Beri sokongan penuh

Oleh Johari Ibrahim, Mohd Anwar Patho Rohman dan Mohd Hamizar Hamid
bhnews@bharian.com.my


ABDULLAH menandatangani pengesahan dokumen minit Mesyuarat Kabinet minggu lalu sambil disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet), Tan Sri Mazidah Abdul Majid serta Jemaah Menteri sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet, semalam.

Pak Lah tinggal amanat sebelum serah kuasa kepada Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan Jemaah Menteri, sama ada yang baru atau mereka yang kekal dalam Kabinet selepas ini supaya memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Datuk Seri Najib Razak yang akan menggantikannya sebagai Perdana Menteri.

Perdana Menteri turut berharap semua dasar yang diluluskan Kabinet ketika era kepemimpinannya, diteruskan demi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Harapan itu antara amanat yang disampaikan Abdullah pada mesyuarat Kabinet yang terakhir dipengerusikannya di Putrajaya, semalam. Mesyuarat itu bermula kira-kira jam 10 pagi dan berakhir sekitar jam 12.30 tengah hari.

Beberapa anggota Kabinet yang ditemui dan dihubungi selepas mesyuarat itu berkata, Najib selaku Timbalan Perdana Menteri turut mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghormatan kepada Abdullah atas sumbangan besarnya kepada negara.

Najib yang ditemui pemberita selepas majlis penyerahan peruntukan RM80 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Bantuan Kerajaan di Putrajaya berkata, mesyuarat Kabinet yang terakhir dipengerusikan Abdullah berlangsung dalam suasana ‘sentimental.’

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebahagian besar daripada jemaah menteri turut diselubungi emosi.

“Pak Lah sangat terbuka (bercakap) mengenai apa yang sudah dilakukannya dan apa harapan beliau kepada kepemimpinan baru.

“Bagaimanapun, secara keseluruhannya, beliau (Abdullah) akan menyokong kepemimpinan baru dan sedia membantu jika diperlukan. Jika kita perlukan nasihat, beliau sedia memberikannya tetapi tidak akan campur tangan dan mengkritik,” katanya.

Najib berkata, beliau menghargai sikap Abdullah dan yakin Perdana Menteri akan terus memberikan sokongan berterusan selepas ini.

“Beliau bercakap dengan saya dengan nada yang sama sejak beberapa bulan lalu dan saya yakin beliau akan memberikan sokongan terhadap apa juga yang akan kita lakukan,” katanya.

Mengenai majlis perpisahan, Najib berkata kerajaan akan menganjurkannya sesuai dengan kedudukan Abdullah sebagai Perdana Menteri sejak lima tahun lalu.

Najib juga berkata, Abdullah memintanya bersama-sama menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, hari ini bagi urusan penyerahan jawatan Perdana Menteri.

“Bergantung kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong, upacara (mengangkat sumpah) akan diadakan pada Jumaat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata mesyuarat itu berlangsung dalam suasana agak muram dengan anggota Jemaah Menteri terharu mendengar amanat Abdullah.

“Kami merakamkan penghargaan di atas peralihan kuasa antara Abdullah dan Najib yang berjalan dengan lancar. Kabinet mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan permintaan beliau sudah diminitkan di dalam mesyuarat,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pula berkata Abdullah menyentuh mengenai kesinambungan yang perlu dilakukan oleh barisan Kabinet baru terhadap keputusan Jemaah Menteri sebelum ini.

“Kami rasakan apa yang dibuat Abdullah sebelum ini perlu diterima pakai sebagai dasar yang akan dilaksanakan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan yang dibentuk sepanjang lima tahun pemerintahannya.

“Abdullah turut memberi nasihat kepada barisan Kabinet baru untuk meneruskan dasar yang sudah dibuat walaupun selepas pertukaran Perdana Menteri dan dalam perkara ini kaedah pelaksanaan perlu dibuat mengikut kesesuaian Najib,” katanya.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Abdullah juga menekankan perkara yang cukup dekat di hatinya, iaitu berkaitan perpaduan rakyat majmuk.

“Saya terkilan kerana ramai sebenarnya yang masih tidak mengenali Abdullah seperti saya dan rakan Kabinet yang lain… jiwanya besar, hatinya bersih, dia seorang pemimpin yang jujur dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi.

“Menjadi harapan saya agar rakyat mengenang dan mengingati kepemimpinan beliau dengan nilai mulia ini,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata Abdullah tetap ceria tetapi beliau bercakap dengan nada lembut berbanding kebiasaannya.

“Boleh dikatakan perasaan Pak Lah bercampur-baur,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata mesyuarat Kabinet semalam dimulakan dengan perbincangan mengenai proses dan program peralihan kuasa, termasuk penetapan tarikh serta masa majlis angkat sumpah Najib sebagai Perdana Menteri.

Ia kemudian diteruskan dengan ucapan dan amanat terakhir Abdullah kepada Jemaah Menteri, diikuti ucapan Najib sebelum diakhiri dengan membincangkan kertas Kabinet.

“Mesyuarat Kabinet berjalan dengan selesa, tetapi `touching’ kerana ia mesyuarat terakhir Pak Lah,” katanya.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata amanat terakhir itu memberi kekuatan kepada semua bakal menteri di bawah kepemimpinan Najib nanti.

“Suasana agak sedih dan muram. Kami sudah seperti sebuah keluarga dan kita semua menerima hakikat bahawa kuasa itu adalah satu amanah yang berterusan,” katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berkata Kabinet juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Abdullah di atas jasa dan pengorbanannya selama ini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: