ Seri Najib di Parlimen pada 12 Disember 1975.

“Selain itu, perjanjian telah dibuat pada 1975 antara Menteri-menteri Besar Semenanjung dengan Pengerusi PETRONAS untuk memberi 5% royalti kepada negeri.

”Dan berdasarkan niat dan amalan, Petronas telahpun membayar kepada kerajaan negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak,”kata Mohamad Fauzi dalam sidang media yang diadakan disini semalam.

Menurutnya, pengeluaran minyak adalah dalam perairan Kelantan berdasarkan pada takrifan kawasan perairan negeri seperti mana perjanjian UNCLOS 3 (United Nations Convention on the Law of the Sea) 1982 yang ditandatangani oleh Malaysia, yang menetapkan negeri mempunyai hak zon eksklusif ekonomi menjangkau jarak 200 batu nautikal.

Katanya, pernyataan yang menyatakan jarak tiga batu nautikal adalah mengelirukan kerana Akta Dharurat yang digubal pada tahun 1969 adalah khusus dan ketika itu Akta Kemajuan Petroleum masih tidak wujud.

GEGAR adalah badan NGO yang dilancarkan pada awal bulan ini untuk mencetuskan kesedaran rakyat dan menuntut kerajaan mengembalikan royalti minyak kepada rakyat yang berhak.

Kenyataan penuh GEGAR boleh di rujuk pada laman blog rasminya,

royaltirakyat.blogspot.com

Berbeza Pendapat Dalam Pakatan Rakyat Mematangkan – Presiden PAS, Ustaz Abdul Hadi

KUALA TERENGGANU – PAS menyifatkan perbezaan pendapat yang berlaku dalam parti merupakan perkara biasa dalam sistem yang mengamalkan demokrasi di negara ini.

Bahkan, perbezaan perdapat yang berlaku dalam PAS dan Pakatan Rakyat boleh mematangkan kerjasama serta tidak membawa kepada perpecahan.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Gambar – paling kanan dalam Sidang DUN Terengganu) berkata demikian ketika diminta mengulas isu perbezaan pendapat di kalangan pemimpin-pemimpin PAS ataupun parti-parti dalam Pakatan Rakyat.
Namun begitu, beliau enggan mengulas tentang perbezaan pendapat di kalangan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang disifatkan parti itu sedang mengalami perpecahan.

“Kita (rakyat) perlu satu anjakan paradigma supaya mematangkan demokrasi kerana pandangan berbeza bukan mesti satu bangkangan tetapi satu nasihat.

“Sekiranya hujah tidak kuat kerajaan boleh tolak dan itu perkara biasa dalam proses demokrasi.

“Saya tidak mahu sebut hal parti (Umno) lain. Apa yang boleh saya sentuh ialah sekarang zaman teknologi maklumat dan zaman orang terpelajar,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan sepatutnya perbezaan pendapat tersebut tidak menyebabkan berlaku perpecahan.

Katanya, dalam Islam dibolehkan berbeza pendapat kerana termasuk dalam lingkaran akhlak dan moral.

“Sebab itu berlaku pandangan yang berbeza. Tetapi, sepatutnya pandangan yang berbeza itu tidak menyebabkan perpecahan.

“Kita (Islam) boleh berbeza pendapat tetapi tidak boleh berpecah. Itu satu akhlak dan moral dalam berbeza pendapat kecuali dalam perkara prinsip yang tidak boleh dielakkan,” jelasnya ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-12 (Bajet 2010) di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

http://buletinonline.net

Hilang enjin, tubuh segera Suruhanjaya Diraja – Anwar

KUALA LUMPUR, 26 Dis: Kerajaan digesa untuk menubuhkan dengan segera Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kehilangan dua buah enjin kapal terbang tempur F-5E milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

Hal ini ditegaskan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulas mengenai isu tersebut di majlis jamuan Hi-Tea sempena Krismas anjuran The Mar Thoma Syrian Church of Malaysia di Kuala Lumpur semalam.

Menurut Anwar skandal kehilangan enjin pesawat merupakan suatu perkara yang sangat serius dan tidak sepatutnya dipandang ringan.

Sehubungan itu beliau dan parti-parti pembangkang menuntut penubuhan satu Suruhanjaya diRaja untuk menanganinya.

“Kita menuntut satu suruhanjaya diraja ditubuhkan segera untuk menyiasat skandal ini,” tegasnya ketika ditanya wartawan.

Sebelum ini,Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan menyifatkan kehilangan enjin F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai tanda aras keruntuhan moral pimpinan negara ini.

Beliau melahirkan kekesalannya kerana perkara yang tidak pernah dibayangkan boleh berlaku sebelum ini seperti kehilangan enjin pesawat yang saiznya besar tetapi mudah pula untuk diseludup ke luar negara.

“Kalau sampai dua enjin pesawat pejuang boleh hilang yang ahli silap mata terkenal dunia seperti David Copperfield tidak boleh hilangkannya tetapi yang menjaga keselamatan negara boleh hilangkan, ini satu gambaran runtuhnya iklim moral yang besar.

“Kita bimbang jika tidak diberi kesedaran tentang perlunya menjaga iklim moral dan integriti di kalangan generasi muda, negara ini akan rosak dan runtuh,” tegas Dr Anwar lagi dalam majlis meraikan beliau sebagai Sasterawan Negara ke-10 oleh Lembaga Muzium Selangor dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Dato’ Mhafuz Omar pula persoalkan kredibiliti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di atas kegagalan agensi itu menyelesaikan siasatan berhubung kes kehilangan enjin jet pemintas F-5E seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Mahfuz yang ditemui selepas Majlis Sumbangan Peralatan Sekolah di Pejabat PAS Pokok Sena baru-baru ini berkata, beliau difahamkan laporan polis berhubung kejadian itu dibuat pada 4 Ogos 2008 yang lalu dan nota pemakluman kepada Jabatan Peguam Negara (AG) hanya dihantar pada Mei 2009.

“Persoalannya, kenapa PDRM perlu ambil masa yang terlalu lama untuk menyiasat insiden yang sebegini serius dan penting?

“Sembilan bulan bukannya tempoh yang singkat, itu pun masih tidak boleh selesai, perlu kepada lanjutan tempoh siasatan, ini yang meragukan dan rakyat persoalkan,” katanya.

Menurut Mahfuz, kerajaan perlu menyatakan bentuk tindakan yang telah diambil terhadap syarikat yang memonopoli kerja-kerja penyelenggaraan enjin pesawat pejuang milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) iaitu AIROD SDN BHD.

“Kejadian enjin jet F-5E hilang itu dikatakan berlaku ketika dalam perjalanan dari pengkalan TUDM di Butterworth ke AIROD untuk diselenggarakan, sudah tentu ada kaitannya dengan syarikat itu,” katanya.

Beliau turut mengulangi desakannya supaya ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Siasatan peringkat Parlimen yang diyakini lebih bersifat terbuka, berintegeriti dan telus dalam usaha menjejaki mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian ini.

Mahfuz berkata, perletakan jawatan seorang pegawai berpangkat Briged Jeneral dan tindakan memberhentikan perkhidmatan 20 anggota lain yang dikatakan tiada kaitan dengan kes ini turut mengundang keraguan masyarakat yang melihat seolah-olah kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu berkaitan dengan kes ini.

Ini sekaligus menolak kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang berjanji tidak akan menyembunyikan siasatan kes dari pengetahuan umum.

Mahfuz menuntut Kementerian Pertahanan mengemukakan alasan ke atas tindakan memberhentikan kerja 20 anggota tersebut dan menyatakan alasan perletakan jawatan pegawai tinggi itu kepada masyarakat umum untuk mengembalikan keyakinan mereka.

“Kalau betul mereka terlibat, kerajaan perlu mengheret mereka ke mahkamah terbuka dan bukannya dakwa mereka di mahkamah tentera yang sudah tentu perbicaraannya tidak akan didedahkan kepada pengetahuan umum,”tegasnya.

http://harakahdaily.net

Royalti: 5 asas kukuh kenapa Pusat wajib bayar

BESUT, 26 Dis: Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) mendesak Kerajaan Pusat supaya segera menunaikan janji dan tanggungjawab untuk membayar royalti petroleum kepada kerajaan di negeri-negeri dari mana minyak telah dikeluarkan untuk kebaikan dan manfaat rakyat.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Bersama Gegar, Dr Abdul Halim Yusof dan Mohamad Fauzi Abu Samah pada sidang media yang diadakan di sini, petang semalam.

Gegar adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang dilancarkan pada awal bulan ini untuk mencetuskan kesedaran rakyat dan menuntut kerajaan mengembalikan royalti minyak kepada rakyat yang berhak.

Menurut mereka, hujah utama mengapa kerajaan mesti mengembalikan wang royalti kepada negeri ialah komitmen kerajaan sendiri seperti mana yang telah disebut oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada 12 Disember 1975 di Parlimen bahawa kerajaan telah bersetuju untuk membayar wang tunai tersebut kepada negeri.

Selain itu, ujar mereka, perjanjian telah dibuat pada 1975 antara Menteri-menteri Besar Semenanjung dengan Pengerusi Petronas untuk memberi lima peratus royalti kepada negeri.

“Dan berdasarkan niat dan amalan, Petronas telahpun membayar kepada kerajaan negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak,” kata mereka.

Tambah mereka, pengeluaran minyak adalah dalam perairan Kelantan berdasarkan pada takrifan kawasan perairan negeri seperti mana perjanjian UNCLOS 3 (United Nations Convention on the Law of the Sea) 1982 yang ditandatangani oleh Malaysia, yang menetapkan negeri mempunyai hak Zon Ekonomi Eksklusif menjangkau jarak 200 batu nautika.

Justeru, kata mereka pernyataan yang menyatakan jarak tiga batu nautika adalah mengelirukan kerana Akta Darurat yang digubal pada tahun 1969 adalah khusus dan ketika itu Akta Kemajuan Petroleum masih tidak wujud.

Mereka turut menghuraikan lima sebab mengapa kerajaan Pusat mesti mengembalikan royalti petroleum kepada rakyat melalui kedua-dua kerajaan negeri itu.

Pertama, perjanjian yang telah ditandatangani antara Menteri-menteri Besar bagi negeri-negeri di Semenanjung pada tahun 1975 dengan Pengerusi Petronas ketika itu, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah adalah sah dan Petronas adalah terikat kepada perjanjian ini.

Bagi Negeri Terengganu, pemberian royalti yang telah diberikan bermula 1978 sehinggalah ianya diubah kepada “wang ehsan” pada tahun tahun 2000. Persoalannya, kenapa dulu dikenali sebagai royalti dan kenapa sekarang ianya dikenali sebagai wang ehsan sedangkan berdasarkan kepada perjanjian, dengan terang ianya ditakrifkan sebagai royalti dan bukan ehsan.

Bagi negeri Kelantan, perjanjian telah ditandatangani antara Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi Petronas. Perjanjian ini telah mengikat kerajaan Persekutuan untuk memberi royalti kepada kerajaan Kelantan sebanyak lima peratus setahun dan dibayar tunai dua kali setahun. Perjanjian ini tidak pernah dibatalkan.

Kedua, Akta Kemajuan Petroleum 1974 seksyen 4 telah menetapkan supaya Perbadanan (Petronas) hendaklah membuat apa-apa pembayaran wang tunai kepada kerajaan negeri sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak bagi negeri tersebut. Berasaskan peruntukan ini, penganugerahan wang tunai kepada negeri-negeri yang perairannya mempunyai minyak telah dibuat sejak dahulu.

Ketiga, kenyataan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa negeri Kelantan dan Terengganu tidak layak untuk mendapat royalti petroleum kerana petroleum yang dikeluarkan adalah dari luar kawasan perairan negeri-negeri ini (luar states territorial waters’ – ukuran melebihi tiga batu nautika seperti dalam Akta Pelantar Benua 1966) adalah tidak relevan dalam konteks pengeluaran minyak dan pembayaran royalti ini.

Sebagai contoh, perjanjian yang telah ditandatangi oleh Menteri Besar Kelantan pada tahun 1975 dengan Pengerusi Petronas tidak menetapkan perkara ini sebagai syarat.

Malah, berdasarkan hansard soal jawab Parlimen bertarikh 12 November 1975, Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Razak ketika menjawab soalan di Parlimen menjelaskan bahawa mengikut perjanjian, tiap-tiap negeri akan menerima lima peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di negeri masing-masing sama ada yang diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut.

Dari segi sejarah, pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Terengganu telah dibuat walaupun pelantar cari gali minyaknya berada di luar dari tiga batu nautika.

Pelantar minyak negeri Terengganu terletak 220 kilometer di perairan Laut China Selatan sedangkan pelantar minyak di Kelantan terletak 170 kilometer di Zon Ekonomi Eksklusif yang diusahakan antara Petronas dengan Kerajaan Thailand di Laut China Selatan/Teluk Siam.

Keempat, pembayaran yang sepatunya adalah royalti dan bukan wang ehsan. Perjanjian pada 1975 itu menyebut pembayaran wang tunai dan bukan wang ehsan. Wang ehsan dan royalti adalah berbeza kerana wang ehsan memberi makna pemberian simpati sedang wang royalti adalah wang yang mesti dibayar hasil daripada perjanjian dan perundingan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Wang royalti hendaklah dibayar kepada kerajaan yang mentadbir secara sah di sesebuah negeri berkenaan. Sebaliknya, pembayaran wang ehsan kepada jabatan persekutuan yang beroperasi di negeri akan membuka peluang kepada pembaziran, pertindihan dan penggunaan wang secara tidak optimum kerana perancangan dan pembangunan untuk rakyat di negeri adalah dipimpin oleh kerajaan negeri.

Kelima, Kerajaan Persekutuan mestilah secara adil menegakkan konsep federalisme (persekutuan) kepada semua negeri di Malaysia.

Konsep federalisme menekankan kepentingan hubungan yang harmoni dan berkesan antara kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri setelah bidang kuasa kerajaan Pusat dan kerajaan negeri ditetapkan dalam perlembagaan negara.

Dalam amalan federalisme, negeri yang berada dalam Persekutuan diberikan kuasa autonomi untuk membolehkan mereka mentadbir urus di bawah bidang kuasa mereka dengan berkesan.

Melalui perhubungan yang jelas, baik dan terjamin inilah pembangunan untuk kepentingan rakyat dapat diusahakan dengan berkesan.

Dalam konteks ini, pemberian wang royalti oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri adalah bukti penegakan konsep federalisme kerana kerajaan negeri berhak untuk merancang dan menentukan penggunaan wang royalti untuk kepentingan rakyat negeri berdasarkan bidang kuasa negeri.

Dengan itu, kata mereka, hujah pihak yang menolak pembayaran royalti iaitu minyak yang dikeluarkan adalah dari luar kawasan perairan negeri; negeri hanya layak menuntut jika minyak ditemui dalam jarak tiga batu nautika serta negeri (seperti Kelantan) tidak layak menuntut royalti minyak daripada Zon Ekonomi Eksklusif kerana ia bukan negeri adalah tidak dapat dipertahankan.

“Kesemua fakta dan hujah di atas menunjukkan kerajaan Persekutuan tidak ada pilihan melainkan membayar royalti kepada kerajaan negeri yang berkenaan yang seharusnya menggunakannya dengan sebaik-baik untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat jelata,” ujar mereka.

http://www.harakahdaily.net

Umno anjur perhimpunan ‘desak PAS Selangor keluar Pakatan’

SHAH ALAM, 26 Dis: Umno dipercayai sedang menggerakkan satu perhimpunan kononnya untuk mendesak agar PAS Selangor keluar dari Pakatan Rakyat.

Menurut satu sms yang dihantar kepada Harakahdaily, perhimpunan itu akan diadakan esok 27 Disember jam 11 pagi  di perkarangan pejabat perhubungan PAS Selangor dekat sini.

Dalam perhimpunan itu, sms itu memaklumkan, satu memorandum akan diserahkan dan menurutnya memo itu akan diterima sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

“Datanglah beramai-ramai demi kepentingan Melayu…,” tulis sms itu.

Ketika disemak dari penghantar sms itu, didapati sumbernya adalah penggerak Umno di negeri ini.

“Dia nak ambil kesempatan dari isu yang berlaku di Selangor sekarang untuk memecahkan PAS,” kata sumber yang menghantar mesej ini kepada Harakahdaily.

Sementara itu, blogger Raja Petra Kamarudin dalam tulisannya memberitahu, para pemimpin Umno telah memberitahu orang-orangnya dalam agensi kerajaan negeri ini bahawa Barisan Nasional akan mengambil alih Selangor Januari ini.

Ekoran itu, katanya, banyak agensi kerajaan negeri yang masih dipimpin oleh penyokong Umno ‘tidak berfungsi sebagaimana yang sepatutnya’.

Ini kerana, mereka menunggu apakah kerajaan negeri Pakatan di Selangor ini akan jatuh atau tidak ke tangan BN Januari ini sebagaimana yang dijanjikan pemimpin Umno itu.

Adalah dipercayai, jika benarlah tulisan Raja Petra ini bermakna antara strategi Umno adalah dengan memecahkan PAS di Selangor dan seterusnya memecahkan Pakatan Rakyat.

http://harakahdaily.net

Pengerusi BN: Umno cuba beli hati pengundi Melayu

PULAU PINANG, 25 Dis: Perebutan kerusi Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang antara Gerakan dan Umno hanyalah bertujuan untuk meraih semula simpati daripada masyarakat Melayu yang kebanyakannya sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada mereka.

Menurut Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man, apa yang dilakukan oleh Umno pada tahun ini adalah episod drama ulangan sepertimana yang telah mereka lakukan pada tahun 1986 yang lalu.

“Pada pilihan raya umum tersebut Umno telah berjanji untuk mendapatkan kerusi Ketua Menteri sekiranya memenangi kerusi dalam pilihan raya tersebut.Tetapi mereka tidak juga berjaya menjadikannya sebagai satu kenyataan.

“Kini propaganda yang mereka lakukan pada tahun-tahun terdahulu dilakukan sekali lagi semata-mata untuk meraih sokongan yang sudah pudar dikalangan masyarakat Melayu khususnya.

“Namun begitu apa yang berlaku dalam BN Pulau Pinang tidak akan membawa apa-apa perubahan senario politik di negeri ini.Rakyat sebenarnya sudah faham dan menyedari taktik yang digunakan oleh Umno dan Gerakan dalam meraih sokongan setelah kepercayaan rakyat kepada mereka semakin terhakis,” katanya.

Menurut Mohd Salleh lagi tindakan Umno menggesa Gerakan supaya memberikan kerusi Pengerusi BN kepada mereka sudah tidak relevan lagi kerana rakyat tidak mudah untuk menerima mereka lagi setelah melihat kepada bentuk kepimpinan yang lemah dan tidak telus oleh kepimpinan BN sebelum ini.

.

http://harakahdaily.net

Enjin hilang, negara boleh hancur – Anwar Ridhwan

SHAH ALAM, 25 Dis: Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan menyifatkan kehilangan enjin F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai tanda aras keruntuhan moral pimpinan negara ini.

Beliau melahirkan kekesalannya kerana perkara yang tidak pernah dibayangkan boleh berlaku sebelum ini seperti kehilangan enjin pesawat yang saiznya besar tetapi mudah pula untuk diseludup ke luar negara.

Kalau sampai dua enjin pesawat pejuang boleh hilang yang ahli silap mata terkenal dunia seperti David Copperfield tidak boleh hilangkannya tetapi yang menjaga keselamatan negara boleh hilangkan, ini satu gambaran runtuhnya iklim moral yang besar. “Kita bimbang jika tidak diberi kesedaran tentang perlunya menjaga iklim moral dan integriti di kalangan generasi muda, negara ini akan rosak dan runtuh,” tegas Dr Anwar lagi. Sebelum itu, Dr Anwar mengucapkan terima kasih atas kesudian Lembaga Muzium Selangor dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor menganjurkan majlis meraikan beliau sebagai Sasterawan Negara ke-10, semalam.

Majlis tersebut telah diadakan di Dewan Raja Lumu, di Muzium Selangor dengan kehadiran Sasterawan Negara, Datuk (Dr) A Samad Said yang turut menyampaikan ucapan, Bendahari Gapena, Haji Hamzah Hamdani yang yang menyampaikan ucaptama dipengerusikan oleh Dr Ibrahim Ghafar.

Turut menyerikan lagi majlis berkenaan adalah Penggiat sastera dan budaya Melayu, Prof Dr Siti Zainon Ismail, Abdul Ghafar Ibrahim, Dr Ami Masra, Ahmad Sarju dan ramai lagi termasuk penuntut-penuntut Universiti seperti MSU.

“Saya sebagai anak Selangor merasa bangga dan terharu kerana setelah nama-nama besar sastera dari lain menerima anugerah ini, saya memang tertunggu-tunggu, bilakah agaknya penulis dari Negeri Selangor akan menerima anugerah Sasterawan Negara ini.

“Syukur dengan keizinan Allah SWT saya telah terpilih untuk menjadi Sasterawan Negara pertama yang datang dari Selangor,” jelas Dr Anwar dengan perasaan terharu.

Majlis Bicara Tokoh Sasterawan Negara dan di sebelah petang diadakan Seminar Penulisan Kreatif dan Variasinya ini dirasmikan oleh Exco Selangor, Puan Rodziah Ismail dan penutup oleh Datuk Dr Hassan Mohd Ali.

Kedua acara ini adalah program pertama anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor di bawah naungan Sultan Selangor yang perasmian kewujudannya akan dilakukan pada Mac 2010 nanti.

Dalam pada itu, seorang lagi Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said pula mencadangkan agar Kerajaan Negeri Selangor dapat menghadiahkan sebuah rumah sebagai ganjaran kepada Datuk Dr Anwar sebagai sasterawan pertama dari negeri ini.

Untuk rekod, Datuk Dr. Anuar Haji Rethwan dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 5 Ogos 1949. Lulusan Sarjana Muda Sastera pada 1973 dari Universiti Malaya, beliau kemudiannya memperolehi ijazah Sarjana Sastera (1983) dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D)(1998) kesemuanya dari Universiti Malaya.

Beliau menumpukan kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehinggalah bersara pada tahun 2005 dengan jawatan terakhirnya Pengarah Penerbitan DBP. Kini sebagai Dekan di Aswara, Kuala Lumpur.

Dalam dunia penulisan beliau terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Novelnya yang pertama ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah, 1979. Sebuah lagi novelnya Arus (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985.

Antara cerpen karyanya ialah Perjalanan Terakhir (1971), Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976)dan Dari Kiev ke Moskova (1992). Karya beliau yang diilham dan disiapkan di Jepun pada tahun 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001.

Novel itu dengan judul “Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto” diterbitkan dalam bahasa Rusia (penterjemah Victor Pogadaev) pada tahun 2006 di Sanct-Petersburg (penerbit Paideia).

Antara pencapaian beliau di bidang sastera adalah Hadiah Karya Sastera Malaysia – Cerpen Perjalanan Terakhir (1971), Hadiah Karya Sastera Malaysia – Cerpen Dunia Adalah Sebuah Apartmen (1973), Hadiah Karya Sastera Malaysia – Cerpen Sesudah Perang (1976), Hadiah Karya Sastera Malaysia – Cerpen Sasaran.

Hadiah Karya Sastera Malaysia – Cerpen Sahabat (1982), Hadiah Karya Sastera Malaysia – Cerpen Menjadi Tua (1983), Hadiah Pertama peraduan mengarang novel anjuran Yayasan Sabah dan GAPENA 1 Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979), Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985 dengan novel Arus dan Anugerah Sasterawan Negara ke-10 pada 20 Ogos 2009 oleh Tengku Mizan

.

http://harakahdaily.net

Keberanian Ahmad Said akan selamatkan negara

Saya terpegun dengan keberanian MB Terengganu. Saman Kerajaan Terengganu yang difailkan ke atas Petronas untut menuntut bayaran royalti tak akan ditarik balik. Saman itu difailkan oleh Kerajaan PAS dulu.

Bayaran royalti hendaklah dibuat kepada Kerajaan Negeri secara langsung. Bahkan sebahagian wang royalti yang telah digunakan oleh Kerajaan Pusat sejak tahun 2000 dituntut semula. Ia berjumlah RM 2.79 billion mengikut kiraan Kerajaan Terengganu dan Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kewangan telah akur pada tuntutan Kerajaan Negeri.

Jumlah sahaja yang berbeza. Dari segi konsep, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan sendiri telah bersetuju wang itu mesti dipulangkan semula. Jumlah yang dipersetujui dipulangkan ialah RM 1.686. Bakinya minta ‘dihalalkan’.

Ahmad Said berkeras jumlah penuh RM 2.79 billion mesti dipulangkan.

Tidak mudah bagi seorang MB yang sama parti dengan PM dan Kerajaan Pusat mempunyai pendirian yang demikian jelas berbeza. Ahmad Said berani tidak bersetuju dengan Kerajaan Pusat.

Ahmad Said berani mengekalkan pendirian Kerajaan Terengganu bahawa royalti adalah royalti dan ia tidak boleh ‘dicuri’ sebahagian untuk digunapakai sebagai wang ehsan.

Dalam keadaan biasa, PM boleh menukar MB seperti itu. Namun, Ahmad Said berani angkat kepala dan berkata tidak.

Ahmad Said dengan bijaknya menggunakan flatform Sidang DUN untuk menyatakan pendirian Kerajaan Terengganu dalam isu ini. Ia pernyataan terbuka. Ulasannya terperinci. Tuntutan-tuntutan Terengganu adalah jelas.

Kita boleh memahami tuntutan Ahmad Said itu disokong oleh kehendak sebenar undang-undang. Kerana itu Ahmad Said boleh bertegas dan Kementerian Kewangan terpaksa akur. Dari segi politik, Ahmad Said sanggup menanggung risiko.

Implikasi keberanian dan ketegasan Ahmad Said itu sangat meluas dan besar kesannya.

Dakwaan Kerajaan Pusat bahawa Terengganu sama seperti Kelantan, tidak layak mendapatkan royalti, tertolak dengan begitu jelas.

Kalau Terengganu telah dibayar royalti sampai sekarang, cuma jumlahnya sahaja yang dipertikaikan, Kelantan dengan sendirinya juga layak! Kerajaan Pusat tidak dapat berbohong lagi.

Kedua, dari segi akaunting, memang jelas bermasalah dan dalam jangka panjang akan membebankan Kerajaan Pusat. Segala perberlanjaan atas nama wang ehsan tidak dikira telah menyelesaikan masalah. Kerajaan Pusat terpaksa dua kali berbelanja.

Royalti tetap perlu dijelaskan dan segala perbelanjaan atas nama wang ehsan dikira hangus begitu sahaja.

Apa untungnya untuk Kerajaan Pusat berbuat demikian? Kehendak perjanjian dan undang-undang akhirnya akan memerangkap Kerajaan Pusat.

Terengganu sekarang sebaris dengan Kelantan – agenda perjuangan yang sama dalam isu ini, berdepan kerenah Kerajaan Pusat yang sama. Kerajaan Pusat yang telah meletakkan perhitungan politik jangka pendek mengatasi kewajipan undang-undang.

Nampaknya, Kelantan telah mendapat teman yang banyak akan membantu. Mustajabnya permintaan dalam solat hajat kadang-kadang datang dalam bentuk yang berbagai-bagai. Saya merasa amat bersyukur.

Tentunya saya berterima kasih kepada YB Dato’ Seri Presiden PAS yang telah mengemukakan pertanyaan sehinggan membolehkan Ahmad Said memberikan penjelasan.

Terima kasih juga pada NST dan Sinar Harian , antara media (setahu saya) yang melaporkan isu ini hari ini. Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM di

.

http://idhamlim.blogspot.com

Enjin F-5E: Kegagalan menyiasat punca Polis dipersoalkan

POKOK SENA, 24 Dis: Naib Presiden PAS, Dato’ Mhafuz Omar persoalkan kredibiliti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di atas kegagalan agensi itu menyelesaikan siasatan berhubung kes kehilangan enjin jet pemintas F-5E seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Mahfuz yang ditemui selepas Majlis Sumbangan Peralatan Sekolah di Pejabat PAS Pokok Sena semalam, berkata, beliau difahamkan laporan polis berhubung kejadian itu dibuat pada 4 Ogos 2008 yang lalu dan nota pemakluman kepada Jabatan Peguam Negara (AG) hanya dihantar pada Mei 2009.

“Persoalannya, kenapa PDRM perlu ambil masa yang terlalu lama untuk menyiasat insiden yang sebegini serius dan penting?

“Sembilan bulan bukannya tempoh yang singkat, itu pun masih tidak boleh selesai, perlu kepada lanjutan tempoh siasatan, ini yang meragukan dan rakyat persoalkan,” katanya.

Menurut Mahfuz, kerajaan perlu menyatakan bentuk tindakan yang telah diambil terhadap syarikat yang memonopoli kerja-kerja penyelenggaraan enjin pesawat pejuang milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) iaitu AIROD SDN BHD.

“Kejadian enjin jet F-5E hilang itu dikatakan berlaku ketika dalam perjalanan dari pengkalan TUDM di Butterworth ke AIROD untuk diselenggarakan, sudah tentu ada kaitannya dengan syarikat itu,” katanya.

Beliau turut mengulangi desakannya supaya ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Siasatan peringkat Parlimen yang diyakini lebih bersifat terbuka, berintegeriti dan telus dalam usaha menjejaki mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian ini.

Mahfuz berkata, perletakan jawatan seorang pegawai berpangkat Briged Jeneral dan tindakan memberhentikan perkhidmatan 20 anggota lain yang dikatakan tiada kaitan dengan kes ini turut mengundang keraguan masyarakat yang melihat seolah-olah kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu berkaitan dengan kes ini.

Ini sekaligus menolak kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang berjanji tidak akan menyembunyikan siasatan kes dari pengetahuan umum.

Mahfuz menuntut Kementerian Pertahanan mengemukakan alasan ke atas tindakan memberhentikan kerja 20 anggota tersebut dan menyatakan alasan perletakan jawatan pegawai tinggi itu kepada masyarakat umum untuk mengembalikan keyakinan mereka.

“Kalau betul mereka terlibat, kerajaan perlu mengheret mereka ke mahkamah terbuka dan bukannya dakwa mereka di mahkamah tentera yang sudah tentu perbicaraannya tidak akan didedahkan kepada pengetahuan umum,” soalnya.

Menjawab soalan pemberita kemungkinan ada motif tertentu berkaitan pendedahan isu ini, Mahfuz berkata, beliau tidak mengetahui agenda sebenar tindakan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Zahid Hamidi mendedahkan satu demi satu kepincangan yang berlaku di kementerian yang sebelum ini dibawah seliaan Najib.

Beliau juga mengulangi pendiriannya menuntut Najib segera memanggil sidang khas Parlimen bagi membincangkan pembentukan jawatankuasa khas menyiasat kes kehilangan enjin-enjin jet F-5E dan peralatan lain yang mengakibatkan kerugian kepada negara.

“Saya akan pergi ke pejabat Perdana Menteri dalam minggu ini dan serahkan sendiri surat meminta supaya sidang khas itu diadakan segera,” jelasnya.

.

http://harakahdaily.net

Najib hadapi krisis kepercayaan

KUALA LUMPUR, Dis 24: Kemenangan tipis Barisan Nasional (BN) dalam pengundian Bajet 2010 di Dewan Rakyat 14 Disember lalu menguatkan lagi persepsi bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghadapi krisis keyakinan, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

“Hakikat bahawa 71 orang ahli Parlimen BN tidak hadir dalam pengundian untuk menerima belanjawan sulung yang dibentangkan oleh Najib tidak dilihat sebagai suatu kebetulan semata-mata oleh pasaran dan tokoh-tokoh perniagaan.

“Perkara itu ditimbulkan dalam pertemuan saya dengan tokoh perniagaan dua hari lalu,” katanya.

Dalam peristiwa itu, kerajaan Najib melalui saat paling mencemaskan apabila jumlah undi diperolehi terlalu tipis, di mana BN berjaya mengatasi pembangkang hanya dengan tiga undi sahaja (66-63) untuk membolehkan Bajet 2010 akhirnya diluluskan.

Menurut Salahuddin, mereka mempersoalkan adakah ketidakhadiran begitu ramai ahli Parlimen BN itu adalah satu kebetulan atau sesuatu yang dirancang.

“Bagi mereka, apa yang berlaku itu menunjukkan ketidakmampuan Najib menguasai parti yang diketuainya sendiri.

“Mereka juga tidak menolak kemungkinan Najib adalah Perdana Menteri yang paling lemah dalam sejarah Malaysia dan bukan (Tun) Abdullah (Ahmad Badawi),” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Sekurang-kurangnya Abdullah berjaya menguasai Umno dan BN dan mendapat kepercayaan yang lebih baik dari Najib di tahun-tahun awal pemerintahannya, katanya.

Mengenai apa yang didakwa sebagai reformasi ekonomi yang cuba ditonjolkan sebagai kekuatan Najib, Salahuddin tidak melihat perkara itu diterima tanpa dipersoalkan oleh pasaran.

“Pandangan (Prof) Jomo (K Sundaram) bahawa dasar ekonomi terbuka Najib tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dipandang serius oleh pasaran,” katanya.

Malah, kata beliau lagi, isu kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut mendapat perhatian serius pasaran dan masyarakat perniagaan.

“Mereka mempersoalkan, jika Najib tidak menunjukkan prestasi yang meyakinkan dalam menjaga hanya satu kementerian, bagaimana beliau boleh memberi keyakinan umum bahawa beliau mampu menunjukkan prestasi yang baik untuk mentadbir sebuah negara?” kata Salahuddin.

Beliau juga memberitahu, tokoh perniagaan yang ditemui itu juga menunjukkan kepadanya indeks penerimaan terhadap prestasi Najib sebagai Perdana Menteri yang merudum dengan begitu mendadak dalam masa yang singkat.

Menurut tinjauan Merdeka Center yang ditunjukkan oleh tokoh perniagaan berkenaan kepadanya, kata Salahuddin, kadar penerimaan terhadap prestasi Najib sebagai Perdana Menteri mencapai tahap sehingga 65 peratus dalam tempoh 19 Jun hingga 1 Julai tetapi merudum lebih 10 peratus dan berada pada tahap 56 peratus dalam tempoh 4 hingga 14 September lalu.

“Dalam tempoh antara 19 Jun hingga 1 Julai itu juga, sebanyak 74 peratus responden Melayu dan 74 peratus responden India berpuas hati dengan pencapaian Najib sebagai Perdana Menteri, manakala tahap sokongan masyarakat Cina pula melonjak sehingga 48 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, dalam tempoh 4 hingga 14 September lalu, tahap penerimaan itu merudum kepada 64 peratus di kalangan masyarakat Melayu, 68 peratus di kalangan masyarakat India dan hanya 36 peratus sahaja di kalangan masyarakat Cina, kata Salahuddin lagi.

Beliau tidak menolak kemungkinan Najib semakin dilihat sebagai liabiliti kepada BN dan negara.

.

http://harakahdaily.net

Kerajaan Negeri Disaran Bijak Cari Sumber Lain

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri disaran lebih bijak mencari sumber lain yang mampu meningkatkan hasil pendapatan negeri tanpa terlalu mengharapkan dana daripada Kerajaan Pusat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut (Gambar – dua dari kanan) berkata, ketika ini Kerajaan Negeri masih terlalu bergantung kepada Dana Khas Kerajaan Persekutuan (royalti minyak) sebagai hasil utama.

Menurutnya, dana daripada royalti minyak berjumlah RM1.731 bilion atau 92 peratus mewakili sebahagian besar peruntukan disediakan Kerajaan Negeri untuk Bajet 2010 keseluruhannya berjumlah RM1.881 bilion.

“Bakinya RM163 juta atau hanya lapan peratus datang daripada sumber Kerajaan Negeri dan ia menunjukkan ketidakupayaan Kerajaan Negeri menjana pendapatan sendiri setelah sekian lama.

“Dengan pendapatan berkenaan, nak bayar gaji pekerja di negeri ini pun tidak mencukupi,” katanya ketika sesi perbahasan pembentangan Bajet 2010 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) penggal ke-12, di sini, semalam.

Mohd Abdul Wahid berkata, sikap kebergantungan sangat tinggi terhadap royalti minyak adalah tidak selamat, apatah lagi Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sendiri mengakui sumber minyak tidak akan kekal selamanya dan ia juga tertakluk kepada harga pasaran dunia.

Menurutnya, lebih membimbangkan apabila baru-baru ini, Petronas mengumumkan pendapatannya menguncup kurang RM57 bilion.

“Kita juga berhadapan dengan ketidakyakinan bahawa Kerajaan Negeri akan menerima sepenuhnya hasil royalti minyak ataupun pembayaran Dana Khas daripada Petronas ataupun Kerajaan Persekutuan seperti dalam anggaran bajet.

“Sebagai contoh, saya rujuk buku anggaran Bajet 2010, muka surat lapan berhubung royalti minyak pada 2009, hasil minyak dianggarkan berjumlah RM1.533 bilion tetapi berapa yang dibayar kepada kita,” katanya.

Menurutnya, pada 2010 pula, hasil minyak dalam buku bajet dianggarkan RM1.629 bilion tetapi berapa yang diperoleh.

“Hal ini diakui sendiri Menteri Besar dalam ucapan bajet semalam. Kedudukan kewangan negeri iaitu akaun hasil disatukan telah mengalami defisit sebanyak RM424.69 juta pada 2008 berbanding defisit pada 2007 yang berjumlah RM278.42,” katanya – Sinar

SPR Berbohong Mengenai Pembeli Dakwat, Rakyat Boleh Saman

KUALA LUMPUR – Parti Islam Se-Malaysia (SPR) mahu Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) mendedahkan semula dakwaan mereka pada tahun lepas bahawa terdapat individu yang dilaporkan membeli dakwat khas (kekal) untuk tujuan

pilihanraya secara haram hingga menyebabkan SPR terpaksa membatalkan pengunaannya bagi Pilihanraya Umum 2008.

Telah lebih setahun setengah dakwaan dibuat oleh pihak SPR namun tiada sebarang khabar berita, bukti, mahupun sebarang tangkapan mengenainya.

PAS melihat bahawa SPR berbohong kepada rakyat dan sanggup membazirkan dakwat bernilai RM 2.4 juta untuk cerekarama yang sengaja dicipta bagi menafikan tuntutan rakyat melalui Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) yang mahu dakwat kekal digunakan.

PAS menuntut SPR mendedahkan siapakah individu yang didakwa mereka itu atau SPR perlu bersedia untuk menerima dakwaan dan saman rakyat dimahkamah kerana menyebabkan Kerajaan kerugian RM 2.4 juta diatas pembohongan yang sengaja dicipta itu.

PAS mengesa para pengundi tampil kehadapan untuk sama-sama menuntut SPR membuktikan dakwaan itu atau bersama menyaman SPR kerana mencipta maklumat palsu dan berbohong kepada  rakyat serta membazirkan wang rakyat begitu sahaja dengan membeli dakwat yang sengaja tidak digunakan bagi memenuhi arahan Menteri Kabinet BN ketika itu.

.

http://buletinonline.net

Umno masih bermain dengan perkauman

ALOR SETAR, 23 Dis: Perjuangan Umno Pulau Pinang disifatkan masih berlegar dalam kitaran perkauman apabila membangkitkan perbalahan dalam isu perebutan jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika diminta mengulas perkara itu berkata, jawatan itu tidak membawa sebarang makna  kepada Umno tidak seperti mana jawatan Ketua Menteri yang mengetuai pentadbiran negeri itu.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mempertikaikan dakwaan pemimpin-pemimpin Umno Pulau Pinang yang menuntut jawatan itu hanya kerana kemenangan mereka dalam pilihan raya yang lalu.

Tindakan pemimpin Umno di negeri itu dilihatnya cuba meraih sokongan pengundi melayu yang makin terhakis kepada parti itu kebelakangan ini.

“Saya hairan kenapa tiba-tiba jawatan Pengerusi BN itu yang menjadi keutamaan mereka setelah BN gagal di negeri itu, kenapa tidak tuntut jawatan Ketua Menteri ketika mana mereka mempunyai majoriti dalam pilihan raya dulu.

“Sepatutnya Umno memberi keutamaan kepada isu yang lebih besar, bukannya mencetuskan isu remeh yang sering berkisar dengan isu perkauman seperti ini,” katanya pada sidang media dipejabatnya semalam.

Katanya, perjuangan yang ditegakkan Umno di negeri itu disifatnya hanya lebih untuk menegakkan kepentingan politik perkauman mereka sahaja dan bukannya untuk kepentingan rakyat di negeri itu.

“Tidak ada apa yang nak direbutkan, Pengerusi BN Negeri itu hanya jawatan kecil sahaja, di peringkat nasional yang Umno pegang pun banyak masalah dan tidak boleh diselesaikan, inikan pula hanya jawatan di peringkat negeri,” katanya.

http://harakahdaily.net

Enjin Jet Hilang: Najib juga perlu disiasat

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyelar sikap kerajaan yang hanya bertindak kepada pegawai atasan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan melepaskan Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kehilangan enjin jet pejuang F-5E bernilai RM50 juta.

Ketuanya, Nasrudin Hassan menegaskan, Menteri  berkenaan harus bertanggungjawab apabila menghadapi kes seperti ini dengan meletakkan jawatannya kerana ia mengancam keselamatan negara.

“Pemuda PAS kesal sikap kerajaan yang hanya bertindak kepada pegawai atasan apabila berhadapan dengan kes-kes seperti kehilangan enjin jet pesat pejuang, sedang menteri pertahanan pada waktu itu yang juga Perdana Menteri pada hari ini di lepaskan begitu sahaja. Pihak Menteri terbabit sepatutnya mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan apabila  berhadapan dengan kes-kes seperti ini kerana ianya mengancam keselamatan negara dan rakyat,”katanya dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily.

Nasrudin yang menyifatkan insiden kehilangan pada 2007 itu sebagai memalukan negara, turut mempersoal sistem kawalan keselamatan negara yang terlalu rapuh sehingga harta yang begitu penting kepada pertahanan negara boleh lesap begitu sahaja.

“Tidak ada tempat yang paling selamat di negara kita melainkan kawasan di bawah kawalan Kementerian Pertahanan. Malangnya Kementerian ini juga gagal mempertahankan enjin jet pejuangnya, apalah yang boleh diharapkan pada pertahanan negara dan para pejuangnya untuk melindungi keselamatan negara dan rakyat jika enjin jet pejuang mereka boleh hilang dan lesap.Sungguh ini memalukan negara justeru menunjukkan sistem kawalan keselamatan negara terlalu rapuh,” katanya.

Nasrudin turut mendakwa keselamatan negara dan rakyat kini terancam dan berada dalam keadaan bahaya akibat amalan rasuah yang semakin membarah di kalangan pemimpin Umno BN.

Ini dakwa Nasrudin dapat dibuktikan dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa terdapat ahli politik kanan menerima rasuah RM5 juta untuk membebaskan penjenayah yang sangat dikehendaki kerana terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah seperti pelacuran , gengster , ah long dan lain – lain .

Persidangan Dewan Negara pada tahun 2007 juga pernah diberitahu bahawa  terdapat tiga kumpulan gengster utama yang telah dikenal pasti wujud di negara ini sejak 2005 dengan jumlah anggota mencecah 17,000 orang.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharum berkata kumpulan gengster Ang Bin Hoey mempunyai 122 kumpulan dengan 11,764 anggota, kumpulan Wah Kee mengetuai 40 kumpulan dengan 1,991 anggota manakala Thug Gang mempunyai 123 kumpulan dengan 3,497 anggota.

Pada 12 ogos 2007 pula, bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dalam ruangan tetapnya di akhbar The Star mendedahkan bahawa terdapat 40% daripada anggota polis terlibat dengan rasuah.

Sementara pada 14 February 2004 , Datuk Seri Rais Yatim juga pernah mendedahkan bagaimana 18 kes rasuah yang melibatkan high profile sedang di peringkat akhir siasatan tetapi malang sehingga kini tidak lagi kedengaran sebarang tindakan diambil.

Manakala Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam pernah seketika dulu membuat laporan kepada BPR [ kini SPRM ] apabila laman web seorang yang dituduh penjenayah, Michael Soosai yang seketika dulu dipercayai bersembunyi di India , mendedahkan kegiatan sembilan anggota polis yang terlibat secara langsung dengan rasuah.

“Baru – baru ini pula rakyat  dikejutkan dengan berita bumbung stadium Sultan Mizan runtuh di Terengganu , kemudian jambatan gantung di Dipang juga runtuh dan mengakibatkan  kehilangan nyawa beberapa orang pelajar sekolah yang menggunakan jambatan tersebut .

Terbaru hentian bas di Kuala Berang juga dilaporkan runtuh . Saya percaya semuanya ini adalah bermula dan berpunca dari amalan rasuah yang membarah.

“Indeks rasuah negara di peringkat antarabangsa kini di angka 52 . Angka yang sangat memalukan dan jauh ketinggalan dari negara jiran kita Singapore .

“Lebih malang , tiada usaha yang serius dan berkesan dari kerajaan UMNO dan BN untuk menangani isu rasuah ini malah mereka kelihatan selesa dengan wabak rasuah yang kian menular ini .

“Akibatnya, keselamatan negara dan rakyat kini terancam dan berada di dalam keadaan bahaya,” tegasnya.

Baru-baru ini, Menteri Pertahanan, Datuk Zahid hamidi memberitahu bahawa enjin jet pejuang F-5E bernilai RM 50 juta hilang dan beberapa barangan lain turut lesap .

http://harakahdaily.net